Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Maju niaga melalui pemasaran agresif dan teknologi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Maju niaga melalui pemasaran agresif dan teknologi

May 06, 2018 | 05:30 AM



SETELAH 18 tahun berniaga di kawasan bandar, pemilik kafe fusion Eatz 19, Cik Shakila Mohd Sham, mengharungi cabaran berbeza apabila berpindah ke kawasan estet perumahan di Tampines.



Ramai pelanggan tidak tahu bahawa kafenya itu telah berpindah ke Our Tampines Hub (OTH) sejak setahun lalu dari lokasi lamanya di bangunan AXA di Shenton Way kerana menjalani peningkatan.



"Oleh kerana kami terletak di estet perumahan, kami amat peka dan tidak boleh mengenakan harga makanan yang mahal kerana pelanggan tidak bersedia membayar harga yang tinggi. Kami faham pasaran ini berbeza berbanding pelanggan di kawasan bandar yang sedia membayar set makanan pada harga yang tinggi. Pada masa yang sama, kami juga tidak mahu mengurangkan bahan makanan sehingga menjejas mutu makanan. Disebabkan itulah marjin keuntungan kami mengecil,'' ujar Cik Shakila, 47 tahun, yang mula menjalankan perniagaannya pada 1999 di Liang Seah Street sebelum berpindah ke Shenton Way.



Apabila marjin keuntungan mengecil, ia menjejas aliran tunai kafe tersebut, menyebabkan Cik Shakila sukar membuat promosi agar lebih ramai pelanggan mengetahui dan menjamu selera di kafenya itu.



Ia mendorong beliau mendekati Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SME Centre@SMCCI) untuk mendapatkan bantuan.



Seorang penasihat kewangan Pusat SME itu menghubungkan beliau dengan sebuah institusi kewangan (FI), United Capital, yang memberikannya pinjaman bagi perniagaannya itu.



Cik Shakila, yang enggan menyatakan jumlah pinjaman itu, menambah bahawa dana tersebut membolehkan beliau mendapatkan sebuah agensi pemasaran yang menjalankan promosi agresif di media sosial seperti Facebook dan Instagram yang memasarkan perniagaannya itu agar lebih ramai orang mengetahui Eatz 19 sudah berpindah ke OTH.



Hasil pemasaran itu, kafenya dapat menarik lebih ramai pelanggan dan ia membantu meningkatkan keuntungannya sebanyak 20 peratus.



Menurut beliau, agak sukar mendapatkan pelabur yang sedia menyuntik dana dalam syarikatnya memandangkan Eatz 19 merupakan sebuah perniagaan sosial yang menggajikan wanita daripada latar belakang yang mencabar seperti ibu tunggal, wanita baru bercerai dan pesakit barah dan angin ahmar agar mereka dapat berdikari dan memantapkan keadaan ekonomi.



Beliau pernah mengambil seorang remaja yang mengandung di luar nikah, 'dibuang' keluarga pada masa itu dan memerlukan pekerjaan.



"Jika perniagaan ini berteraskan keuntungan sahaja, ia mungkin mudah bagi saya menarik dana pelabur dan mengembangkan perniagaan ini. Tetapi saya bertekad mahu terus menjadi sebuah perniagaan sosial kerana saya faham kesukaran yang dihadapi wanita-wanita ini.



"Saya sendiri datang daripada keluarga pincang dan melihat keganasan domestik menjejas ibu saya di depan mata saya. Ibu saya bercerai dengan bapa saya dan saya sendiri bercerai sebanyak dua kali. Apabila saya mula berniaga, saya bertekad mahu membantu golongan wanita ini, yang menghadapi masalah dengan menawarkan waktu kerja yang fleksibel agar mereka dapat mencari rezeki,'' kata ibu tunggal seorang anak lelaki berusia lima tahun itu.



Sejajar dengan era teknologi, syarikat itu juga mendapatkan geran $20,000 bagi memanfaatkan Program Go Digital SME kelolaan Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA), bagi melaksanakan huraian aplikasi, Getz.



Getz menyediakan sokongan khidmat penghantaran, tempahan dalam talian, pembayaran dalam talian serta membantu peniaga membina pangkalan pelanggan berdasarkan rekod urus niaga.



Kini, 20 peratus daripada penjualannya diperolehi melalui tempahan dalam talian.



"Walaupun menghadapi cabaran dalam perniagaan, saya bertekad mahu terus memajukan dan mengembangkan perniagaan saya agar saya dapat membantu lebih ramai wanita untuk berdikari,'' tambah Cik Shakila, yang bersemangat waja.



  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >