Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Ekonomi & Kerja3

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Banyak penyesuaian bagi peniaga di rumah

Hadapi keadaan, cabaran berbeza dalam pelbagai tempoh Covid-19
Jan 09, 2021 | 05:30 AM

ADA mengalami sedikit 'kegencotan' dalam perniagaan ketika pemutus litar (CB) jangkitan Covid-19.

Namun, ada juga berkata perniagaan mereka jauh lebih baik dalam tempoh pandemik ini, misalnya sebelum fasa kedua pembukaan semula ekonomi.

Pada dasarnya, cabaran yang dialami peniaga perusahaan dari rumah (HBB) tidak sama.

Mereka berkongsi demikian kepada Berita Harian setelah menghadiri satu sesi perbincangan dalam talian anjuran akhbar ini bersama tetamu kehormat Setiausaha Parlimen (Kementerian Kesihatan (MOH) Rahayu Mahzam, yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong, baru-baru ini.

Mereka terlibat dalam sektor seperti makanan dan minuman (F&B), kesihatan dan kesejahteraan, pakaian, pendidikan (tuisyen), perkhidmat urut dan terapi serta kosmetik dan solekan.

Para peserta itu berkongsi mengenai perkembangan perniagaan mereka dan membincangkan cabaran yang mereka hadapi, termasuk kesan Covid-19 terhadap perniagaan mereka.

Pemilik perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak Just Sweet Threads, Cik Nur Syazwani Supardi, misalnya, berkata perniagaannya jauh lebih menguntungkan semasa CB.

Ia mungkin memandangkan mereka tidak boleh keluar rumah bagi mencegah penularan Covid-19, ramai ibu, terutama yang baru melahirkan dan yang mempunyai anak kecil, berbelanja dalam talian bagi keperluan anak mereka.

Mengenai cabaran yang dihadapinya sekarang, Cik Syazwani berharap sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka segera agar mudah beliau mendapatkan bekalan pakaian dari seberang Koswe.

"Dalam tempoh CB, penjualan memang naik mendadak berbanding dalam fasa kedua. Ini mungkin kerana sekarang ramai sudah boleh keluar rumah untuk berbelanja dan membeli-belah.

"Walaupun perniagaan dalam talian kami stabil hingga kini, kami berharap sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka secara bertahap-tahap dalam masa terdekat, agar urus niaga yang dilakukan sebelum ini dapat disambung," ujar ibu muda berusia 30 tahun itu.

Bagi Encik Mohammad Zahid Mohd Ali, 43 tahun, pemilik bisnes dalam talian J's Kitchen MakMok, perniagaan makanan beliau terjejas hanya pada dua minggu pertama CB.

Kini jualan kerepeknya stabil, malah Encik Zahid ingin terus mengusahakan lebih banyak perisa lain dan memasarkan produknya ke keluar negara, khususnya Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Menurut Encik Zahid, perniagaannya boleh meraih hingga $6,000, atau penjualan lebih 400 hingga 600 botol, sebulan.

Pemilik perniagaan tuisyen Learning Studio Asia, Cik Aisyah Jumari, 36 tahun, berkata beliau terpaksa membuat beberapa penyesuaian dalam tempoh pandemik ini, misalnya memberi tuisyen dalam talian dan memastikan jarak selamat terjaga apabila pelajar datang ke rumahnya.

Guru tuisyen Matematik ini berharap pemerintah akan terus memberi sokongan kepada sektor perkhidmatan tuisyen di rumah.

Ini lebih-lebih lagi bantuan dan sokongan dalam mengendalikan sistem teknologi maklumat dan prasarana dalam usaha pendigitalan pada masa depan.

Seorang lagi peserta ialah peniaga HBB yang menyediakan program kesihatan dan kesejahteraan dalam talian khusus bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, Cik Mastura Aidel Abu Bakar, yang juga seorang ibu empat anak.

Beliau menyediakan program hidangan terancang, atau meal plan, bagi pelanggan yang ingin membuang lemak berlebihan dalam tubuh serta memberi tunjuk ajar cara-cara betul bersenam dan bersukan demi kecergasan dan kesihatan diri dan menjadi kurus.

Program yang disediakan Cik Mastura, 47 tahun, berharga dari $100 hingga $190 bagi seorang, bergantung pada pakej yang dipilih.

Menurut Cik Mastura, cabaran yang beliau hadapi dalam tempoh Covid-19 ini ialah terus menyakinkan pelanggan agar kekal menjalani kehidupan sihat, kerap bersenam dan memilih pemakanan sihat dalam diet seharian mereka.


"Dalam tempoh CB, penjualan memang naik mendadak berbanding dalam fasa kedua (pembukaan semula ekonomi). Ini mungkin kerana sekarang ramai sudah boleh keluar rumah untuk berbelanja dan membeli-belah. Walaupun perniagaan dalam talian kami stabil hingga kini, kami berharap sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka secara bertahap-tahap dalam masa terdekat, agar urus niaga yang dilakukan sebelum ini dapat disambung."
- Cik Nur Syazwani Supardi, pemilik perniagaan pakaian bayi dan kanak-kanak Just Sweet Threads.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map