Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Terajui rangkaian Mr Bean dalam usaha perkenal menu kreatif

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PERSONALITI

Terajui rangkaian Mr Bean dalam usaha perkenal menu kreatif

Dec 19, 2018 | 05:30 AM



SUSU kacang soya dan tauhu pernah menjadi bahan sarapan tradisional yang biasanya boleh didapati di pusat penjaja Singapura - sehingga rangkaian kacang soya Mr Bean asal Singapura ditubuhkan.



Ia telah mengubah tanggapan bahawa kacang soya hanya boleh dimakan pada waktu pagi dengan lebih 60 kedai di Singapura yang terletak di stesen MRT, pusat beli-belah, hospital dan banyak lagi, melakukan perniagaan laris, menyajikan pelbagai jenis juadah inovatif berkaitan kacang soya sepanjang hari.



Tetapi Mr Bean tidak puas menempa nama di Singapura sahaja.



Pada tahun mendatang, ia mempunyai rancangan besar untuk berkembang dengan lebih agresif di luar negara menerusi model francais serta melangkah ke depan dengan strategi penjualan baru daripada dalam talian hingga pembelian di kedai.



Ia juga menggandakan penyelidikan dan pembangunanya (R&D), dan ini membuat pelanggan tertarik untuk berulang kali kembali ke Mr Bean dengan adanya sajian baru dan kreatif yang kerap dicipta setiap kali menu diperbaharui.



TAWAR PRODUK BARU



Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mr Bean Antarabangsa, Encik Loh Jwee Ooh, memberitahu The Business Times:



"Kami jual tau huay zhui (susu kacang soya), tetapi kakitangan saya golongan profesional yang berkelayakan. Bagi mempersiapkan diri kami untuk pembangunan francais di luar negara dan membuka lebih banyak kedai, kami perlu mempunyai kumpulan R&D yang kuat."



Kini, kumpulan R&D syarikat itu terdiri daripada lima orang yang bertanggungjawab mengetengahkan produk imaginatif setiap bulan, dengan produk seperti burger patti kacang soya, oatmeal, bubur kacang soya, sanwic telur, susu kacang soya hitam dan cendol soya bagi menarik pelanggan yang selalu berubah cita rasa dan fikiran.



Salah satu pembangunan terbaru dalam R&D ialah batang granola soya hasil gabungan bersama pelajar dari Politeknik Republic.



Encik Loh menerangkan bahawa dapur utama Mr Bean menghasilkan jumlah pulpa yang besar, juga dikenali sebagai okara - hampas selepas membuat susu kacang soya.



Daripada membiarkan pulpa kacang soya yang padat dengan zat serat dan protein membazir, ia dikomersialkan bagi mencipta batang granola.



Ia kini dijual di kedai Mr Bean dengan rancangan untuk memperluaskan lagi rangkaiannya.



Ini cara lain jenama itu kekal relevan bagi menarik golongan milenial hari ini dan mengikuti trend terkini.



TEROKA NIAGA DALAM TALIAN



Pada tahun baru nanti, Mr Bean bakal meneroka ruang pasaran elektronik (e-market).



Sementara penghantaran produk ditawarkan menerusi rakan kongsi seperti Foodpanda dan GrabFood, satu segmen baru yang Mr Bean telah tembusi ialah platform perdagangan elektronik (e-commerce) yang membenarkan pelanggan memesan dalam talian dan mengambilnya di kedai.



Misalnya, Mr Bean turut serta dalam kempen penjualan dalam talian 10/10 Qoo10 buat kali pertama untuk melihat jika pelanggan akan memesan.



Pada akhir kempen itu, ia meraih lebih 20,000 urus niaga penjualan daripada tawaran 'bundle' - ternyata salah satu barangan popular di platform itu.



"Respons menggalakkan itu mengejutkan kami. Kami tidak tahu kami boleh berjaya di dalam talian - selama ini, kami anggap syarikat kami sebagai operator 'offline'," kata Encik Loh.



"Menjual di dalam talian ialah satu trend dan kami tidak boleh melarikan diri. Kami mesti ikut trend untuk membawa pelanggan di dalam talian ke 'offline'."



LATIHAN PEKERJA



"Di sebalik rancangan Mr Bean untuk berkembang, ia juga mahu menangani cabaran yang dihadapi perniagaan saiz kecil dan sederhana - tenaga kerja.



"Syarikat ini akan fokus terhadap latihan dan membina tenaga kerja pada tahun akan datang. Baru-baru ini, ia membina pusat latihan sendiri di ibu pejabat di Sims Drive, di mana pekerja baru dilengkap dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan sebelum mula bertugas. Direka serupa dengan cawangan Mr Bean, ia juga tempat ujian bagi kumpulan R&D mencuba cara kerja mempersiapkan hidangan menu baru di kedai.



Pelaburan terhadap pusat latihan baru ialah tanda komitmen Mr Bean melatih pekerja daripada semua lapisan masyarakat.



"Anda menyertai Mr Bean, saya tidak kisah berapa tua umur anda. Yang paling penting ialah sikap anda, anda sihat, anda bersedia bekerja - kami bersedia melatih anda," dedah Encik Loh.



Kini, sekitar 35 peratus daripada lebih 600 pekerja berusia melebihi 50 tahun dengan sebahagian merupakan warga perintis dan bekas suri rumah.



Beliau memuji golongan pekerja ini, terutamanya boleh dipercayai dan tabah dengan pelanggan kerana mereka mempunyai pengalaman menjaga keperluan keluarga mereka.



"Kadangkala, mereka enggan bekerja kerana mereka sudah duduk di rumah terlalu lama," katanya.



"Tetapi kami membiarkan mereka mula di dapur, biar mereka membina daya keyakinan mereka sebelum melatih mereka menjadi juruwang dan pekerja menghadapi pelanggan. Ada kemudian menjadi penyelia kedai."



Dengan kemajuan teknologi seperti cara pembayaran baru yang kerap kali muncul, Mr Bean juga sedang berusaha melatih pekerjanya supaya mengikut perubahan.



Ia pastinya mencabar untuk melatih pekerja lebih berusia tetapi Encik Loh berkata bahawa pelaburan itu berbaloi.



"Mereka perlu banyak galakan kerana rasa takut ialah halangan pertama mereka. Tetapi selepas latihan, mereka boleh melakukan semuanya - hanya perlu membiasakan diri," katanya yang memerhatikan pekerjanya.



Sementara syarikat itu juga sedang mencari cara memperbaiki produktiviti dengan menyelaraskan proses dan menerima teknologi, Encik Loh percaya bahawa mereka juga perlu bertanggungjawab atas pekerjanya.



Katanya:



"Kami jenama setempat - kami berterima kasih kepada pelanggan kami atas semua pencapaian kami, dan sebab itu kami mesti berjasa kembali pada masyarakat. Jika SME seperti kami tidak menggajikan rakyat sendiri, siapa yang akan melakukannya?"



RANCANGAN MASA DEPAN



Walaupun Mr Bean pantas meneruskan rancangan mereka membuka lebih banyak kedai di Singapura dan luar negara pada tahun depan (ia enggan memberi jumlah tepat kerana masih dalam perbicaraan), jelas bahawa Encik Loh tidak mempunyai rancangan untuk rileks dan kurangkan usaha.



Tetapi beliau juga telah memikirkan tentangnya.



Tidak seperti kebanyakan SME yang menganggap pengurusan syarikat sebagai keluarga sahaja, Encik Loh berkata bahawa beliau terbuka membenarkan ahli profesional mengendalikan perniagaannya pada masa depan.



Buat masa kini, anak-anaknya tidak terlibat dalam perniagaannya.



"Kami perlu berfikir bahawa kami tidak perlu mempunyai seseorang mengambil alih tempat saya. Saya tidak mahu mencipta pengganti - saya mahu mencipta satu kumpulan," katanya.



"Ia tidak semestinya anak-anak saya. Ahli profesional yang tahu mengendalikan perniagaan sudah cukup bagus."



Tetapi ini bukan isu yang membimbingkan beliau buat masa sekarang.



"Saya tidak bekerja keseorangan. Sekarang, saya boleh meninggalkan syarikat selama tiga bulan dan ia tetap berjalan lancar dan sempurna," katanya, hasil kumpulan pengurusannya.



"Sistem ini boleh berjalan sendiri. Kami sebuah SME tradisional tetapi perniagaan kami dikendalikan seperti syarikat profesional." - The Business Times.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >