Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalan Kayu tidak serancak dulu?

Peniaga dapati jumlah pengunjung semakin berkurang, pilihan makanan lebih luas serata negara
Oct 2, 2020 | 5:30 AM
CABARAN ARUS PERUBAHAN: Beberapa peniaga di Jalan Kayu mengeluh, persaingan bertambah ketara sepanjang beberapa tahun lalu sedang Singapura berkembang pesat dan menyediakan pelbagai pilihan tempat makanan yang lain ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang kini turut menjejas perniagaan mereka. - Foto BH oleh KELVIN CHNG
CABARAN ARUS PERUBAHAN: Beberapa peniaga di Jalan Kayu mengeluh, persaingan bertambah ketara sepanjang beberapa tahun lalu sedang Singapura berkembang pesat dan menyediakan pelbagai pilihan tempat makanan yang lain ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang kini turut menjejas perniagaan mereka. - Foto BH oleh KELVIN CHNG -

TIDAK seperti dulu...

Sekitar 15 tahun lalu, Encik Sirraj Jabar seorang tukang masak di restoran makanan India/Muslim Thasevi Food kerap berhadapan dengan 16 guni tepung - seberat 25 kilogram - untuk membuat roti perata.

Meskipun jumlahnya banyak, perata itu tetap habis dijual.

"Sekarang kami hanya gunakan empat hingga enam guni sahaja dan suasana lebih lengang sekarang, tak macam dulu," kata Encik Sirraj, 56 tahun, yang mengakui rindukan zaman perniagaan lebih rancak dulu.

Beliau bertugas di situ setahun selepas Thasevi Food berpindah ke rumah kedai di 239 Jalan Kayu itu pada 1985.

Pada awalnya gerai tersebut terletak di hujung Jalan Kayu sejak era 60-an dahulu.

Sudah sekian lama Jalan Kayu menjadi tarikan pengunjung yang mahu menjamu selera. Kini, terdapat lebih daripada 15 tempat makan di situ.

Menurut beberapa pemilik restoran yang ditinjau Berita Harian (BH), selain pandemik semasa, perniagaan mereka turut menyaksikan kemerosotan.

Kelembapan itu dipercayai ada kaitan dengan perkembangan sektor makanan dan minuman (F&B) di serata Singapura yang menawarkan lebih banyak pilihan.

Selain lebih mudah didapati iaitu sama ada ia terletak di bawah blok, berdekatan tempat kediaman atau melalui khidmat penghantaran ke rumah.

LEBIH MUDAH DAPAT MAKANAN DI TEMPAT LAIN

"Kita lihat di mana-mana ada kedai India/Muslim yang menjual 'Famous Jalan Kayu Prata.'

"Yang dimaksudkan kenyataan itu adalah kami (Thasevi), namun, sama ada roti peratanya asli dari sini kita tak tahu, tapi pelanggan tak datang sini untuk makan kerana ada kedai lain yang seolah menawarkan makanan yang sama," keluh Encik Sirraj ketika ditemui.

Beliau percaya kemerosotan jumlah pengunjung ke Jalan Kayu dan kehilangan popularitinya ada kaitan dengan banyaknya pilihan yang tersedia di mana-mana.

Sekarang restoran Thasevi beroperasi pada kapasiti perniagaan sebanyak 30 peratus sahaja.

"Pada tahun 90-an kami menyaksikan ramai pelanggan kerana waktu itu, Kem Seletar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) masih menempatkan tentera di situ," katanya.

Kem Seletar merupakan bekas pangkalan jurutera kombat SAF dan Kolej Komand dan Kakitangan (CSC) sebelum dipindahkan ke kem lain antara 1982 dengan 1995.

"Tapi pada awal 2000 masih ada ramai orang. Selepas 2005, suasana semakin lengang, kawasan Sengkang pesat berkembang, kawasan lain pula lebih maju," kata Encik Sirraj lagi.

Sekarang sewaktu pandemik ini, beliau berkata perniagaan sepi di siang hari dan hanya menyaksikan lebih ramai pelanggan pada waktu petang hingga malam.

Turut menyaksikan persaingan sengit ialah pengarah urusan Restoran Thohirah, Encik Rahil Abdul Rashid.

"Persaingan dari restoran lain di serata Singapura mungkin merupakan sebab utama perniagaan kami terjejas," katanya, yang perniagaannya kini merosot 60 peratus dek Covid-19.

Menurut beliau, kedudukan kawasan Jalan Kayu tidak mudah untuk dikunjungi oleh mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Encik Farhan Yusoff, 26 tahun, seorang jurutera dari Pasir Ris bersetuju dengan kenyataan itu.

"Kalau saya diajak untuk pergi ke Jalan Kayu bersama teman memang satu kegiatan yang menarik tapi nak pergi situ susah kalau tak ada kenderaan sendiri.

"Tapi di kawasan timur, ada Changi Village. Di situ pun ada restoran Tang TeaHouse dan kalau nak makan hidangan India/Muslim, kawasan Tampines Street 11 ada banyak pilihan di situ," tambahnya.

PERKEMBANGAN SENGKANG, PERSAINGAN KETARA

Encik Sirraj berkata perkembangan kawasan Sengkang turut menyumbang kepada persaingan itu.

Sekitar 500 meter dari kawasan tersebut, menuju ke arah Sengkang West Avenue, terdapat sebuah pusat penjaja di Blok 447.

Ia dibangunkan pada 2013 yang turut menawarkan makanan India Muslim di situ.

Ada beberapa lagi pusat penjaja lain di sekitar kawasan kejiranan itu yang pesat berkembang sejak hujung 1990-an, termasuk Sengkang Square - sebuah pusat penjaja yang besar di pusat kejiranan Sengkang.

Malah di kawasan Fernvale - di mana terletaknya Jalan Kayu - terdapat Seletar Mall yang selesai dibina pada 2014 dan turut menawarkan pelbagai pilihan makanan.

Bersebelahan dengan pusat beli belah itu, juga terdapat sebuah tapak pembinaan yang akan menyaksikan sebuah kemudahan masyarakat bersepadu dibina dan turut menawarkan sebuah pusat penjaja.

"Sekarang orang yang datang dari sana (Sengkang) hanya perlu jalan kaki atau di bawah blok sahaja untuk cari makanan," kata Encik Sirraj sambil menunjukkan jarinya ke arah Sengkang.

"Kalau dari situ pula..." tambah beliau kini mengalihkan jarinya ke arah Ekspreswe Tampines (TPE), "lagi ramai pilihan makanan di kawasan timur Singapura".

Beliau juga berkata, kos sewa yang semakin mahal turut menyumbang kepada keperitan berniaga di situ.

Dahulu restorannya hanya membayar sekitar $6,000 sebulan, kini ia mencecah $16,000.

SUASANA 'KAMPUNG' DAN KEMUDAHAN MODEN TETAP JADI DAYA TARIKAN JALAN KAYU

Meskipun landskap F&B di serata Singapura telah berubah dan kawasan kejiranan pesat berkembang, suasana 'kampung' Jalan Kayu tetap menjadi daya tarikan ramai.

Bahkan ia juga dilengkap kemudahan baru, seperti laluan pejalan kaki yang menggantikan tempat meletak kereta atau lorong sempit bagi kenderaan yang diumumkan dalam pelan induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2013.

Keadaan kesesakan lalu lintas di Jalan Kayu turut diperbaiki dengan melebarkan laluan antara Sengkang West Way dengan Jalan Kayu dan Fernvale Road serta menghubungkan Jalan Kayu dengan Sengkang West Road antara 2013 dengan 2017.

Encik Afiq Aliwara, seorang kakitangan awam berusia 28 tahun dari Sengkang berkata:

"Meskipun Sengkang Square menjadi tempat yang lebih mudah untuk kami dapatkan makanan, saya tetap lagi suka datang ke Jalan Kayu, dan suasananya memang best untuk duduk bersama teman."

Sementara itu, Encik Farhan Che Adnan, seorang jurutera berusia 27 tahun dari Yew Tee berkata, mereka yang mempunyai kenderaan sendiri lagi senang dapat pergi situ untuk menjamu selera.

Sementara itu, cef selebriti Encik Amri Abdul Azim atau lebih dikenali sebagai Cef Amri, yang pernah berniaga di situ sejak 2010 dan kini konsultan sebuah restoran berkata:

"Pelanggan datang sini sebab sini tak macam tempat lain, asyik sibuk sahaja atau dekat dengan bandar. Sini kekal tampilkan suasana kampung.

"Pada waktu saya mula berniaga di sini dengan restoran Le Steak, pelanggan beratur sampai ke lampu isyarat depan halaman rumah kedai ini.

"Sekarang pada waktu malam dan hujung minggu, meskipun tak seramai dulu, tetap ramai juga pelanggan walaupun sewaktu pandemik ini."

Restoran tempat Cef Amri bertugas, Steak Me, yang dibuka pada 2018 - turut terjejas dan kini beroperasi pada kapasiti 50 peratus dek Covid-19, namun beliau sudah mula menyaksikan keuntungan sedang lebih ramai pelanggan mencari tempat untuk menjamu selera sejak Fasa Kedua Jun lalu.

Beliau mengharapkan agar laluan pejalan kaki yang luas di kawasan Jalan Kayu itu dapat digunakan sebagai ruang peruncit agar dapat menarik lebih ramai pelanggan.

"Sebenarnya kawasan ini - dengan laluan pejalan kaki baru ini - sesuai untuk mengadakan bazar kecil atau gerai-gerai sementara sewaktu hujung minggu seperti Arab Street untuk menarik perhatian pelanggan," kata beliau.

Sementara itu Cik Sirraj juga yakin, meskipun perniagaannya jauh berbeza berbanding dahulu, beliau berkata orang ramai masih tidak melupakan Jalan Kayu.

"Orang yang tahu makanan kami di sini akan tetap datang ke Jalan Kayu.

"Tapi kalau anda tanya saya sama ada saya lagi suka suasana dahulu ke sekarang, saya akan tetap rindu masa dulu."

DARI 16 GUNI TEPUNG BUAT PERATA... "Sekarang kami hanya gunakan empat hingga enam guni sahaja dan suasana lebih lengang sekarang, tak macam dulu... Orang yang tahu makanan kami di sini akan tetap datang ke Jalan Kayu. Tapi kalau anda tanya saya sama ada saya lagi suka suasana dahulu ke sekarang, saya akan tetap rindu masa dulu." - Tukang masak di restoran makanan India/Muslim Thasevi Food, Encik Sirraj Jabar.

NIAGA MEROSOT 60 PERATUS "Persaingan dari restoran lain di serata Singapura mungkin merupakan sebab utama perniagaan kami terjejas." - Pengarah urusan, Restoran Thohirah, Encik Rahil Abdul Rashid.

BERI SUNTIKAN BAZAR SEPERTI ARAB STREET "Sebenarnya kawasan ini - dengan laluan pejalan kaki baru ini - sesuai untuk mengadakan bazar kecil atau gerai-gerai sementara sewaktu hujung minggu seperti Arab Street untuk menarik perhatian pelanggan." - Konsultan restoran Steak Me, Encik Amri Abdul Azim atau Cef Amri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg