Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Krisis ekonomi akibat pandemik: Lebar jurang ketaksamaan?

Nov 02, 2020 | 05:30 AM



KRISIS Covid-19 yang menyebabkan kemelesetan paling teruk untuk Singapura sejauh ini, telah meninggalkan kesan tidak setara dalam ekonomi.



Beberapa pengamat menjangkakan pemulihan ekonomi akan 'berbentuk K' yang bermakna beberapa bahagian segmen ekonomi akan mempunyai berbeza tahap dan masa pemulihan.



Ini bermakna, golongan bergaji rendah - khususnya dalam industri paling terkesan seperti penerbangan dan pelayanan diri - akan terjejas paling teruk, khususnya kerana kehilangan pekerjaan.



Pada masa yang sama, ada perangkaan menunjukkan golongan berkemampuan terus mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan serta pekerjaan yang terjamin.



Justeru, ini menimbulkan persoalan sama ada krisis Covid-19 ini akan meningkatkan lagi jurang pendapatan di Singapura - dan sejauh mana ia akan berlaku, lebih-lebih dengan perubahan struktur dalam ekonomi?



PEMULIHAN-K: GOLONGAN BERGAJI RENDAH PALING TERJEJAS



Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, berpendapat krisis ini menjejas semua lapisan warga, namun pekerja bergaji rendah lebih terasa kepahitannya.



"Kerana krisis ini bersifat regresif, maka ia lebih menjejas dengan secara tidak seimbang golongan bergaji rendah menerusi pemotongan gaji dan pekerjaan.



"Ia juga boleh menjejas pelbagai demografik, termasuk golongan baby boomer, dan warga lanjut usia dengan pendidikan lebih rendah.



"Perangkaan pembuangan kerja suku tahunan juga menunjukkan pekerja bukan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) menyumbang kepada jumlah signifikan dibuang kerja berbanding PMET sejak suku pertama 2020," ujar Encik Saktiandi.



Menurut perangkaan buruh terkini, kadar pengangguran penduduk meningkat ke 4.5 peratus, tertinggi sejak krisis kewangan global pada September 2009, iaitu 4.9 peratus.



Dalam kalangan penganggur, mereka yang bergaji rendah - seperti dalam bidang penjualan, perkhidmatan, pengeluaran dan pembersihan - membentuk kumpulan lebih besar berbanding PMET, berdasarkan laporan suku kedua Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Para pengamat menyifatkan kali ini sebagai kemelesetan perkhidmatan berbanding kemelesetan perkilangan, yang disaksikan semasa krisis kewangan global pada 2008 atau kejatuhan teknologi pada 2001.



"Kemelesetan sekarang dicetuskan oleh permintaan domestik dan luar yang lemah kerana sekatan sempadan dan gangguan rantai bekalan. Ini berbanding kemelesetan dahulu, lazimnya kerana permintaan luar lemah. Jadi, mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan akan terkesan dan berisiko lebih tinggi," ujar Encik Saktiandi.



Bersetuju, Pengarah Pengurusan Harta (Ekonomi dan Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid, berkata dalam kemelesetan kali ini, kesannya akan kurang bergantung pada demografik tetapi industri pekerjaan seseorang.



"Justeru, jika anda dalam industri yang paling terjejas teruk oleh pandemik ini, seperti penerbangan dan pelayanan, sudah tentu kesannya amat besar kerana anda hilang pekerjaan atau dikenakan pemotongan gaji sangat besar," terangnya.



Selain itu, kata Encik Sani, kesannya bergantung pada simpanan seseorang kerana banyak industri akan mengalami keadaan seperti pembekuan gaji, jadi akan perlu bergantung pada simpanan.



Mencerminkan hal ini, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), yang berkhidmat kepada keluarga bergaji rendah dan lebih lemah, menyaksikan jumlah kes dibantu semakin meningkat apabila pusat-pusatnya dibuka semula selepas pemutus litar.



"Berdasarkan anekdot, kami mendengar individu yang sukar mencari pekerjaan atau waktu bekerja dikurangkan lantas menjejas gaji, terutama dalam industri dijejas Covid-19, kebanyakannya daripada sektor penerbangan, runcit dan pelayanan diri," kata jurucakap PPIS.



Perangkaan berdasarkan program Pakej Bantuan Sementara (TAP) 2.0 oleh badan Melayu/Islam, AMP, 50 peratus yang terjejas teruk - sama ada dipotong gaji atau dibuang kerja - adalah mereka daripada sektor perkhidmatan dan pelayanan disusuli pengangkutan (24 peratus) serta makanan dan minuman (12 peratus).



Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Anggota Parlimen (AP) gerakan buruh, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkata sementara kesan langsung seperti pekerjaan disaksikan ke atas warga Singapura, tetapi ia juga menjejas banyak aspek kehidupan seperti kesihatan mental dan kemampuan keluarga untuk anak-anak yang memerlukan pendidikan khas.



"Pengambilan pekerja setempat akan pulih lebih kukuh berbanding warga asing kerana subsidi gaji pemerintah menyokong pengambilan warga setempat tetapi tetap ada ketidakseimbangan bagi semua sektor, bergantung kepada kesan Covid-19.



"Akan tetap ada peluang pekerjaan bagi pekerja bergaji rendah kerana sistem kuota kita, tetapi mereka perlu tingkatkan kemahiran bagi mengelak salah pemadanan kemahiran yang menghambat pengambilan kerja kerana Covid-19 mungkin mempercepatkan lebih banyak pekerjaan khidmat kemahiran rendah dan sederhana digantikan oleh proses kurang intensif buruh dan berautomasi," terangnya.



Maka itu, pengamat menjangkakan pemulihan 'berbentuk K' yang membawa pemulihan lebih cepat dalam bidang seperti kewangan dan perkilangan - berbanding pertumbuhan lebih muram dalam pelancongan, pelayanan, runcit serta makanan dan minuman (F&B).



"Ini juga bermakna yang kaya akan lebih kaya, manakala yang bergaji rendah akan terjejas kerana pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan," terang Encik Saktiandi.



Sementara itu, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata dalam siri podcast '#NoTapis: Cari Kerja Masa Pandemik' yang dihasilkan Berita Harian (BH) dengan sokongan Tenaga Kerja Singapura (WSG) bahawa pemulihan ekonomi akan stabil walau tidak rancak, memandangkan perkembangan yang terus tidak menentu di peringkat global di samping timbulnya gelombang kedua pandemik di banyak negara lain.



"Kita boleh menjangkakan pemulihan yang perlahan dalam masa 12 hingga 18 bulan ini.



"Bagi syarikat kecil dan sederhana (SME), gunakan masa ini untuk latih pekerja agar dapat meraih peluang apabila ekonomi rancak semula.



"Bagi pekerja, jika ada peluang, tingkatkan kemahiran dengan tinjau trend kerja terkini sebab banyak skim pemerintah... seperti skim latihan Laluan Pertengahan Kerjaya SG," jelas beliau.



"Ada industri yang masih ambil pekerja, jadi mereka yang terjejas mungkin melihat sektor mereka agak mencabar dalam masa 12 hingga 18 bulan. Maka anda boleh timbangkan menukar kerjaya atau sektor lain dalam sektor berkembang lain."



GOLONGAN BERKEMAMPUAN TERUS BERBELANJA



Dalam pada itu, beberapa perangkaan memberi gambaran bahawa golongan mewah masih terus cergas berbelanja dan melabur.



Misalnya, prestasi pasaran perumahan privet jauh berbeza berbanding dengan kelakonan ekonomi umum yang muram, dengan mencatatkan harga dan penjualan yang melonjak.



Indeks harga rumah privet tumbuh 0.8 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sebelumnya. Berbanding setahun lalu, ia naik 0.65 peratus, menurut perangkaan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).



Pembelian rancak ini didorong oleh kadar faedah rendah, kecairan tunai dan permintaan terpendam dalam kalangan pembeli yang menangguhkan pembelian rumah ekoran sekatan dikenakan Singapura, kata pengamat.



Pasaran saham juga rancak - di antara 1 Januari dengan 28 September tahun ini, terdapat dagangan aktif dengan lebih $8 bilion mengalir dalam dana runcit, manakala pelabur berinstitusi mengeluarkan dana bersih $6.4 bilion.



Trend serupa diperhatikan bagi pembelian kenderaan privet di Singapura, dengan premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), bagi kereta kecil dan besar terus meningkat. Manakala satu tinjauan oleh wadah analisa kewangan ValueChampion menunjukkan pasaran kereta mewah kekal berdaya tahan.



Hal ini, menurut Encik Sani, mencerminkan bahawa kesan sepenuhnya kemelesetan belum lagi kelihatan memandangkan kemelesetan dicetuskan pandemik hanya menimpa sekitar Mac lalu.



"Jadi ada segelintir yang mempunyai aliran tunai sedang menantikan peluang terbaik, sementara golongan pelabur masih menaruh harapan dan akan berusaha mencari peluang terbaik dalam pasaran.



"Tabiat ini mungkin sukar ditinggalkan oleh golongan ini dan akan terus ada, kecuali kemelesetan dialami amat mendadak - seperti 2008, di mana ramai terus mengurangkan perbelanjaan dengan cepat.



"Keadaan kemelesetan sekarang berlainan sedikit sebab golongan berkemampuan terus berharap tinggi akan adanya vaksin dan semuanya akan kembali normal," jelasnya.



PERUBAHAN BERSTRUKTUR DALAM EKONOMI



Hasil daripada krisis ini, beberapa perubahan struktur dalam ekonomi akan berlaku.



Antara perubahan lebih berkekalan adalah beberapa industri tidak akan pulih secepat yang lain, menurut Encik Sani.



"Contohnya, sektor pelayanan. Ia akan mengambil masa lebih lama meskipun adanya vaksin kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk seluruh dunia mendapatkan vaksin itu... jadi orang ramai masih bimbang bergerak atau melancong, walaupun selepas mendapatkan vaksin.



"Jadi industri seperti ini mahupun mereka yang menceburinya harus meneliti bagaimana menyusun semula atau menjalankan latihan semula," kata beliau.



Satu lagi perubahan adalah ekonomi domestik lebih signifikan sebab warga tidak dapat keluar negara.



"Maka, persoalannya, apakah yang boleh anda tawarkan kepada mereka yang sanggup membayarnya sebab tidak dapat keluar negara.



"Ini bermakna kita boleh menjangkakan ekonomi yang kurang bergantung pada pelancong atau pelawat, lebih bersifat domestik.



"Tentunya Singapura mahupun mana negara di Asia, kecuali China, India dan Indonesia, yang bersedia menerima ekonomi berbentuk seperti ini, sebab kita lebih dipacu eksport," kata Encik Sani.



Encik Saktiandi pula berpandangan bahawa penggunaan teknologi dan pendigitalan akan menjadi lebih ketara, manakala trend bekerja dari rumah akan lebih meningkat di samping usaha kecukupan nasional akan dipergiatkan.



Semua ini akan mengganggu struktur yang ada serta mewujudkan peluang baru untuk masyarakat.



"Kita harus bersedia membuat perubahan ini dan mengurangkan risikonya. Melangkah ke depan, kita harus memastikan generasi masa depan benar-benar bersedia dan pada masa yang sama memastikan kesannya dikurangkan seberapa boleh untuk generasi lebih berusia sekarang," tambahnya.



APAKAH JURANG PENDAPATAN AKAN MELEBAR?



Walaupun dengan perubahan ini, para pengamat ditinjau bersepakat bahawa meskipun terdapat kemungkinan melebarnya jurang ketidaksamaan, pemerintah telah mengambil banyak langkah membataskannya.



Jelas Encik Fahmi, ketidaksamaan pendapatan yang semakin meningkat adalah cabaran dihadapi banyak negara dan pemerintah telah mengambil usaha mengurangkan hal ini menerusi pelbagai skim seperti tokokan gaji dan Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).



"Dari sudut pekerjaan, usaha diteruskan antara NTUC dengan rakan sekerja bagi memastikan gaji pekerja berpendapatan rendah tumbuh pada kadar lebih pantas daripada gaji median.



"Dengan adanya Model Gaji Progresif (PWM), gaji pekerja pembersihan, pegawai keselamatan dan landskap naik lebih cepat daripada gaji median, sejak beberapa tahun lalu dan kelompok tiga pihak PWM masih berusaha mengekalkan pertumbuhan ini menerusi peningkatan kemahiran dan produktiviti," ujar beliau.



Berkongsi sentimen serupa, Encik Saktiandi berkata usaha pemerintah menerusi dasar fiskal dan belanjawan tahun ini, serta kerjasama dengan tiga pihak dan syarikat telah mengurangkan jumlah kehilangan pekerjaan dan menjamin pekerjaan baru untuk lulusan baru mahupun yang dibuang kerja.



"Ini bermakna ketidaksamaan itu akan terbatas," terangnya.



Sementara itu, Encik Saiful Nizam Jemain, Ketua Pekerja Khidmat Sosial AMP, mengingatkan bahawa perlunya untuk golongan berpendapatan rendah membuat penyesuaian.



"Ada kemungkinan jurang pendapatan akan meningkat, jika mereka bergaji rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan norma baru atau tidak memperoleh kemahiran baru untuk mendapat pekerjaan di sektor lain jika pekerjaan lama mereka tiada lagi atau tidak lagi relevan," kata beliau.



SOKONGAN PASCA-COVID-19



Memandang ke hadapan, sokongan perlu diperkukuhkan agar masyarakat Singapura dapat terus bertahan pasca-Covid-19.



Ini terutamanya bagi golongan yang lemah dan terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi.



Encik Saiful berpendapat lebih banyak sokongan harus diberikan kepada mereka di dalam lingkungan umur 40-an hingga 50-an tahun - yang berpendapatan rendah mahupun PMET yang dibuang kerja.



"Kedua-dua golongan ini harus menimbangkan peluang yang ada di dalam sektor yang sedang membangun ataupun industri baru.



"Sokongan boleh diberikan menerusi usaha sepadu daripada pemerintah, agensi dan majikan untuk meningkat kesedaran golongan ini tentang peluang yang sedia ada dan pada masa yang sama, memadankan golongan ini dengan pekerjaan yang ada di dalam industri ini," ujarnya.



Berdasarkan interaksi dengan klien AMP, kebimbangan utama mereka pasca-Covid-19 adalah hasrat kembali kepada pekerjaan mereka sebelum pandemik melanda.



"Ini sebenarnya sesuatu yang membimbangkan kerana pekerjaan lama mereka mungkin tidak lagi relevan dan mereka sepatutnya mencari peluang baru di sektor yang sedang membangun," tambah Encik Saiful.



Encik Saktiandi pula menyarankan usaha lebih menyeluruh bekerjasama dengan korporat dan pemerintah agar dapat mempercepatkan penempatan bagi mereka yang hilang pekerjaan dari semua lapisan usia dan kemahiran bagi mengurangkan pengangguran berstruktur yang tetap dalam masyarakat.




"Kita boleh menjangkakan pemulihan yang perlahan dalam masa 12 hingga 18 bulan ini.

Bagi syarikat kecil dan sederhana (SME), gunakan masa ini untuk latih pekerja agar dapat meraih peluang apabila ekonomi rancak semula.

Bagi pekerja, jika ada peluang, tingkatkan kemahiran dengan tinjau trend kerja terkini sebab banyak skim pemerintah... seperti skim latihan Laluan Pertengahan Kerjaya SG.

Ada industri yang masih ambil pekerja, jadi mereka yang terjejas mungkin melihat sektor mereka agak mencabar dalam masa 12 hingga 18 bulan. Maka anda boleh timbangkan menukar kerjaya atau sektor lain dalam sektor berkembang lain."

- Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan).



"Justeru, jika anda dalam industri yang paling terjejas teruk oleh pandemik ini, seperti penerbangan dan pelayanan, sudah tentu kesannya amat besar kerana anda hilang pekerjaan atau dikenakan pemotongan gaji sangat besar."
- Encik Sani Hamid, Pengarah Pengurusan Harta (Ekonomi dan Strategi Pasaran) Financial Alliance Pte Ltd.



"Pengambilan pekerja setempat akan pulih lebih kukuh berbanding warga asing kerana subsidi gaji pemerintah menyokong pengambilan warga setempat tetapi tetap ada ketidakseimbangan bagi semua sektor, bergantung kepada kesan Covid-19.

Akan tetap ada peluang pekerjaan bagi pekerja bergaji rendah kerana sistem kuota kita, tetapi mereka perlu tingkatkan kemahiran bagi mengelak salah pemadanan kemahiran yang menghambat pengambilan kerja kerana Covid-19 mungkin mempercepatkan lebih banyak pekerjaan khidmat kemahiran rendah dan sederhana digantikan oleh proses kurang intensif buruh dan berautomasi."

- Encik Mohd Fahmi Aliman, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East yang juga Anggota Parlimen (AP) gerakan buruh.



"Ada kemungkinan jurang pendapatan akan meningkat, jika mereka bergaji rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan norma baru atau tidak memperoleh kemahiran baru untuk mendapat pekerjaan di sektor lain jika pekerjaan lama mereka tiada lagi."
- Encik Saiful Nizam Jemain, Ketua Pekerja Khidmat Sosial AMP.




BANTUAN UNTUK PEKERJA BERGAJI RENDAH



- Model Gaji Progresif (PWM)



PWM membantu meningkatkan gaji pekerja menerusi peningkatan kemahiran dan produktiviti. Ia telah dilaksanakan dalam sektor pembersihan, keselamatan dan landskap. Model itu akan dilaksanakan dalam sektor lif dan tangga gerak pada 2022, dengan perbincangan sedang dijalankan untuk melaksanakan model itu dalam sektor pengurusan sisa.



- Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS)



Skim ini menggalak pekerja yang layak meningkatkan simpanan CPF bagi keperluan persaraan, perumahan dan jagaan kesihatan dengan menambahkan pendapatan dan simpanan persaraan mereka menerusi bayaran tunai atau sumbangan CPF.



- Skim Ihsan Senja



Sokongan tambahan bagi warga emas yang meraih gaji rendah sepanjang tahun-tahun bekerja dan kini mempunyai simpanan tidak mencukupi untuk persaraan.



- Kredit Pekerjaan Khas



Kredit ini menyokong majikan dan mempertingkat daya kerja pekerja lanjut usia. Kredit Pekerjaan Khas dan Kredit Pekerjaan Khas Tambahan sedia ada akan digantikan dengan Kredit Pekerjaan Warga Emas selepas ia tamat pada 31 Disember nanti.



INFOGRAFIK




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >