Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Pengamat: Prestasi dagangan Singapura dijangka terus hambar tahun ini

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pengamat: Prestasi dagangan Singapura dijangka terus hambar tahun ini

Nov 14, 2016 | 05:30 AM



PRESTASI dagangan di Singapura dijangka terus hambar tahun ini disebabkan pertumbuhan ekonomi sejagat yang lemah, menurut empat pakar ekonomi sejagat dan wakil agensi pemerintah yang dihubungi Berita Harian.



Faktor global seperti kelembapan di pasaran dagangan utama termasuk China dan Amerika Syarikat serta ketidaktentuan di Kesatuan Eropah (EU) menyusuli Brexit dijangka terus menghambat ekonomi negara ini.



Ketua Strategi Pendapatan Tetap dan Mata Wang Macquarie Bank Limited, Encik Nizam Idris, berkata kadar pertumbuhan dagangan global yang lebih perlahan daripada biasa membimbangkan kerana ia mencerminkan trend ekonomi yang bersifat nasionalis.



"Lebih lama pertumbuhan ekonomi lembap, lebih besar pengaruh politik yang dipacu kemarahan, nasionalisme dan akhirnya sentimen antipenyejagatan.



"Justeru, sekitaran ini akan berterusan buat sementara waktu dan trend pertumbuhan global lemah boleh berterusan lagi," ujarnya.



Baru-baru ini, Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) menurunkan ramalan pertumbuhan dagangan sejagat kepada 1.7 peratus tahun ini berbanding 2.8 peratus pada April lalu.



Kesannya diperlihatkan pada prestasi eksport bukan minyak dalam negeri (NODX) yang kurang cergas tahun ini yang tumbuh untuk hanya dua daripada sembian bulan lalu. Bagi separuh pertama tahun ini, NODX sudah pun merosot 4.7 peratus, menurut International Enterprise (IE) Singapore.



Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Kajian Forex, Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, berkata prestasi NODX yang tidak menentu itu mencerminkan kelembapan, khususnya di pasaran eksport utama seperti China dan EU.



"Sekitaran luaran tidak mungkin menyokong ekonomi Singapura bagi tiga hingga enam bulan mendatang. Krisis antarabangsa seperti Brexit dan Hanjin akan menjejas dagangan dan sentimen peniaga akan menjadi berhati-hati apabila mahu melabur dan meluaskan perniagaan.



"Tetapi segmen elektronik akan pulih sedikit - sama ada pemulihan itu datang daripada proses menambah bekalan elektronik atau permintaan untuk produk baru," terangnya.



Keadaan dagangan lemah ini boleh berlarutan sehingga 2018, menurut Pengarah Pengurusan Harta (Strategi Ekonomi dan Pasaran) Financial Alliance, Encik Sani Hamid.



"Dagangan akan terjejas untuk tempoh setahun hingga satu setengah tahun lagi kerana seluruh dunia sedang melalui tempoh mengurangkan bebanan hutang.



"Inilah tempoh orang ramai akan mengurangkan perbelanjaan dan membayar hutang mereka. Ia tidak mewujudkan pertumbuhan tetapi ia adalah tempoh yang penting. Semasa tempoh ini ada risiko keadaan akan lebih memburuk," tambah beliau.



Namun, satu kelebihan dalam tempoh sukar ini ialah ia akan memaksa syarikat supaya berinovasi dan meneliti semula strategi perniagaan mereka, ujar Encik Sani.



Pengamat meramalkan bahawa dagangan setempat akan susut 2 hingga 5 peratus tahun ini dan pulih tahun depan, dengan pertumbuhan 2 peratus.



Sementara itu, Pengarah Kumpulan Perancangan IE Singapore, Cik Jacelyn Teo, membayangkan dua risiko tambahan mungkin boleh berlaku dalam ekonomi global yang tidak menentu.



Pertama ialah pertumbuhan ekonomi boleh lebih lembap jika kesan Brexit ke atas pelaburan dan penggunaan lebih besar daripada jangkaan.



Kedua, jika ekonomi China yang bergerak perlahan dapat bergerak dengan lebih mendadak sekiranya hutang tertunggak negara itu melonjak, sedang ekonominya disusun semula.



"Sekitaran permintaan luaran yang lemah akan menjejas eksport barangan kita. Pada masa sama, harga minyak yang terus lemah tanpa mengira pemulihan baru-baru ini akan turut menjejas dagangan," tambah beliau.



RALAT: Dalam versi awal laporan ini, kami menyatakan NODX merosot 4.5 peratus. Ini silap. Perangkaan sebenar adalah 4.7 peratus.  



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >