Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Ekonomi & Kerja

Masuk Sentosa percuma mulai lusa hingga 30 Jun

Mar 12, 2020 | 05:30 AM

PENGUNJUNG ke Sentosa boleh masuk secara percuma ke pulau peranginan itu mulai lusa hingga 30 Jun ini.

Langkah itu sebahagian usaha meningkatkan bilangan kedatangan pengunjung setempat dan merancakkan perniagaan di pulau itu yang terjejas oleh jumlah pelancong asing yang merosot ekoran penularan Covid-19.

Harga masuk kini adalah antara $2 dengan $6, dan percuma bagi mereka yang masuk melalui Sentosa Boardwalk.

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), yang bulan lalu mengumumkan bayaran masuk ke Sentosa akan ditiadakan semasa tempoh seminggu cuti sekolah minggu depan, berkata kemasukan percuma itu akan dilanjutkan sehingga Jun.

Perniagaan di pulau itu juga akan dibenarkan menangguhkan 50 peratus bayaran sewa mereka dari April hingga Jun, dan membayarnya secara ansuran bebas faedah selama 12 bulan, ujar SDC.

Langkah itu adalah sebahagian Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai $4 bilion bagi membantu perniagaan dan pekerja yang diumumkan dalam Belanjawan tahun ini, menyusuli maklum balas penyewa di pulau itu mengenai sentimen perniagaan.

Langkah itu sebagai tambahan kepada pengecualian setengah bulan sewa yang diumumkan bulan lalu kepada kesemua 46 entiti komersial - termasuk hotel, tempat makan, pusat tarikan dan peruncit - yang merupakan penyewa langsung SDC.

Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Chee Hong Tat, yang ditemui media selepas melawat Sentosa semalam, berkata:

"Sentosa bergantung kepada pelancong asing, oleh itu mereka lebih terjejas dengan kemerosotan pelancong ke Singapura.

"SDC dan MTI (Kementerian Perdagangan dan Perusahaan) memutuskan untuk meniadakan bayaran masuk sehingga hujung Jun.

"Kami berharap ini akan menggalak lebih ramai penduduk Singapura datang ke Sentosa.

"Kedua, kami juga tangguhkan bayaran setengah bulan sewa itu, dan kami berharap ini akan membantu perniagaan dari segi aliran tunai.

"Kita hadapi masalah ini bersama dan akan harungi bersama rakan kami perniagaan kami di Sentosa secara bersama."

Bulan lalu, Ketua Pegawai SDC, Encik Quek Swee Kuan, berkata perniagaan di pulau itu merosot antara 20 dengan 50 peratus ekoran kemerosotan pengunjung ke sana.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian