Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Peniaga muda suntik kesegaran dalam sekitaran perniagaan Melayu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Peniaga muda suntik kesegaran dalam sekitaran perniagaan Melayu

Sep 01, 2019 | 05:30 AM



USIA mereka muda, berfikiran global dan berani bergerak pantas.



Mereka tidak hanya menyasarkan pasaran Melayu sahaja.



Pasaran dunia didambakan mereka.



Itulah ciri usahawan muda Melayu/Islam yang mulai mengubah sekitaran niaga hari ini.



Kebanyakan usahawan muda ini mempunyai pendidikan tinggi tetapi berani meneroka luar zon keselesaan mereka untuk mencuba sesuatu yang baru.



Anjakan minda yang terpatri dalam diri anak-anak muda itu bagai menyuntik kesegaran dalam dunia niaga Melayu/Islam Singapura hari ini.



Keadaan cukup berbeza jika dibandingkan dulu kala.



Dulu, sebilangan orang yang berniaga akibat kesempitan wang.



Oleh kerana tidak dapat meneruskan sekolah, mereka ambil keputusan untuk berniaga demi mencari sesuap nasi bagi membantu keluarga.



Seperti pengasas MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel, beliau pernah menjadi pekerja pembersihan semasa kecil.



Melihat kehidupan bapanya yang susah sebagai peniaga kedai mama di Stamford Road belakang MPH, Encik Jaleel berhenti sekolah untuk melakukan kerja-kerja buruh sekitar pertengahan 1970-an.



Kini, jutawan itu mengendalikan pelbagai perniagaan termasuk asrama bagi pekerja buruh, logistik dan hotel.



Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan terpaksa berhenti sekolah di menengah dua untuk bekerja sebagai pemotong rumput pada usia 13 tahun bagi membantu ibunya dan menyekolahkan empat beradiknya.



Kini, pengerusi Bourbon Offshore Asia, syarikat penyedia khidmat marin mengendalikan perniagaan yang mempunyai ekuiti pemegang saham sebanyak lebih AS$300 juta ($413 juta).



Jika kita amati peniaga muda Melayu/Islam hari ini, semakin ramai yang menceburi bidang niaga hari ini adalah golongan yang mempunyai pelajaran.



Mereka tidak terdesak menceburi bidang niaga akibat kesempitan hidup.



Dengan kelulusan universiti, mereka boleh ambil jalan mudah untuk bekerja makan gaji.



Tetapi sebaliknya, mereka mengambil risiko untuk menceburi bidang niaga yang belum tentu boleh berjaya.



Lulus dengan ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Muhammad Hanif Ghazali mengorak langkah membentuk firma membangun permainan elektronik, Joysteak Studios.



Permainan direkanya Songbird Symphony bersama dua rakan beliau telah dilancarkan ke seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat, menerusi wadah permainan seperti Nintendo Switch, Steam dan Playstation Network.



Dari awal lagi, dunia menjadi pasaran sasaran beliau.



Peniaga muda ini tidak teragak-agak bekerjasama dengan rakan-rakan niaga dari latar belakang bangsa dan agama yang berbeza.



Hanif, misalnya, berkolaborasi dengan dua rakan niaganya dari bangsa asing - Encik Tan Kang Soon dan Encik Chue Sai Hou - yang mempunyai kekuatan mereka sendiri bagi melengkapi perniagaan itu.



Dari awal membuka niaga, peniaga muda ini boleh 'menghidu' peluang niaga lebih besar di negara-negara serantau dan sejagat.



Encik Muhammad Md Rahim, 34 tahun, membentuk enjin komunikasi Qiscus yang berpangkalan di Indonesia.



Aplikasi itu membolehkan mereka berbincang mengenai soal kerja secara langsung berdasarkan pelbagai topik dalam 'bilik-bilik berbeza' bagi memudahkan perbincangan dilakukan dengan lebih tersusun.



Aplikasi itu, yang dibentuk bersama oleh Encik Muhammad Amin Nordin, Encik Delta Purna Widyangga dan Encik Evan Purnama, kini digunakan sekitar 300 syarikat di serata dunia sejauh Amerika Selatan dan Eropah.



Jika dilihat, peniaga-peniaga muda ini tidak hanya menceburi bidang tradisional seperti runcit, fesyen dan makanan dan minuman (F&B) tetapi telah berganjak ke sektor baru seperti dalam bidang teknologi dan digital.



Ia cukup menyegarkan dan memberikan harapan bahawa lebih ramai anak muda Melayu yang berjaya dalam perniagaan dapat dilahirkan pada masa hadapan.



Apakah pemangkin perubahan itu?



Selain pendedahan, pengetahuan dan pergaulan, satu pemangkin utama yang mendorong perubahan itu ialah teknologi.



Teknologi membuka banyak peluang perniagaan yang sukar ditembusi sebelum ini.



Dengan teknologi, menebarkan sayap pada peringkat antarabangsa tidak lagi sukar seperti dahulu.



Pemerintah juga telah memberi sokongan bagi firma baru start-ups dengan membentuk SG-Innovate sebagai pemangkin inovasi bagi mengkomersialkan idea ciptaan firma.



DPPMS juga melihat lebih ramai anak muda Melayu yang menyertai badan itu. Sekitar 30 peratus anggota DPPMS yang baru seramai 730 anggota merupakan peniaga muda yang berusia di bawah 35 tahun.



DPPMS juga dapat menarik peniaga muda dalam anggota lembaga pengarah mereka seperti Encik Imran Mohamad, pengarah urusan firma pemasar digital The Leverage Group ; Encik Fazli Mansor, pemilik IT, ISGN Ventures; dan Encik Shamir Wahid, pengasas Dayn Advisory LLP.



Sesuai dengan cita rasa mereka, buat julung-julung kali badan niaga itu akan menganjurkan acara ILLUMINATE 2019, yang pada 28 September ini sebagai wadah bagi usahawan muda pelbagai bangsa di Singapura dan rantau ini berinteraksi untuk berkongsi dan belajar mengenai cabaran dalam ruang start-ups.



Firma-firma anak muda ini dapat memberikan sumbangan besar bukan sahaja dalam masyarakat kita tetapi ekonomi negara.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyatakan sebelum ini bahawa masyarakat kita perlu menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 10 syarikat kecil dan sederhana (SME) yang mencapai pendapatan tahunan $100 juta dalam 10 tahun akan datang.



Ia bukan sesuatu di luar jangkauan kita.



Kejayaan firma milik anak-anak muda ini satu hari nanti dapat memberi suntikan dalam meningkat ekonomi masyarakat kita.



Norhaiza Hashim ialah koresponden Berita Harian. Baru-baru ini, beliau menjadi moderator sesi perkongsian niaga dengan Fatimah Mohsin di Wisma Geylang Serai serta menulis laporan bagi menyelongkar mengapa sebahagian besar rumah kedai di Kampong Glam disewa sepenuhnya walau harga sewa tinggi.




"Jika dilihat, peniaga-peniaga muda ini tidak hanya menceburi bidang tradisional seperti runcit, fesyen dan makanan dan minuman (F&B) tetapi telah berganjak ke sektor baru seperti dalam bidang teknologi. Ia cukup menyegarkan dan memberikan harapan bahawa lebih ramai anak muda Melayu yang berjaya dalam perniagaan dapat dilahirkan pada masa hadapan. Apakah pemangkin perubahan itu? Selain pendedahan, pengetahuan dan pergaulan, satu pemangkin utama yang mendorong perubahan itu ialah teknologi. Teknologi membuka banyak peluang perniagaan yang sukar ditembusi sebelum ini. Dengan teknologi, menebarkan sayap pada peringkat antarabangsa tidak lagi sukar seperti dahulu."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >