Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

8 hartanah Second Chance Properties dijual pada harga $62j

* Rancang jual baki 30 unit kedai di City Plaza, Sim Lim Square * Ubah kepada pelaburan saham * Rancang ubah nama kepada Second Chance Holding
Jul 02, 2022 | 09:18 PM



SYARIKAT Second Chance Properties Ltd (SCP) telah menjual lapan hartanahnya dalam masa empat bulan lalu pada nilai $62 juta, sedang ia menyusun semula strategi dan mengubah perniagaan utamanya daripada pelaburan hartanah pada saham.



Firma tersenarai itu sudah menjual 32 hartanah dengan nilai $177 juta sejak tujuh tahun lalu.



Penjualan paling menguntungkan dalam empat bulan merupakan unit kedai di Blk 190, Toa Payoh Central, yang dibeli 30 tahun lalu pada harga $1.5 juta dan dijual pada harga 10 kali ganda, sekitar $15.3 juta.



Kini ia merancang menjual baki sekitar 30 unit kedai di City Plaza dan Sim Lim Square, yang nilainya mencapai $73 juta dalam masa dua tahun mendatang ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance, Encik Salleh Marican.



Sejajar dengan perubahan model perniagaan itu, Encik Salleh, 73 tahun berkata syarikat itu merancang mengubah nama kepada Second Chance Holding dan akan mendapatkan kelulusan para pemegang sahamnya pada akhir tahun ini nanti.



Sejauh ini, syarikat itu sudah melabur sebanyak $240 juta dalam pelbagai jenis saham ekuiti di China, Hong Kong, Australia dan Singapura.



Ia juga akan terus mengendalikan perniagaan emas, Golden Chance dan pakaian wanita, First Lady di Tanjong Katong Complex.



Menjelaskan lebih lanjut, Encik Salleh berkata pengalaman pandemik telah mendorong syarikat itu agar mengubah strategi.



"Sebelum pandemik lagi, kami perhatikan perniagaan runcit atau kedai runcit mempunyai masa depan yang kurang menyerlah disebabkan oleh trend dalam talian.



"Ini ditambah pula dengan pandemik, yang menyebabkan pendapatan sewa merosot. Jadi kami putuskan untuk menukar strategi dan mula menjual hartanah kami serta laburkannya dalam saham. Daripada mengumpul wang sewa, kami mengumpul dividen saham," ujar usahawan berpengalaman lebih 45 tahun itu.



Secara purata, dividen saham yang diraih adalah sekitar 7 peratus berbanding hanya purata 2.5 peratus, daripada penyewaan hartanahnya.



Menurut Encik Salleh, portfolio pelaburannya kini tertumpu pada pasaran saham China dan Hong Kong.



"Kami memilih saham-saham ini sebab harganya telah menjunam lebih separuh. Misalnya, pasaran saham di Hong Kong dijejas oleh keadaan politik yang tidak stabil manakala di China pula, pasaran hartanahnya telah merosot dan ia dijejas oleh perang dagangan dengan Amerika Syarikat," terang beliau.



"Kami berharap pasaran saham di kededua negara itu akan pulih semula dalam masa lima hingga enam tahun, dan kami boleh mendapat untung modal."



Antara saham yang dilabur syarikat itu ialah China Mobile, Bank of China dan China Railway.



Yakin dengan strategi perniagaan yang membuahkan hasil lebih menguntungkan dalam sekitaran ekonomi hari ini, Encik Salleh berkata syarikat itu merancang menjual kesemua hartanah yang masih dipegang dan akhirnya hanya tertumpu pada pembelian saham.



"Kami kini masih mempunyai sekitar 19 unit kedai di City Plaza dan 11 unit di Sim Lim, dan akan menjualnya secara perlahan-lahan dalam masa beberapa tahun ini. Kami berharap untuk dapat menjual kesemuanya di bawah tawaran en-bloc," jelas beliau.



Sim Lim Square kini dalam percubaan kali kedua tawaran penjualan secara en-bloc serta percubaan kali pertama tidak berjaya menarik pembeli. City Plaza pula tidak berjaya menjamin sokongan 80 peratus yang diperlukan semasa rancangan tawaran kali pertama.



"Saya masih optimis tentang penjualan en-bloc tetapi ini akan mengambil sedikit masa, mungkin beberapa tahun lagi jadi kami akan terus menunggu untuk mendapatkan harga yang terbaik," katanya.



Bagi mencerminkan perubahan perniagaan utamanya, syarikat itu merancang menukar namanya kepada Second Chance Holding.



"Kami merancang mendapatkan kelulusan para pemegang saham kami dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada akhir tahun nanti.



"Kami rasa ini adalah hala tuju yang terbaik dan bersesuaian buat masa sekarang," tambah Encik Salleh yang bersama anggota keluarganya, memegang sekitar 83 peratus saham SCP.



Dalam pada itu, beliau mengatakan bahawa perniagaan emasnya telah menunjukkan prestasi baik bagi tahun kewangan sekarang, serta menjangkakan penjualan rancak.



"Hanya satu perkara yang positif terbit daripada pandemik dua tahun ini, orang beli emas!



"Ini kerana mereka tidak boleh melancong, tidak boleh banyak keluar makan dan membeli-belah jadi, emas menjadi pilihan mereka.



"Maka itu, kami menganggarkan penjualan emas boleh mencapai sama seperti tahun kewangan sebelumnya, sekitar $24 juta," terang Encik Salleh.



Sebelum pandemik, penjualan perniagaan emas telah merosot kepada purata $15 juta setahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >