Subuh
5:36
Syuruk
6:52
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:07
Ekonomi & Kerja

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Konsep hotel kapsul yang besar penggunaan teknologi

Feb 23, 2020 | 05:30 AM

BIASANYA pengurus pengalaman tetamu di Cube Boutique Capsule Hotel@Kampong Glam, Encik Sadi Sariman, akan mengambil masa tujuh hingga 10 minit bagi mendaftar masuk setiap tetamu.

Namun pada Ogos ini, masa tersebut boleh dimanfaatkan baginya mengenali cita rasa tetamu kerana hotel kapsul itu mengenalkan khidmat daftar masuk dan keluar sendiri.

Menerusi pautan pada gerbang pendaftaran yang kini sedang diuji, tetamu ke hotel tersebut dan dua lagi cawangan hotel kapsul Cube di daerah Chinatown boleh membuat prapendaftaran sebelum ke Singapura sekitar Mei ini.

Butiran seperti nombor rujukan tempahan kapsul, tarikh tiba dan pulang serta nombor kad kredit boleh diisi secara mudah. Tetamu juga diperlukan mengimbas pasport mereka.

Sejurus sampai ke hotel kapsul itu dan dihubungkan dengan rangkaian Wifi, kehadiran mereka dikenal pasti. Menerusi fungsi pengesanan wajah 360 darjah pada aplikasi daftar masuk sendiri, wajah tetamu yang dirakam kemudian dibandingkan dengan imbasan awal foto pasport sebagai langkah keselamatan.

Tetamu hotel kapsul malah boleh membuka sendiri pintu kapsul dengan menggunakan aplikasi pada telefon bimbit.

Teknologi bijak yang diperkenalkan pihak pengurusan Cube bagi menjimat tenaga kerja di samping menyuntik nilai tambah pada khidmat pekerjanya itu dinyatakan Ketua Pegawai Operasi (COO) dan pengasas bersama hotel kapsul ini, Cik Sonia Anya Tay, dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Konsep hotel kapsul - yang popular di Jepun - menyediakan bilik padat. Terdapat 56 bilik yang boleh memuatkan 68 tetamu di Cube Boutique Capsule Hotel@Kampong Glam.

Kata Cik Tay:

"Kami peka dengan maklum balas pekerja dan tetamu hotel. Lantaran itu, kami berusaha mencapai tahap operasi hotel berteknologi tinggi dan sentuhan peribadi tinggi atau high tech, high touch.

"Harapan kami ialah tetamu tidak perlu menunggu lama bagi mendaftar masuk ke bilik mereka. Kakitangan hotel seperti Encik Sadi pula boleh tumpukan perhatian pada khidmat tambahan seperti memberi kejutan manis sempena hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan Hari Ibu mahupun menyiapkan cendera hati khas buat mereka bawa pulang."

Idea mengusahakan rangkaian hotel kapsul Cube di bawah syarikat RB Hospitality Pte Ltd itu, jelas Cik Tay, bermula lewat 2015 apabila beliau dan suaminya, Encik Benedict Choa, mencari perniagaan yang menjamin alir tunai dan tiada hutang lapuk (bad debt).

Apabila mereka mengkaji pasaran dan merujuk pada Lembaga Pelancongan Singapura (STB), mereka menyedari kekosongan wujud dari segi ruang penginapan ringkas, selesa, bersih dan dengan harga berpatutan buat pengembara muda.

Pada September 2016, hotel kapsul pertama Cube dibina di Chinatown. Ini disusuli dengan cawangan di Kampong Glam pada Januari 2018. Hotel kapsul buat keluarga dan teman yang mengembara dalam kumpulan lebih besar pula dibuka di Chinatown pada Mei 2019.

Encik Sadi, 57 tahun, yang mempunyai 35 tahun pengalaman dalam sektor perhotelan bermula daripada Hotel Marco Polo, menambah:

"Kelebihan saya adalah pada memberi khidmat dari hati. Teknologi mencabar tetapi ia juga memberi peluang baru buat saya pertingkat khidmat saya.

"Dengan khidmat daftar masuk dan daftar keluar sendiri ini, saya boleh naiktarafkan khidmat saya.

"Saya pernah menggembirakan tetamu Kuala Lumpur dengan mencetak gambar yang beliau kirimkan dalam perjalanan ke sini dan membingkaikannya dengan hiasan bunga raya plastik. Tetamu itu terharu."

  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian