Niaga kek berkembang selepas buka kedai

Dalam satu seminar anjuran cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dewi@DPPMS, pemilik kedai Julie Bakes, Cik Juliana Jahayer, mengongsi pengalamannya memulakan perniagaan dari rumah kepada sekitar 60 peniaga kecil-kecilan yang menjalankan perniagaan dari rumah. Seperti beliau, terdapat ramai lagi peniaga yang mula berniaga dari rumah tetapi memberanikan diri membuka kedai. Apakah yang menjadi dorongan mereka? NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg) melaporkan.

HARAPAN mengembangkan perniagaan kek dan kek cawannya besar.

Tetapi, oleh sebab perniagaan itu dijalankan di rumah, Cik Juliana Jahayer mendapati banyak peluang yang terlepas kerana sekatan yang terdapat apabila menjalankan perniagaan di rumah.

Selepas difikirkan masak-masak, beliau memutuskan membuka sebuah kedai dinamakan Julie Bakes di tengah-tengah kawasan Kampong Glam.

Kini, perniagaan yang sudah berusia tiga tahun itu sudah dikenali dalam kalangan penggemar kek fusion seperti kek ondehondeh, salted caramel dan serawa durian.

Oleh sebab kedudukannya di tengah-tengah kawasan Kampong Glam di Baghdad Street, perniagaan itu menarik perhatian ramai pengunjung.

"Semasa menjalankan perniagaan di rumah, hampir setiap hujung minggu saya mendapat tempahan membuat kek cawan atau eclair coklat daripada kawan-kawan dan kenalan. Ketika itu, saya masih bekerja sebagai pengurus dalam industri minyak dan gas. Tetapi, akibat kelemahan industri itu, saya diberhentikan kerja pada 2015.

"Selepas enam bulan menjalankan perniagaan itu di rumah, saya memutuskan membuka sebuah kedai untuk mengembangkan perniagaan saya,'' kata Cik Juliana, 46 tahun, yang mengongsi pengalaman beliau kepada sekitar 60 peniaga kecil-kecilan dari rumah dalam satu acara yang dianjurkan cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura, Dewi@DPPMS.

Oleh sebab sekatan undang-undang, beliau berkata menjalankan perniagaan di rumah tidak membolehkan beliau menjual dalam acara-acara di luar seperti acara korporat dan sekolah.

Dengan tempat yang terhad di rumah, beliau juga tidak dapat menerima tempahan yang besar.

"Jika kita mempunyai cita-cita mengembangkan perniagaan ini, saya rasa ia agak sukar menjalankan perniagaan di rumah sahaja,'' kongsi Cik Juliana.

Berbekalkan modal awal $50,000 hasil simpanan beliau, suami,  ibu bapa mentua, ipar, beliau membuka kedai itu di 14 Baghdad Street. Beliau amat bersyukur kerana tidak mempunyai masalah pekerja kerana menerima sokongan dua kakaknya serta dua kakak iparnya yang menjadi tulang belakang sebagai tenaga kerja di kedainya itu.

"Tentunya, menjalankan perniagaan di kedai mempunyai cabarannya sendiri. Kos amat tinggi terutama sewa dan pekerja.

"Sesiapa yang ingin membuka kedai setelah menjalankan perniagaan di rumah perlu fikirkan masak-masak terutama soal kewangan. Misalnya, mereka perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya enam bulan harga sewa, serta sediakan kos ubah elok dan kos pelesenan,'' jelasnya.

Peniaga juga perlu tahu mengenai selokbelok mendapatkan kelulusan pihak berkuasa seperti Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang akan meluluskan susun atur kedai.

Ketika baru-baru berniaga di kedai, tempahan yang banyak memerlukan beliau bekerja hingga larut malam, kadangkala sampai 2 pagi hingga 3 pagi.

"Ia mengambil masa membuat kek cawan, epok-epok dan kek. Selepas perkiraan, saya mengurangkan jumlah epok-epok yang dijual kerana marjin keuntungannya rendah,'' ujar Cik Juliana, yang mengambil masa selama setahun sebelum mendapat balik modal.

Beliau juga banyak menjalankan acara bagi mendekati pelanggan seperti pameran, dan acara sekolah.

"Selepas berniaga di kedai, Alhamdulillah rezeki pun bertambah sebanyak tiga kali daripada apa yang dikecapi di rumah. Kepuasan yang diperolehi tentu sahaja melihat pelanggan saya berpuas hati dengan makanan yang kami jual.

"Ketika berniaga inilah teringat susah payah arwah ibu saya membesarkan adik-beradik dengan menjual kek lapis dan puteri salat. Rasa gembira kerana dapat merasai kepayahan beliau menjalankan perniagaan sendiri,'' tambah Cik Juliana.

Waktu Solat

Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
3 HR PSI: 61
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.