MOU S'pura-Perancis bantu negara perluas rangkaian inovasi global

Perjanjian memorandum persefahaman yang dimeterai antara agensi-agensi Singapura dengan Perancis adalah sebahagian usaha lebih luas dalam membina Perikatan Inovasi Global.

Demikian menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, dalam satu temu ramah dengan media setempat bagi merumuskan lawatan tiga hari ke Brussels dan Paris.

Dalam lawatan itu, Encik Chan bertemu dengan Majlis EU dan Suruhanjaya Eropah.

Menjelaskan, Encik Chan berkata MOU yang ditandatangani akan membolehkan Singapura memiliki rangkaian inovasi yang tidak boleh didapati dalam pasaran setempat.

"Kerana jika anda melihat cara banyak syarikat baru dan perniagaan baru atau startup menembusi pasaran baru, cara mereka mengakses idea dan jenis usahawantekno di serata dunia sebenarnya merupakan satu operasi global.

"Kebanyakan hal ini kita tidak boleh sahaja memilikinya di Singapura, kita harus pastikan bahawa kita mempunyai hubungan dengan pusat inovasi di serata dunia.

"Ia boleh jadi di Paris, Silicon Valley, China mahupun Tel Aviv, jadi kita harus pastikan bahawa kita ada rangkaian ini bagi membolehkan rakyat dan startup kita memiliki peluang sama rata bagi mengakses peluang dalam rangkaian global," ujarnya.

Encik Chan menekankan bahawa hubungan inovasi yang kukuh adalah kerana rentak inovasi telah berkembang dengan pesat.

Menurutnya, apa yang boleh dilakukan melalui teknologi pada hari ini jauh berbeza daripada dahulu.

"Jadi kita harus merebut semua peluang ini untuk menjalin hubungan dengan rangkaian ini dari serata dunia agar dapat mewujudkan pekerjaan lebih baik buat warga kita dan mencipta lebih banyak peluang bagi perniagaan kita," terang Encik Chan.

Mengulas tentang lawatannya ke Paris dan meninjau sistem eko inovasinya, Encik Chan berkata ia telah mendorongnya memikirkan tentang beberapa isu dan cabaran yang dihadapi di Singapura.

"Pertama, bagaimana menarik usahawantekno, pembiaya dan masyarakat peniaga berkumpul dan bergabung untuk menginkubasikan satu idea, membangunkannya menjadi huraian pasaran dan menawarkannya dalam pasaran.

"Sistem Perancis mengetengahkan banyak idea menarik yang boleh kita teliti. Bagaimana mereka memudahkan usahawantekno walaupun yang bukan dari Perancis bekerjasama di sana dan menggunakan rangkaian mereka dalam sistem global bagi menghasilkan produk baru secara bersama," ujar Encik Chan.

Satu lagi idea menarik ialah idea pejabat Stesen F - menempatkan pegawai pemerintah bagi menolong perniagaan baru dan usahawantekno menggerakkan perniagaan mereka.

"Tetapi sepanjang seluruh proses itu, pegawai pemerintah menjadi sebahagian sistem startup kerana mereka juga melakukan inovasi dari segi peraturan yang mahu dilaksanakan.

"Makanya, ia satu idea menarik yang kita boleh terokai di Singapura, yang bermakna inovasi dan startup bukan hanya tentang idea teknologi dan perniagaan tetapi ia juga mempunyai kaitan dengan peraturan dan bagaimana kita boleh gabungkannya," tambah beliau.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.