Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Firma penyedia majlis perkahwinan usahakan huraian atasi cabaran Covid-19

Lebih setahun selepas mengharungi Covid-19, keadaan masih belum pulih sepenuhnya. Syarikat yang terus terjejas seperti agensi pelancongan dan perancang perkahwinan masih berhadapan dengan ketidaktentuan. Perubahan syarat akibat sekatan Covid-19 menyukarkan mereka. Sentimen negatif itu boleh terus menyelubungi mereka tetapi kehidupan perlu diteruskan. Model perniagaan perlu disesuaikan dengan norma baru. BERITA HARIAN (BH) menyelongkar perjalanan dua syarikat Melayu yang tetap positif dalam mengharungi ketidaktentuan ini.
Jul 08, 2021 | 05:30 AM



SETIAP kali syarat menganjurkan majlis perkahwinan diubah akibat sekatan Covid-19, setiap kali telefon bimbit pengarah firma A2 Wedding and Events Management Encik Muhd Andy Abdullah tidak henti berdering.



Bukan sahaja perlu menjawab pertanyaan yang bertubi-tubi dari bakal mempelai, beliau juga terpaksa berhadapan dengan bakal mempelai yang meminta duit pendahuluan mereka kembali kerana ingin membatalkan majlis.



Setiap perancang majlis perkahwinan yang berada di tempatnya pasti melalui tempoh itu yang memberi tekanan amat sangat bagi peniaga.



"Perubahan adalah pasti. Sampai sekarang kita belum lihat penghujung Covid-19. Tetapi, kita harus terima hakikat itu dan mencari jalan," ujarnya.



Tidak mahu mengeruhkan keadaan, beliau mengambil jalan untuk berunding dengan pelanggannya yang mahu membatalkan majlis perkahwinan mereka.



Malah, beliau memutuskan mengembalikan sekitar 70 peratus wang pendahuluan mereka kembali.



"Alhamdulillah, setakat ini belum ada bakal mempelai yang pergi ke penilai kerana tidak dapat mencapai persetujuan dengan kami," katanya.



Kementerian Undang-Undang (MinLaw) telah memperkenalkan penilai bagi membuat keputusan jika terdapat perbezaan antara bakal mempelai dengan penyedia khidmat berhubung dengan kontrak mereka.



Beliau menganggarkan sekitar 40-50 majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan, dibatalkan.



"Mujur kami mempunyai simpanan yang boleh membantu kami bertahan sekitar 10 bulan," singkapnya.



Untuk meneruskan perniagaannya, beliau mengambil keputusan untuk memanfaatkan pinjaman ditawarkan pemerintah di bawah Pinjaman Penyambung Sementara sebagai modal memulakan perniagaan baru.



Oleh kerana majlis bawah blok tidak dapat diadakan, beliau mengambil keputusan mengambil pinjaman sekitar $35,000 dari OCBC bagi melabur dalam sebuah dewan Amaryllis di Geylang.



Ia membolehkan pelanggannya mengadakan majlis perkahwinan mereka di sana pada harga yang jauh lebih rendah jika mereka menyewa di dewan hotel.



"Saya tidak mahu kehilangan pelanggan pada ketika itu kerana tidak dapat mengadakan majlis perkahwinan bagi mereka," katanya.



Pelaburan itu membawa hasil kerana beliau dapat menjana pendapatan dari dewan itu yang mendapat sambutan menggalakkan dari para mempelai.



Sedar pentingnya untuk mempelbagaikan perniagaannya, beliau juga melabur dalam sebuah restoran Barat, Pestle and Mortar Society di 548 MacPherson Rd.



Ia merupakan perniagaan makanannya yang kedua selepas membuka Rempah Ratus by A2 Catering yang menjual makanan Melayu.



"Dalam krisis ini, terpaksalah kita cari jalan kreatif untuk terus menakat. Covid tetap ada tetapi kita tidak harus merungut. Huraian harus dicari," tambahnya.




"Perubahan adalah pasti. Sampai sekarang kita belum lihat penghujung Covid-19. Tetapi, kita harus terima hakikat itu dan mencari jalan...Dalam krisis ini, terpaksalah kita cari jalan kreatif untuk terus menakat. Covid tetap ada tetapi kita tidak harus merungut. Huraian harus dicari."
- Encik Muhd Andy Abdullah, pengarah firma A2 Wedding and Events Management.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >