Pembeli 'gigit jari' dek pengimport kereta selari henti operasi

SEBUAH pengimport kereta selari di Woodlands Close dipercayai telah gulung tikar, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 pembeli terpaksa menggigit jari.

Pelanggan Royal Automotive berkata syarikat itu berhutang kira-kira $600,000 kepada mereka dan pengarah atau kakitangan syarikat itu tidak dapat dihubungi sejak dua bulan lalu.

Royal Automotive telah mengosongkan bilik pamerannya dan laman Facebooknya telah diturunkan, sementara laman web sgCarMart menyenaraikan ia sebagai "tidak beroperasi".

Pengarah syarikat itu, Syed Khairil, tidak dapat dihubungi, lapor akhbar The Straits Times pada Isnin (27 Mac).

Pembeli berkata mereka membuat tempahan dengan Royal Automotive seawal Mei lalu, dan membayar cengkeram serta bayaran hingga $100,000 tetapi tidak mendapat kereta mereka.

Ada pembeli lain berkata mereka mendapat kereta mereka hanya selepas membayar lebih untuk Sijil Hak Memiliki (COE) kenderaan dan bayaran pendaftaran tambahan.

Syarikat itu dikatakan memberitahu mereka ia menghadapi masalah kewangan dan akan membayar balik jumlah itu kemudian. Ia berhutang antara $20,000 dan $60,000 kepada para pelanggan ini.

Royal Automotive menarik perhatian pada November tahun lalu, apabila bekas wakil jualannya, Jun Chua Peng, 23 tahun, didakwa di mahkamah menggelapkan $414,564.

Syed Khairil memberitahu media pada waktu itu ia akan cuba sedapat mungkin memenuhi semua tempahan.

Bagaimanapun, Royal Automotive menghantar mesej teks kepada beberapa pembeli awal bulan ini, memberitahu mereka bahawa firma itu "kehilangan kecairan dan asetnya" dek kes Chua.

Selain meminta maaf, syarikat itu berkata "tiada apa yang kami boleh lakukan bagi walau seorang pun pelanggan".

Pembeli berkata mereka tertarik pada harga Royal Automotive yang sehingga $10,000 lebih rendah daripada penjual lain.

Seorang pelanggan, Cik C.H. Tan, 48 tahun, menempah sebuah kereta Toyota Sienta Oktober lalu dan membayar cengkeram $10,000. Pada bulan sama, firma itu meminta lagi $76,888, dengan mendakwa kereta tersebut akan diserahkan pada akhir tahun itu.

Selepas Chua didakwa, penghantaran ditangguhkan hingga Mac tetapi hingga kini Cik Tan belum menerima keretanya.

Percubaan tiga pembeli untuk mendapatkan kembali wang mereka melalui Tribunal Tuntutan Kecil juga tidak berjaya apabila Syed Khairil tidak menghadiri sesi timbang tara.

Sekurang-kurangnya 30 laporan polis dibuat melibatkan Royal Automotive, dan pihak berkuasa berkata siasatan sedang dijalankan.

Persatuan Pengguna Singapura (Case) berkata ia menerima 29 aduan mengenai firma itu sejak Julai lalu.

Pengarah Eksekutif Case, Encik kes Loy York Jiun, menasihatkan pembeli supaya memeriksa dahulu sebelum membeli daripada pengimport selari dengan melihat ulasan di forum dalam talian.

Waktu Solat

Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.