SIRI MEMPERSIAP BAGI EKONOMI BARU

Sertai pameran luar negara dengan geran pemerintah

WALAUPUN baru dibentuk pada 2015, lebih 80 peratus pendapatan syarikat teknologi kunci bijak Singapura, Igloohome, dijana dari luar negara.

Syarikat teknologi baru yang diasaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Igloohome, Encik Anthony Chow, amat aktif dalam menyertai pameran dagangan luar negara bagi memasarkan produknya.

Kos menyertai pameran luar negara memang mahal tetapi syarikat itu berjaya mendapat Program Kegiatan Pemasaran Antarabangsa (iMap) kendalian Enterprise Singapore yang mengurangkan sehingga 70 peratus kos pameran.

Hasil menyertai pameran dagangan, IFA 2017 di Berlin, Jerman, tahun lalu, beliau dapat rakan pengedaran baru dan mendalami hubungan dengan rakan-rakan pengedaran yang sedia ada di Eropah.

"IFA 2017 merupakan pameran ulung bagi industri teknologi sejagat yang menarik hampir 2,000 syarikat teknologi.

"Jika anda berminat dengan pasaran Eropah, ingin memahami landskap daya saing, mempelajari sikap pengguna dan mendapatkan urus niaga baru, ia merupakan satu pameran yang baik untuk disertai,'' kata Encik Chow yang tidak menjadikan kos ribuan dolar yang tinggi sebagai halangan untuk menyertai pameran itu di bawah Pavilion Singapura.

IglooHome mempunyai pengedar di negara-negara Asean seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia dan sedang mencari pengedar di Filipina.

"Kami amat optimis mengenai pasaran akses bijak di Asia dan menjangka pelaksanaan teknologi itu akan tumbuh lebih pantas dari negara lain di dunia menjelang lima tahun mendatang,"' katanya.

Dengan iMAP, beliau dapat membiayai kos seperti menyewa ruang pameran, memasang gerai pameran dan tiket bagi pameran itu.

Encik Chow menarik perhatian bahawa syarikat yang mendapatkan iMAP perlu membiayai bil itu terlebih dahulu sebelum dibayar kemudian hari.

Igloohome, merupakan syarikat yang dibentuk beliau dan rakan pengasasnya pada Julai 2015, bagi mencipta kotak kunci bijak yang pertama di dunia.

Sebagai hos dan penyewa rumah Airbnb, mereka merasakan pertukaran kunci secara fizikal menyusahkan lebih-lebih lagi apabila tetamu mahu memasuki rumah Airbnb itu pada waktu malam.

Biasanya, pemilik perlu bertemu penyewa untuk memberikan kunci. Ada pula yang menyembunyikan kunci di bawah alas kaki dan dalam pasu bunga tetapi ia tidak selamat.

"Kotak kunci bijak direka untuk menyelesaikan masalah itu. Simpan kunci atau kad kunci dalam Kotak Kunci Bijak igloohome.

"Pelawat boleh membuka kotak itu dengan kod PIN unik atau kunci bluetooth. Ia juga boleh menjadi meja tamu 24/7,'' jelas Encik Chow.

Tetamu boleh menerima kod PIN tanpa perlu memuat turun aplikasi tetapi sebaliknya, menerima kod itu melalui whatsapp, we chat atau wadah mesej lain bagi memudahkan tetamu.

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri https://ie.enterprisesg.gov.sg/IMAP.

  • Laporan ini dibawakan oleh Majlis Ekonomi Masa Hadapan

Waktu Solat

Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.