Restoran Mamanda tutup tirai 7 April lalu

Proses tender bagi dapatkan penyewa baru ditutup 15 Februari lalu namun belum ada butiran

RESTORAN Mamanda sudah 'melabuhkan tirai' menyusuli saga yang melanda syarikat itu selepas pertikaiannya dengan Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Mamanda, yang telah beroperasi di premis Gedung Kuning sejak tujuh tahun lalu, telah ditutup pada 7 April lalu.

MHF telah membuka tender bagi mencari penyewa baru bagi ruang itu dan tender itu telah ditutup pada 15 Februari lalu.

Mamanda diarah mengosongkan premis Gedung Kuning setelah MHF mendakwa restoran itu tidak memenuhi tanggungjawab kontrak semasa tempoh sewanya tetapi alasan itu dipertikaikan oleh Mamanda.

Mamanda sepatutnya mengosongkan premis itu pada 1 April, tetapi Pengarah Urusan Mamanda, Encik Zulkarnine Hafiz, berkata pihaknya meminta tempoh itu dilanjutkan bagi satu majlis perkahwinan terakhir diadakan di Mamanda pada 6 April lalu.

"Secara rasmi, kami menutup Mamanda pada 7 April lalu.

"Tentunya kami berasa sedih dengan penutupan itu setelah beroperasi selama tujuh tahun.

"Selama itu, kami telah berusaha meningkatkan martabat makanan Melayu dengan antaranya memperkenalkan program seperti menarik murid-murid sekolah ke Mamanda untuk mendidik mereka mengenai makanan Melayu,'' kata Encik Zulkarnine.

Akhbar Berita Harian (BH) melaporkan pada 20 Disember lalu bahawa Mamanda telah diarah mengosongkan premis itu oleh MHF.

MHF telah mengeluarkan iklan di BH akhir tahun lalu untuk mengumumkan bahawa tender dibuka bagi mencari rakan kongsi baru yang boleh bekerjasama dengan mereka dalam pembangunan kawasan pemuliharaan bersejarah itu bagi fasa seterusnya.

Satu taklimat mengenai tender itu telah diadakan pada 10 Januari lalu yang menarik penyertaan sekitar 13 syarikat.

BH difahamkan bahawa beberapa syarikat yang mengemukakan tender tetapi gagal mendapatkannya telah pun mendapat tahu keputusan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Restoran Islamic, Encik Kalil A. Wahab, memberitahu BH bahawa pihaknya tidak memenangi tender tersebut.

Mereka membida menggunakan syarikat Foodstop Pte Ltd, di bawah Restoran Islamic, dan bekerjasama dengan Persekutuan Kulinari Halal Singapura (SHCF).

MHF, ketika diminta mengulas, tidak mahu memberikan butiran lanjut mengenai tender berkenaan buat masa ini.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
3 HR PSI: 42
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.