SYARIKAT Singapore Telecommunications Ltd (SingTel) mencatatkan kenaikan 6 peratus dalam keuntungannya bagi suku ketiga tahun ini kepada $872 juta.
Ini didorong oleh prestasi lebih baik syarikat-syarikat bersekutu serantaunya, yang mengatasi kesan negatif daripada ketidaktentuan dalam pasaran mata wang asing.
Malah, prestasi ini adalah lebih baik daripada ramalan pengamat sebanyak AS$857 juta.
Pendapatan SingTel sebelum cukai tidak banyak berubah mencapai $1.26 bilion dalam suku ketiga itu.
Pendapatan operasi syarikat merosot 7.3 peratus kepada $4.26 bilion , terjejas oleh kemerosotan besar dalam dolar Australia, kata syarikat itu semalam.
Perkongsian keuntungan sebelum cukai syarikat-syarikat bersekutu SingTel meningkat 11 peratus , sebahagian besar ekoran pertumbuhan mantap dalam keuntungannya daripada Bharti AirTel Ltd, pengendali telefon bimbit utama Bharti Airtel Ltd, di India , yang mana SingTel mempunyai taruhan 32 peratus.
Jumlah pelanggan telefon bimbit SingTel meningkat 3 peratus dalam suku ketiga kepada 501 juta, kata SingTel lagi.
Pasaran perniagaan utama luar negara SingTel adalah Australia, India dan Indonesia.
Dolar Australia , rupiah Indonesia dan rupee India telah merosot masing-masing 9 peratus, 18 peratus dan 12 peratus berbanding dengan dolar Singapura dalam suku tersebut.