HARGA jualan semula rumah privet tidak berhalaman di Singapura naik 1.1 peratus pada Januari daripada bulan sebelumnya, menurut anggaran awal SRX Property yang dikeluarkan pada Selasa (14 Feb).
Ini lebih tinggi daripada peningkatan 0.5 peratus pada Disember dan November 2016.
Hartanah jualan semula di lokasi utama mendahului kenaikan itu, meningkat 1.9 peratus dari bulan ke bulan. Harga unit di baki kawasan tengah dan kawasan pinggirnya masing-masing naik 1.5 peratus dan 0.4 peratus.
Dari segi tahun ke tahun, harga jualan semula bulan lalu 0.3 peratus lebih tinggi daripada pada Januari 2016, walaupun masih kurang 6.8 peratus daripada paras tertinggi baru-baru ini pada Januari 2014.
Pemulihan beransur-ansur pasaran jualan semula sedang pembeli menyederhanakan harga yang diminta juga dicerminkan oleh peningkatan dalam urus niaga.
Dianggarkan 526 unit dijual semula pada Januari, 9.1 peratus lebih banyak daripada 482 unit pada Disember 2016, dan 29.9 peratus lebih banyak daripada 405 unit pada Januari 2016.
Angka SRX juga menunjukkan unit kondominium di pasaran jualan semula masih bertukar tangan di bawah harga yang ditanggap sebagai harga pasaran.
Median transaksi berbanding nilai X (TOX) - yang mengukur sama ada pembeli flat membayar lebih tinggi atau kurang daripada angaran nilai pasaran sesebuah unit - ialah negatif $4,000 pada Januari, berbanding negatif $5,000 pada Disember.
Bagi kawasan yang mempunyai lebih 10 urus niaga jualan semula pada Januari, daerah 23 (Bukit Panjang, Choa Chu Kang) mencatat TOX median tertinggi, iaitu positif $2,000.
Dalam kalangan kawasan yang agak aktif, daerah 15 dan 16 (Katong, Joo Chiat, Amber Road, Bedok, Upper East Coast) mencatat median paling negatif TOX, iaitu $25,000.