Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Ekoniaga

Peruncit Kg Glam TEROKA DUNIA DIGITAL agar tidak terus tenggelam

Syarikat giat buat promosi, berhubung dengan pelanggan dalam talian, media sosial

Jun 15, 2020 | 05:30 AM

KEDAINYA baru dibuka sekitar Oktober tahun lalu di Arab Street, tetapi keghairahan pengasas bersama The Min List, Cik Nur Adlina Adyani Abu Samah, itu hanya sementara apabila ia terpaksa ditutup berikutan langkah pemutus rantaian jangkitan yang dikuatkuasakan akibat Covid-19.

"Sejak koronovirus ini mula tercetus dan pemerintah seluruh dunia mula menggesa warga agar duduk di rumah bagi mengurangkan penularan, kami sudah saksikan pengurangan daripada segi jumlah pengunjung," ujarnya.

Mujur meski kedainya diarahkan tutup, Cik Adlina, 35 tahun, berkata beliau bersyukur kerana syarikatnya, yang ditubuhkan sekitar empat tahun lalu, sebenarnya bermula daripada platform dalam talian.

Langkah pertama yang beliau laksanakan adalah mengumpul semua e-mel pelanggannya dan memberitahu mereka bahawa kedainya yang menjual barang-barang kecantikan itu ditutup.

"Kami kemudian memastikan kami sentiasa berhubungan dengan pelanggan dengan menghantar e-mel mengenai promosi atau panduan kecantikan terbaru bersesuaian dengan demografik dan minat pelanggan kami," katanya.

Semua usaha ini bertujuan mengalihkan trafik kepada laman web mereka yang menjual banyak produk kecantikan halal, organik dan diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan.

Menurutnya, sepanjang tempoh pemutus litar ini juga, pihaknya memperhebat pemasaran mereka dalam talian dan juga di pelbagai platform media sosial bagi terus mendekati pelanggan sedia ada dan yang baru. Syarikat itu mula bekerjasama dengan syarikat lain demi meraih pelanggan baru selain memberi produk percuma kepada pengikut mereka.

Pemasaran secara e-mel juga ditingkatkan untuk memberitahu pelanggan bahawa mereka tidak dilupakan serta mengajak pelanggan melungsuri laman mereka bagi melihat produk dan promosi terkini dengan harapan ia dapat meraih penjualan.

Justeru program One Kampong Glam membantu 1,200 peniaga memanfaatkan teknologi sesuatu yang amat dialu-alukan Cik Adlina.

"Kalau kita lambat mendakap pendigitalan sekarang, kita akan ketinggalan dan ini akan menjejas perniagaan anda pada jangka masa panjang," katanya.

Menurut Cik Adlina lagi, beliau menyambut baik usaha ini kerana ia membuka peluang kepada perniagaan sepertinya untuk menyertai pasaraya dalam talian untuk menyebarkan jenamanya selain menarik pelanggan baru.

"Sebagai perniagaan yang perlu bertahan dalam masa-masa sukar ini, kita patut memanfaatkan segala bantuan yang dihulurkan pemerintah demi penakatan kita sendiri. Kita juga perlu lebih proaktif dalam mengambil langkah pertama itu selain berani mencuba sesuatu di luar zon keselesaan kita," tambahnya.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian