Topik diikuti
Pergi ke BHkuKAW KAW SG: Dapur pusat, tempahan makanan dalam talian kini jadi tumpuan
KAW KAW SG: Dapur pusat, tempahan makanan dalam talian kini jadi tumpuan
APABILA Cik Aina Diyanah Zulkarnain memulakan dapur pusatnya tahun lalu, rancangan beliau adalah mengembangkan perniagaan makanan yang sudah memiliki ruang runcit di Aliwal Street.
Bagaimanapun, apabila tidak dapat memperbaharui kontrak bagi restorannya, Kaw Kaw SG, dan sedang syarikatnya mencari ruang lain, pandemik Covid-19 melanda dunia dan menampakkan kesannya ke atas ekonomi.
Bertekad mengekalkan perniagaan yang dibina sejak 2015 bersama keluarganya, Cik Aina menyusun semula strategi perniagaan dan memberi perhatian kepada perniagaan menerusi dapur pusatnya.
Kini, syarikat itu menumpukan perhatian kepada tempahan makanan dalam talian yang menawarkan penghantaran bagi tiga jenama makanannya - The Flameshack, Daun by The Flameshack dan Pastahaus.
Ia beroperasi dari kemudahan dapur pusat, Tampines Food Co, di JTC Space, Tampines North Drive 4, yang dikongsi sekitar 20 syarikat makanan dan minuman (F&B) lain.
Menceritakan, Cik Aina, yang berniaga bersama abangnya, Encik Ahmad Firdaus, dan abang iparnya, Encik Raden Ramdani, berkata:
"Apabila tempoh sewa kedai kami di Aliwal Street tamat pada November tahun lalu, kami tidak dapat bersetuju secara bersama terma ditetapkan.
"Jadi kami ambil keputusan mencari lokasi lain sementara mengendalikan dapur pusat kami pada masa itu.
"Tidak lama kemudian, Covid- 19 berlaku dan kemudian menyebabkan tempoh pemutus litar, jadi kami pun terpaksa membatalkan rancangan itu.
"Akhirnya, kami memutuskan beralih dan menumpukan kepada perniagaan dalam talian."
Perubahan model niaga itu bukan mudah, akui Cik Aina.
Sebagai perniagaan dapur pusat khusus untuk makanan ditempah atau dihantar ke rumah, ia banyak bergantung pada kehadiran dalam talian.
"Kami harus belajar dinamika pemasaran dalam talian beberapa wadah penghantaran makanan, bekerja rapat dengan mereka untuk memahami cara menonjolkan diri dalam talian di kalangan jenama lain dalam wadah sama.
"Ini bermakna kami perlu mementingkan perkara yang kami tidak pernah terfikir - seperti bungkusan kami, wadah penghantaran dalam talian dan menangani laman web secara langsung.
"Selain itu, cara meletakkan harga barangan penting sebab kami harus membuat perkiraan tepat untuk mendapat untung sebelum pemotongan komisen oleh wadah penghantaran," terang beliau.
Sejauh ini, perniagaan agak rancak dan pihaknya sedar potensi pasaran dalam talian tidak ada batasan. Salah satu kesan positif daripada perubahan strategi itu ialah perniagaannya kini menerima pelanggan yang lebih berpelbagai, kata Cik Aina.
"Semasa mengendalikan restoran, boleh dikatakan 90 peratus pelanggan masyarakat Melayu.
"Namun apabila kami memperkenalkan jenama The Flameshack, kami memasarkan diri kami kepada pasaran umum dan kami berjaya menarik pelanggan yang lebih berpelbagai daripada semua bangsa," ujarnya.
Berdasarkan data laman webnya, sekitar 80 peratus pelanggannya merupakan pelanggan berulang.
TONJOL KEHADIRAN DALAM TALIAN
Kami harus belajar dinamika pemasaran dalam talian beberapa wadah penghantaran makanan... Ini bermakna kami perlu mementingkan perkara yang kami tidak pernah terfikir - seperti bungkusan kami, wadah penghantaran dalam talian dan menangani laman web secara langsung." - Cik Aina Diyanah Zulkarnain, pemilik bersama syarikat makanan dan minuman, Makan State Pte Ltd.