DBS Bank akan membuka sebuah pejabat perwakilan di Dhaka, Bangladesh, dan telah melantik Cik Tahsina Banu sebagai ketua perwakilan, kata bank itu dalam satu kenyataan semalam.
Langkah itu akan meluaskan kehadiran antarabangsa DBS ke-19 pasaran di seluruh dunia.
Ketua kumpulan perbankan institusi DBS, Cik Tan Su Shan, berkata ia juga sebahagian daripada komitmen bank itu untuk menyokong rancangan peluasan pelanggannya di rantau itu.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan lokasi strategik Bangladesh, ia telah muncul sebagai sebuah pintu masuk strategik dan sebuah pasaran keutamaan bagi pelanggan kami yang meneroka peluang perdagangan antara rantau di Asia Selatan dan seterusnya," kata beliau.
Tambahan pula, Bangladesh akan memerlukan pelaburan besar dalam tenaga dan infrastruktur, yang mungkin berlaku melalui perkongsian sektor swasta.
DBS menjangka pilihan rakan kongsi paling berdaya maju dan boleh dilaksana akan datang dari Asia Utara dan India.
Menurut DBS, walaupun ia memang aktif dalam pasaran itu dengan menyediakan pembiayaan perdagangan dan khidmat nasihat, ia percaya bahawa penubuhan pejabat perwakilan itu, ditambah dengan pengaturan mandat dalam pelaburan projek, akan memberi "dorongan lanjut" kepada aktivitinya dan meningkatkan ketersambungan pelanggan globalnya.
Cik Banu mempunyai pengalaman lebih 20 tahun di bank global di Bangladesh dan Timur Tengah.
Pengalaman beliau termasuk dalam fungsi perniagaan dan sokongan serta perbankan borong, operasi perdagangan dan pengurusan risiko.