Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Ekoniaga

Penularan Covid-19 dorong usul laksana undang-undang sewa ruang niaga lebih adil

May 22, 2020 | 09:30 AM

INDUSTRI makanan dan minuman, yang tergugat akibat kesan wabak Covid-19, telah meminta agar diadakan undang-undang yang memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penyewa ruang perniagaan ketika berurusan dengan pemilik hartanah.

Sebanyak 15 cadangan yang diusulkan Jawatankuasa Rangka Kerja Industri bagi Penyewaan Yang Adil (FTFIC) telah dikemukakan semalam kepada Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.

Kerangka ini menggariskan daya usaha tiga serangkai: Meminta tuan tanah bersikap telus dengan penyewa; menghendaki tuan tanah berkelakuan baik; dan tuan tanah mesti mengekalkan komisyen penyewaan yang adil.

Ia juga mengesyorkan agar dua tahap data sewa tersedia untuk digunakan oleh penyewa semasa rundingan.

Salah satunya termasuk pangkalan data sewa awam yang harus dimuat setiap bulan, sementara angka penghasilan di peringkat gedung atau bangunan dan prestasinya harus disediakan oleh tuan tanah kepada penyewa.

Encik Ashok Melwani, pemilik restoran Italy, Modesto's, memberitahu The New Paper semalam bahawa ini merupakan  masalah lama sebelum Covid-19 lagi.

Ia muncul setelah Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) diluluskan bulan lalu untuk memastikan pemilik harta tanah komersial memberikan potongan harga harta tanpa syarat kepada penyewa mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah bantuan yang diberikan pemerintah.

Encik Melwani, yang telah berkecimpung dalam industri F&B selama 38 tahun, berkata: "Terdapat mandat di antara pemilik hartanah institusi untuk memaksimumkan sewa, meninggalkan sedikit atau tanpa ruang sedikitpun untuk pemegang amanah untuk berunding."

Pengalaman mengecewakan ini adalah salah satu sebab mengapa Encik Melwani, 62, memutuskan untuk menutup pintu Modesto bulan depan, setelah 23 tahun. 

"Sekiranya tuan tanah institusi tidak membantu menyelamatkan penyewa, sayangnya akan ada lebih banyak penutupan yang akan datang," katanya.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana merangkap pengerusi FTFIC, Encik Kurt Wee, memberitahu akhbar The Straits Times: 

"Ketika rebat sewa diumumkan, ada banyak pertengkaran mengenai apakah pemilik hartanah akan memberikan potongan harga kepada penyewa dan berapa banyak yang akan mereka berikan.

"Banyak tuan tanah institusi mengenakan syarat kepada penyewa ketika memberikan rebat dan hampir selalunya mengenakan syarat sekatan. Ada tu tidak peduli betapa perlunya penyewa menginginkan bantuan segera, tetapi pemilik hartanah pula mengusulkan pembayaran bertangguh dan berperingkat selama berbulan-bulan."

Pengerusi bersama yang juga naib presiden Persatuan Restoran Singapura, Encik Andrew Kwan, berkata: 

"Sekiranya kita tidak dapat mencari penyelesaian dalam tempoh ini, apa yang mungkin akan terjadi adalah ini akan diterjemahkan kepada penutupan dan kehilangan pekerjaan yang sebenarnya. Kami mengupah kira-kira 200,000 pekerja dan kesannya besar."

Encik Logan Wong, pengedar Yankee Candle, semalam berkata, undang-undang seperti itu akan membantu penyewa seperti beliau yang telah bergelut dalam rundingan penyewaan.

Encik Lucas Tok, pensyarah pemasaran dan runcit di Politeknik Singapura berkata, cadangan ini semestinya sudah lama dibuat.

Beliau berkata: "Kedai-kedai yang menyediakan khidmat asas telah menderita selama beberapa tahun terakhir dan pemilik hartanah tidak benar-benar menyokong. 

"Ia selalu berada di titik puncak perbincangan bahawa tuan tanah harus lebih bertanggungjawab. Isu-isu ini sudah lama wujud dan Covid-19 telah mendesak agar permasalahan ini semua ditangani segera." - The New Paper