CAWANGAN pusat beli-belah 24 jam Mustafa di Serangoon Plaza akan ditutup mulai Februari, dan barangan serta kakitangannya dipindahkan ke kedai utamanya di Mustafa Centre, disebelahnya.
Serangoon Plaza dilaporkan pada Februari lalu dijadualkan diroboh pada akhir 2016 atau awal 2017 kerana tapak itu hendak dibangunkan semula.
Ini selepas bangunan tersebut dibeli dalam jualan en bloc (keseluruhannya) pada 2003 oleh Feature Development, yang sedang membangunkan Centrium Square setinggi 19 tingkat di tapak itu.
Centrium Square ialah sebuah pembangunan bercampur, termasuk unit pejabat, perubatan dan runcit.
Laporan media kini mengesahkan penyewa Serangoon Plaza akan keluar pada awal Februari. Ini termasuk peruncit Mohamad Mustafa & Shamsuddin (MMS), yang menduduki tiga tingkat dan kira-kira 70 peratus ruang runcit dalam bangunan itu.
Menurut laporan, notis di pintu masuk Mustafa cawangan Serangoon Plaza berkata kedai itu akan ditutup pada 1 Feb, dengan semua barangan dipindahkan ke Mustafa Centre.
Mustafa menyewa ruang di Serangoon Plaza sejak 1985. Penutupan cawangan seluas 65,000 kaki persegi itu mengurangkan jumlah ruang runcit Mustafa kira-kira satu perempat.
Mustafa Centre seluas lebih 200,000 kaki persegi.