Pakar ekonomi: Belanjawan kurangi kesan Covid-19 tapi tak dapat elakkan kemelesetan, Berita Ekonomi & Kerja - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:53
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Ekonomi & Kerja3

MENGHADAPI COVID-19

Pakar ekonomi: Belanjawan kurangi kesan Covid-19 tapi tak dapat elakkan kemelesetan

'Bantuan daripada bajet bantu firma selamatkan kerja namun pemberhentian pekerja tak dapat dielak'
Apr 11, 2020 | 05:30 AM

PELAKSANAAN langkah 'pemutus litar' selama sebulan hingga 4 Mei bagi mengekang penularan wabak Covid-19 akan mempunyai kesan terhadap ekonomi, dengan beberapa pakar ekonomi menurunkan lagi ramalan pertumbuhan bagi Singapura tahun ini.

Belanjawan Kesepakatan yang diumumkan Isnin lalu akan meredakan sedikit kesan itu, kata mereka, namun ia serta dua belanjawan sebelum itu - Belanjawan 2020 Februari lalu dan belanjawan tambahan pertama bulan lepas - tidak akan mengelakkan Singapura daripada terjerumus ke dalam kemelesetan memandangkan kesan sejagat pandemik itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan Kesepakatan bernilai $5.1 bilion bagi mengatasi kesan daripada pandemik Covid-19, khususnya untuk membantu warga dan perniagaan dalam mengharungi tempoh 'pemutus litar' itu.

Ia tambahan daripada Belanjawan Berdaya Tahan bernilai $48.4 bilion diumumkan pada 26 Mac dan Belanjawan Perpaduan bernilai $6.4 bilion diumumkan pada 18 Februari lalu.

Ketiga-tiga Belanjawan itu bernilai $59.9 bilion, atau 12 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura.

Penutupan khidmat tidak penting selama sebulan masih mempunyai kesan kepada ekonomi

Pakar Ekonomi Maybank Kim Eng, Dr Chua Hak Bin, menganggarkan penutupan perkhidmatan tidak penting selama sebulan boleh menelan kos $10 bilion, atau 2 peratus daripada GDP.

"Perkhidmatan tidak penting membentuk 30 peratus GDP dan ini termasuk sektor runcit, permainan, binaan projek perumahan dan pejabat, pelayanan dan khidmat perniagaan. Melanjutkan lagi tempoh pemutus litar - sesuatu yang Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong boleh timbangkan jika perlu kalau kes Covid-19 masih membimbangkan - akan menelan kos $20 bilion,'' ujar Dr Chua.

Di bawah langkah 'pemutus litar', hanya sektor penting seperti penjagaan kesihatan, komunikasi dan pasar raya dibenarkan beroperasi.

Ekonomi Singapura masih boleh terjerumus dalam kemelesetan tahun ini

"Kami telah menurunkan ramalan ekonomi GDP kepada -6 peratus daripada -2.3 peratus setelah langkah pemutus litar menutup 30 peratus ekonomi selama sebulan. Kemelesetan Covid-19 lebih mendalam daripada Krisis Kewangan Asia atau Krisis Kewangan Sejagat. Pertumbuhan ekonomi suku kedua dijangka susut sekitar -16 peratus berbanding setahun lalu.

"Belanjawan Kesepakatan akan menyelamatkan pekerjaan tetapi tidak dapat mengelakkan kemelesetan daripada langkah 'pemutus litar','' tambah Dr Chua.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan ekonomi tahun ini kepada -4 dengan -1 peratus, daripada -0.5 dengan 1.5 peratus disebabkan pandemik itu.

Ketua Penyelidikan dan Strategi OCBC, Cik Selena Ling, mengekalkan ramalan ekonomi menguncup -3 peratus selepas langkah 'pemutus litar' dilaksana.

"Walaupun kami melihat risiko meningkat disebabkan langkah 'pemutus litar' selama sebulan dan berlakunya kemelesetan, agak sukar membuat anggaran memandangkan pandemik Covid-19 masih pesat berubah dan kesan kumulatif akibat pembentangan tiga belanjawan itu walaupun kami jangkakan ia tidak akan mengelak negara ini daripada terjerumus dalam kemelesetan,'' jelas Cik Ling.

Bolehkah Belanjawan Kesepakatan serta belanjawan lain menyelamatkan pekerjaan?

Dalam Belanjawan Kesepakatan, pemerintah mengumumkan ia akan meningkatkan sokongan gaji di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dengan membayar kepada majikan 75 peratus daripada jumlah $4,600 pertama gaji semua pekerja setmpatan bulan ini.

Selepas April, skim itu akan kembali membiayai 25 peratus, 50 atau 75 peratus hingga hujung tahun ini.

Firma juga tidak perlu membayar levi pekerja asing untuk bulan ini, dan akan menerima rebat $750 bagi setiap pemegang Permit Kerja atau Pas Khas.

Pemerintah juga akan mengecualikan sewa satu bulan untuk penyewa daripada agensi pemerintah bagi pejabat, komersial, dan pertanian, naik daripada 0.5 bulan yang diumum sebelum ini.

Bantuan daripada Belanjawan itu akan membantu firma menyelamatkan pekerjaan tetapi langkah menurunkan kos melalui pemberhentian pekerja itu tidak akan dapat dielakkan.

Cik Ling menjangkakan pemberhentian pekerja boleh mencapai 150,000 hingga 200,000 tahun ini, dengan pekerja asing merangkumi lebih separuh daripada jumlah itu.

"Sokongan kewangan pemerintah disasarkan bagi menyelamatkan pekerjaan pekerja setempat tetapi syarikat yang mempunyai pekerja asing menerima bantuan lebih rendah. Bantuan Belanjawan seperti JSS mungkin tidak mencukupi,'' ujar beliau.

Pakar Ekonomi UOB, Encik Barnabas Gan, berkata JSS mungkin tidak mencukupi jika ekonomi mengambil tempoh lama untuk pulih.


"Kami telah menurunkan ramalan ekonomi GDP kepada -6 peratus daripada -2.3 peratus setelah langkah pemutus litar menutup 30 peratus ekonomi selama sebulan. Kemelesetan Covid-19 lebih mendalam daripada Krisis Kewangan Asia atau Krisis Kewangan Sejagat. Pertumbuhan ekonomi suku kedua dijangka susut sekitar -16 peratus berbanding setahun lalu. Belanjawan Kesepakatan akan menyelamatkan pekerjaan tetapi tidak dapat mengelakkan kemelesetan daripada langkah 'pemutus litar'.
- Dr Chua Hak Bin, pakar Ekonomi Maybank Kim Eng.

"Walaupun kami melihat risiko meningkat disebabkan langkah 'pemutus litar' selama sebulan dan berlakunya kemelesetan, agak sukar membuat anggaran memandangkan pandemik Covid-19 masih pesat berubah dan kesan kumulatif akibat pembentangan tiga belanjawan itu walaupun kami jangkakan ia tidak akan mengelak negara ini daripada terjerumus dalam kemelesetan... Sokongan kewangan pemerintah disasarkan bagi menyelamatkan pekerjaan pekerja setempat tetapi syarikat yang mempunyai pekerja asing menerima bantuan lebih rendah. Bantuan Belanjawan seperti JSS mungkin tidak mencukupi."
- Cik Selena Ling, Ketua Penyelidikan dan Strategi OCBC, mengekalkan ramalan ekonomi menguncup -3 peratus selepas langkah 'pemutus litar' dilaksana.


SEKILAS BANTUAN PAKEJ KESEPAKATAN

BAGI RAKYAT DEWASA

Semua warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas akan menerima wang tunai $600 dalam Bayaran Pakej Kesepakatan bulan ini.

(Semasa Belanjawan 2020 pada Februari, pemerintah mengumumkan bayaran antara $100 dengan $300 bagi setiap warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas di bawah Pakej Jagaan dan Sokongan -- Tunai. Bulan lalu, jumlah itu ditambah kepada antara $300 dengan $900 dan akan diberi antara Ogos dan September. Tetapi semasa membentangkan Pakej Kesepakatan pada 6 April, pemerintah mengumumkan $300 daripada Pakej Jagaan dan Sokongan - Tunai akan diberi lebih awal, iaitu bulan ini, dan akan menokok $300, menjadikan jumlah $600.)

BAGI PR DAN LTVP+

- Penduduk Tetap (PR) dan Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang Plus (LTVP+) Singapura yang mempunyai ibu bapa, pasangan atau anak rakyat Singapura boleh memohon Bayaran Kesepakatan sekali sebanyak $300.

BAGI PEKERJA

Pemerintah meningkatkan sokongan gaji kepada majikan di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dengan membayar 75% daripada jumlah $4,600 pertama gaji setiap pekerja tempatan bulan ini bagi semua sektor.

- Selepas bulan ini, skim itu kembali kepada kadar pembiayaan asal - 25%, 50% atau 75%, bergantung pada sektor.

- Pembiayaan selama sembilan bulan.

(JSS diumum dalam Belanjawan Februari bagi membantu majikan mengekalkan pekerja tempatan (warga dan PR Singapura) mereka dalam tempoh ekonomi tidak menentu ini. Ia dipertingkat dalam Belanjawan Berdaya Tahan bulan lalu untuk menyediakan subsidi gaji 75% bagi majikan sektor penerbangan dan pelancongan; 50% bagi sektor perkhidmatan makanan; dan 25% bagi sektor lain. Had gaji bulanan layak bagi subsidi itu dinaikkan daripada $3,600 kepada $4,600.

BAGI FIRMA

- Pengecualian Levi Pekerja Asing bulanan (FWL)bagi bulan ini

- Rebat FWL $750 bagi bulan ini daripada levi yang dibayar tahun ini bagi setiap pemegang Permit Kerja atau Pas Khas

- Undang-undang pastikan pemilik hartanah salurkan rebat Cukai Harta kepada penyewa

- Pengecualian sewa 1 bulan bagi penyewa daripada agensi pemerintah bagi pejabat, komersial, dan pertanian

- Bahagian risiko pemerintah naik daripada 80% kepada 90% pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Perniagaan (EFS) - Pinjaman Perdagangan; EFS - Pinjaman Modal Kerja SME; dan Program Pinjaman Penyambung Sementara

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map