MAS: Laman guna komen palsu tukil DPM Tharman bagi tarik pelaburan bitcoin

SEBUAH laman kedua telah didapati menggunakan kenyataan palsu yang menukil Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam bagi menarik pelaburan bitcoin, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Ini setelah laman serupa ditemui lewat Selasa lalu.

Dalam kenyataan MAS Rabu lalu, bank pusat itu memberi peringatan agar orang awam berhati-hati apabila menjumpai laman begitu dan mengelak daripada memberi maklumat peribadi atau kewangan dalam borang yang terdapat dalam laman itu.

"Kes pelaburan yang menipu serta kegiatan haram harus dirujukkan kepada polis,'' kata bank pusat itu.

MAS melampirkan satu laman skrin dengan tajuk: 'Tharman Shanmugaratnam melancarkan projek digital hi-tek bagi rakyat Singapura. Ia akan membuat anda kaya dalam tempoh tujuh hari.'

Selasa lalu, MAS memberi amaran bahawa laman yang cuba menipu itu menyatakan Singapura sedang menembusi pasaran mata wang kripto bitcoin dan cuba menipu dengan menukil DPM Tharman

MAS berkata kenyataan dalam laman itu adalah tidak benar.

Bank pusat itu juga menambah bahawa ia amat berisiko tinggi untuk meletakkan wang dalam mata wang kripto seperti bitcoin.

Pada 19 Disember tahun lalu, MAS telah memberi amaran kepada awam mengenai risiko pelaburan mata wang kripto.