Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

WalletKu sediakan dompet elektronik buat 3 juta warga Indonesia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

WalletKu sediakan dompet elektronik buat 3 juta warga Indonesia

Nov 04, 2018 | 05:30 AM



MENGHIDU peluang dalam industri teknologi kewangan (fintech) di Indonesia, warga Singapura, Encik Mohamad Farid Mohd Noor, mengaup peluang itu dengan menyediakan dompet elektronik (e-wallet) bagi 3 juta penduduk Indonesia melalui firma teknologi barunya, PT WalletKu Indompet Indonesia (WalletKu).



Oleh sebab 64 peratus penduduk Indonesia tidak mempunyai akses kepada khidmat bank, WalletKu menyediakan pelbagai khidmat untuk pengguna seperti pembayaran bil, menokok kredit prabayar bagi telefon bimbit, menempah tiket sukan dan penerbangan.



"Seperti 7-Eleven di Singapura, pengguna boleh membayar bil telefon dan mengeluarkan duit. Di Indonesia, kami menggunakan warung-warung tradisional seperti di tepi jalan ini untuk menyediakan khidmat membolehkan pelanggan membayar bil mereka serta mengeluarkan duit seperti bank.



"Ketika ini, kami bekerjasama dengan lebih 22,000 perniagaan di serata Indonesia tetapi di Indonesia, terdapat 3 juta warung tradisional. Jadi, peluang pertumbuhan amat luas,'' kata Encik Farid, 42 tahun, ketua pegawai eksekutif (CEO) WalletKu yang ditemu ramah melalui sidang video yang dijalankan dari Jakarta.



Pada masa hadapan, beliau berharap menyediakan lebih banyak khidmat seperti pinjaman, simpanan deposit dan insurans di warung-warung itu.



Melihat potensi pertumbuhan besar di Indonesia dan syarikat WalletKu, kumpulan teknologi kewangan Asia yang berpangkalan di Hongkong, TNG FinTech Group, telah membeli firma Indonesia itu lantas mengukuhkan lagi kedudukan Walletku di Indonesia.



TNG memiliki aplikasi e-dompet yang memanfaatkan 1.2 bilion penduduk Asia yang tidak mempunyai akses kepada khidmat bank.



Dengan pembelian itu, yang jumlah pelaburannya tidak didedahkan, WalletKu akan disepadukan dalam Pakatan E-Dompet Sejagat, sebuah daya usaha diperkenalkan TNG pada 2016. Ia meliputi 12 negara anggota e-dompet seperti China, Singapura, Malaysia, Thailand, India, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan dan Filipina.



"Suntikan dana oleh TNG membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami di Indonesia dengan matlamat menjadi penyedia e-dompet nombor satu di Indonesia. Dengan teknologi mereka yang terkini serta rangkaian yang luas, kami berupaya meningkatkan lagi bilangan pengguna serta memperkenalkan lebih banyak produk inovatif bagi pelanggan kami,'' kata Encik Farid.



Beliau, yang telah menetap di Jakarta selama 10 tahun itu menggalak peniaga Melayu/Islam Singapura meneroka pasaran di Indonesia dan bekerjasama dengan syarikat kecil dan sederhana (SME) di negara itu.



"Apa yang mereka perlukan ialah pemindahan teknologi dan pengetahuan pengurusan yang boleh disediakan oleh peniaga Singapura. Kita juga mempunyai kelebihan kerana mempunyai kekuatan dalam bidang pemasaran dan komunikasi. Jadi, manfaatkan peluang itu bagi meningkatkan nilai tambah syarikat di Indonesia,'' ujarnya.



Tetapi, beliau berkata amat penting bagi peniaga Singapura tinggal di Indonesia untuk menjalankan perniagaan.



"Agak sukar menjalankan perniagaan di Indonesia secara remote jika peniaga Singapura itu terus tinggal di Singapura. Indonesia merupakan negara yang besar. Cara orang Surabaya menjalankan perniagaan berbanding orang Medan amat berbeza. Jadi, kita perlu berada di sini dan berinteraksi dengan mereka bagi memahami budaya dan perbezaan itu,'' tambahnya.



Perjalanan niaganya sendiri tidak licin apabila perniagaan pasar mini berjenama Micromart yang dibukanya di Jawa Tengah lebur akibat pelbagai masalah daripada sistem operasi kurang berkesan, budaya kerja yang asing dan sifat pekerja kurang amanah.



Namun, ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya mencuba lagi kerana beliau cukup yakin potensi besar berniaga di Indonesia tidak boleh dilepaskan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >