Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Kini giat sumbang kepakaran teknologi di agensi GovTech

Mar 25, 2021 | 05:30 AM



SEPERTI kebanyakan remaja lain, Cik Liyana Muhammad Fauzi memiliki dan mengendali blognya sendiri.



Tetapi, oleh kerana dia inginkan wajah antara muka (interface) blognya lebih menarik, Cik Liyana mengambil kelas program HTML dan Java semasa cuti sekolah untuk belajar berbuat demikian.



Maka berputiklah cintanya terhadap teknologi.



Kini, Cik Liyana, 33 tahun, menggenggam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Teknologi dari Sekolah Perniagaan Stern Universiti New York dan menyandang peranan sebagai Pengurus Produk Kanan, Sekitaran Pembangunan Operasi Utama dan Wadah xChange (Codex) di agensi GovTech.



Tugasannya itu antara lain memerlukannya bekerjasama dengan pasukan kejuruteraan dan pengurusan produk bagi Awan Komersial Pemerintah (GCC) dan Singapore Tech Stack (SGTS), dan memainkan peranan aktif dalam membangunkan peta jalan produk bagi Codex.



Lulusan Sarjana Muda Perniagaan dalam Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu menyertai GovTech pada 2011 dan merupakan sebahagian pasukan yang membantu melancarkan portal data terbuka pertama Singapura, data.gov.sg dan memegang peranan seperti dalam pembangunan Pelan Induk Pemerintah Digital Singapura.



Menjelaskan tentang minatnya dalam teknologi, Cik Liyana berkata:



"Apa yang membuat saya rasa seronok tentang tugasan dalam teknologi ialah peluang untuk meninggalkan kesan ke atas pengguna produk atau strategi, baik individu mahupun perniagaan.



"Misalnya, saya tertarik dan ingin tahu tentang kemungkinan mengautomasikan tugasan agar kita dapat meluangkan lebih banyak masa melakukan kerja-kerja bermakna seperti menghabiskan masa bersama keluarga dan teman-teman.



"Sejak dulu lagi, saya ghairah mahu 'menghidupkan' produk, khususnya tentang bagaimana produk teknologi dapat memudahkan kehidupan kita."



Meskipun minat dalam bidang itu tidak pernah luntur, tetapi sebagai antara segelintir wanita dalam teknologi, salah satu cabaran Cik Liyana ialah perasaan kurang yakin terhadap kebolehannya.



"Terutamanya semasa saya lebih muda, saya sering mempersoalkan idea atau pandangan sendiri sebelum berkongsi dengan orang lain.



"Ini sesuatu yang saya harus atasi. Saya fikir ini mungkin berpunca daripada pengalaman yang dialami ramai wanita, di mana sukar untuk mereka memiliki kejayaan sendiri... (tetapi) saya telah belajar mengatasi hal ini dengan tidak memikirkan sesuatu secara berlebihan dan sebaliknya menyumbang kepada sesuatu perbincangan kerana saya tahu pandangan saya adalah sama berharga dengan orang lain," jelasnya yang pernah terlibat dalam beberapa projek dengan syarikat bekalan fotografi, Shutterstock, semasa di New York.



Satu lagi cabarannya ialah menimba pengetahuan teknikal yang mendalam kerana teknologi yang digunakan dalam tugasannya sering berubah.



Justeru, hingga ke hari ini, dia sering berbincang dengan rakan kerja untuk belajar daripada mereka dan banyak membaca.



Cik Liyana berpendapat walaupun tetap mencabar untuk wanita menembusi sektor sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (Stem) kerana ia masih dikuasai kaum Adam, namun ini lebih mudah sekarang berbanding dahulu.



Justeru perlu ada usaha untuk menggalak wanita Melayu/Islam menyertai Stem kerana masih ramai kurang sedar tentang peluang yang disajikan.



"Peranan dalam teknologi bermakna anda membina atau menyumbang kepada tulang belakang hampir semua sektor... Jika lebih ramai wanita kita kenal pasti kesan industri ini, mungkin lebih ramai akan sertainya," ujar Cik Liyana sambil menambah satu cara mendorong kaum Hawa adalah menerusi program bimbingan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >