Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasrat beralih dari dapur rumah ke dapur pusat

Oct 27, 2020 | 5:30 AM
MAHU KEMBANGKAN NIAGA: Cik Sulaiha Ahmad berhasrat mempunyai dapur pusat sendiri dan memasarkan produknya secara komersial dalam masa terdekat. - Foto ihsan SULAIHA AHMAD
MAHU KEMBANGKAN NIAGA: Cik Sulaiha Ahmad berhasrat mempunyai dapur pusat sendiri dan memasarkan produknya secara komersial dalam masa terdekat. - Foto ihsan SULAIHA AHMAD -

MAKANAN gorengan hidangan masyarakat Cina menjadi sumber pendapatan dan kini tempahan yang beliau terima kian bertambah walaupun hanya dipasarkan di media sosial.

Sejak tahun lalu, gorengan cakoi atau juga dikenali sebagai youtiao telah menjadi sumber pendapatan sampingan ibu dua anak ini.

Cik Sulaiha Ahmad, 43 tahun, berkata perniagaan makanan beku yang diasaskan di rumah itu bermula secara tidak sengaja, dan kini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.

Apa yang menarik, makanan Cina itu diolah menjadi sajian fusion yang digemari ramai.

Selain itu, beliau turut menjual beberapa sajian lain seperti tauhu bergedel dan kuih-muih Melayu moden dan tradisional seperti kuih makmur snowball, kuih lopes dan epok-epok.

Semua sajian itu dijual di Facebook dan Instagramnya, su_delicacies.

Ibu kepada anak lelaki berusia 10 dan 13 tahun itu memberitahu Berita Harian (BH) idea untuk menjual sajian tersebut berputik kerana sukarnya untuk mendapatkan youtiao halal, selain berintikan sotong atau udang serta bersoskan cili pedas yang menyengat!

Apa yang menarik, pelanggan Cik Sulaiha juga merangkumi pelbagai lapisan masyarakat seperti warga Melayu, Cina, India, Jepun dan ada juga mat salih atau Kaukasia yang telah menjadi pelanggan setianya!

Setiap kotak dijual dengan harga $8 dan mempunyai 10 keping youtiao beku, dan disertakan juga sos petis pedas dan diisi dengan ais pek di dalam setiap bungkusan.

"Kita semua tahu makanan gorengan Cina cakoi merupakan hidangan popular jalanan atau 'street food' yang memang diminati ramai, namun untuk mendapatkan versi halal, mungkin agak terbatas.

"Jadi, memandangkan anak-anak saya sendiri meminati hidangan ini, saya membuat dan menyediakan sendiri dan memberikan kepada sanak-saudara untuk mencubanya.

"Merekalah orang yang pertama mengesyorkan supaya saya menjual secara kecil-kecilan di rumah dan di wadah dalam talian. Alhamdullilah, tanpa diduga, respons yang diterima memang di luar jangkaan saya.

"Kerana kita semua juga tinggal di negara berbilang bangsa dan agama, sambutan yang saya terima juga datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sehinggakan ada keluarga Jepun dan mat salih juga telah menjadi pelanggan tetap saya!

"Daripada situ, bermulalah perniagaan sambilan ini secara serius, sekali gus memberi saya pendapatan sampingan dan peluang untuk saya terus memperhalusi seni masakan dan kemahiran membuat kek yang saya minati sejak kecil ini," ujarnya.

Suri rumah itu menganggarkan pendapatan bulanannya sekitar $500, bergantung pada penjualannya.

Di samping ligat di dapur, Cik Sulaiha pernah bekerja dalam industri kecantikan dan syarikat penganjur majlis.

Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang solekan dan merupakan jurusolek, juruhias berpengalaman yang menyediakan khidmat dandanan terutama bagi pengantin berhijab.

Namun beliau kini lebih selasa menceburi bidang masakan dan menyediakan kuih-muih untuk pelanggannya serta bercita-cita memasarkan produknya secara komersial dalam masa terdekat.

"Memang ada yang mengenali saya kerana tugasan saya sebagai jurusolek dan juruhias bebas, namun menyediakan youtiao dan bidang masakan juga telah menjadi salah satu bidang yang amat saya minati sejak dahulu.

"Saya melihat sambutan dan permintaan untuk sajian beku ini tetap ada. Oleh itu, saya ingin meluaskan lagi perniagaan ini secara komersial dalam waktu terdekat," katanya.

Menurut Cik Sulaiha, setiap tempahan yang diterima akan dibuat dalam masa tiga jam menggunakan bahan asli dan segar dan akan terus dihantarkan kepada pelanggan melalui khidmat penghantaran kendalian syarikat MFZ Services kepunyaan saudaranya.

"Untuk mendapatkan rasa yang enak dan lembut ketika digoreng, kita perlu menyiapkan hidangan ini menggunakan bahan segar.

"Memang agak mencabar untuk menyediakan bahan seperti sotong dan udang segar, namun saya menjual dengan harga yang berpatutan.

"Saya tidak akan kompromi rasa dan mutu hanya kerana saya menjual dengan harga yang dimampui. Saya berharap dan ingin melihat lebih ramai lagi masyarakat kita dapat merasai hidangan ini," jelasnya.

"Jadi, memandangkan anak-anak saya sendiri meminati hidangan ini, saya membuat dan menyediakan sendiri dan memberikan kepada sanak-saudara untuk mencubanya. Merekalah orang yang pertama mengesyorkan supaya saya menjual secara kecil-kecilan di rumah dan di wadah dalam talian. Alhamdullilah, tanpa diduga, respons yang diterima memang di luar jangkaan saya." - Cik Sulaiha Ahmad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg