Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

'Terkam' peluang perluas niaga ke dalam talian, garap potensi AI

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PERTINGKAT NIAGA 'ONLINE' SEMASA WABAK COVID-19

'Terkam' peluang perluas niaga ke dalam talian, garap potensi AI

Mar 24, 2020 | 05:30 AM



APABILA trend membeli dalam talian hangat di Amerika Syarikat pada 2007, peruncit peralatan bilik air, Tuscani Tapware, berkobar-kobar menawarkan pilihan membeli dalam talian di laman webnya.



Namun, usaha itu bertemu dengan sambutan suam-suam kuku kerana trend yang belum ketara dalam pasaran setempat, lantas membatalkan khidmat itu.



Justeru, apabila trend membeli talian meledak di Singapura sekitar 10 tahun kemudian, syarikat itu, yang mempunyai bilik pameran di Paya Lebar, sudah cukup bersedia.



Kini, selain khidmat membeli dalam talian di laman web utamanya, produk Tuscani boleh dibeli di platform dalam talian lain seperti Shopee dan Lazada - kendalian pembeli francaisnya, Bath & Co Pte Ltd - di samping laman web syarikat peruncit Self-Fix DIY dan Home Fix DIY.



Sekitar 15 peratus penjualannya kini adalah daripada dalam talian.



Semasa ditemui, pemilik Tuscani, Encik Faizal Basheer, berkata pendekatan diambil adalah bertepatan apatah lagi dunia hari ini berdepan dengan kesan daripada penularan koronavirus dan ramai pengguna terjejas beralih ke dalam talian untuk membeli-belah.



Umumnya, tabiat membeli hari ini jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu, ujarnya.



"Pada 2007, apabila kami mendapati membeli dalam talian begitu popular di Amerika, kami fikir mengapa tidak perkenalkan khidmat serupa.



"Tetapi kami mendapat sifar urus niaga! Akhirnya kami sedar pada masa itu bahawa pasaran Amerika dan Singapura memang berbeza, khususnya dari sudut saiz.



"Di Amerika, sebab negaranya besar maka masuk akal menawarkan khidmat itu tetapi di Singapura yang lebih kecil, tidak ramai memerlukan khidmat seumpama itu."



Namun, trend mula berubah dengan kemunculan teknologi seperti alat bimbit dan telefon lebih canggih yang memudahkan pengguna mengakses khidmat runcit di dalam dan luar negara.



Lantaran itu, Encik Faizal terus 'menerkam' peluang yang ada bagi meluaskan perniagaannya ke dalam talian kerana sedar betapa pentingnya perniagaan hari ini memiliki strategi perniagaan yang meliputi dalam dan luar talian.



"Saya percaya tidak kira apa sahaja peringkat atau usia perniagaan anda, anda harus mengikuti perubahan zaman.



"Walaupun perniagaan kami sudah lebih 15 tahun, kami harus berfikir sejenak dan menyemak apakah trend orang muda hari ini. Kami tidak boleh ketinggalan dan harus terus membuat penyesuaian dengan trend semasa," ujarnya.



Pada masa yang sama, beliau akur tidak seperti peruncit menawarkan barangan pengguna cepat laris (FMCG), syarikatnya yang menjual peralatan bilik air berdepan dengan cabaran berbeza.



"Tidak seperti produk FMCG seperti barangan keperluan harian, peralatan bilik air ini sesuatu yang orang gunakan buat tempoh lama, dan hanya dibeli selepas beberapa tahun. Kalau difikirkan dulu memang jarang orang beli dalam talian.



"Tetapi hari ini, saya menerima pelanggan yang menempah atau membeli barangan ini di laman web kami ataupun ada yang menanyakan tentang produk kami menerusi WhatsApp, Facebook atau Instagram," terang Encik Faizal.



Meskipun begitu, Encik Faizal tetap berpegang kepada hakikat bahawa kedai fizikal amat penting dalam industrinya, kerana saling melengkapi strategi dalam talian.



"Disebabkan sifat produk kami, pelanggan tetap mahu melihat dan menyentuh sendiri produk itu. Kami pula mahu berikan nasihat tentang produk paling sesuai untuk mereka," tambahnya.



Usaha memanfaatkan teknologi tidak berhenti di situ sahaja bagi Encik Faizal.



Baru-baru ini, syarikat itu bekerjasama dengan start-up teknologi, Hangover Coupons, untuk menggarap potensi kecerdasan buatan (AI).



Dalam usaha memberi balik kepada masyarakat, Tuscani perkenalkan projek infak bagi salah satu produknya - alat paip jimat air - yang dipasang di masjid setempat.



Menerusi penggunaan teknologi chatbot AI, yang dibangunkan Hangover, masyarakat boleh menderma dan menginfak alat paip jimat air menerusi dalam talian dengan mudah.



Salah seorang pengasas Hangover, Encik Ridzuan Zin, berkata penggunaan AI memudahkan proses menderma kerana semua soalan yang biasa ditanya akan dijawab oleh chatbot dalam talian secara automaik, 24 jam.



"Ini sekali gus meleraikan masalah kurang tenaga kerja, seperti dialami Encik Faizal sendiri dalam menjalankan projek amal itu sebelum ini.



"Orang ramai yang sibuk jadual mereka juga boleh membuat amal dengan tenang dan mudah menerusi teknologi," tambahnya.



Sejauh ini, 13 masjid sudah meraih manfaat daripada projek itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >