JUMLAH kenderaan Singapura yang dicuri tahun lalu mencapai 437 kenderaan, paras tertinggi sejak 2010 apabila Persatuan Insurans Umum (GIA) Singapura mula meneliti perangkaan itu.
Pada 2012, jumlahnya adalah 423 kenderaan. Paras paling rendah ialah pada 2010 apabila ia mencapai 343.
Sebanyak 78.7 peratus atau 344 kecurian itu berlaku di Malaysia terutama Johor dan Kuala Lumpur.
"Jumlahnya meningkat tetapi tidak besar. Malangnya, ada kenderaan itu tidak ditemui sama sekali dan ada pula yang ditemui setelah pencuri seronok memandunya,'' ujar Presiden GIA Encik AK Cher dalam taklimat akhbar semalam bagi membentangkan prestasi pasaran insurans umum tahun lalu.
Meskipun Johor dan Kuala Lumpur mempunyai jumlah kecurian paling tinggi, Encik Cher berkata ia berlaku kerana jumlah kenderaan Singapura di kedua-dua lokasi itu adalah tinggi berbanding negeri-negeri lain.