Syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel meraih keuntungan bersih yang melonjak hampir 43 peratus kepada $690 juta bagi suku pertamanya yang berakhir 30 Jun.
Ini berbanding keuntungan bersih sebanyak $483 juta yang diraih syarikat itu bagi tempoh sama pada 2023.
Prestasi lebih baik itu pada umumnya disebabkan keuntungan bersih luar biasa sebanyak $88 juta yang diraih bagi suku pertama, berbanding kerugian bersih luar biasa $88 juta bagi tempoh sama pada 2023, menurut Singtel dalam kenyataan terkini mengenai prestasi perniagaannya pada 15 Ogos.
Keuntungan tersebut diraih selepas Singtel mengurangkan pemegangan sahamnya dalam syarikat bersekutu, Bharti Airtel, daripada 28.9 peratus kepada 28.7 peratus.
Ini selepas Singtel menebus lebih banyak bon boleh ditukar, yang dikeluarkan Airtel, sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi berbilang negara yang berpangkalan di New Delhi, India, lapor The Business Times (BT).
Komponen lain yang menyumbang kepada keuntungan Singtel ialah penjualan menara telekomunikasi oleh syarikat bersekutu serantau, Globe, serta bahagian keuntungan bersih Airtel.
Dalam pada itu, keuntungan bersih asas Singtel naik 5.4 peratus kepada $603 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025, berbanding $571 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2024.
Pendapatan operasi Singtel turun 2.1 peratus kepada $3.4 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2025, berbanding $3.5 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2024.
Pendapatan berkurangan itu pada umumnya disebabkan Singtel tidak menerima sumbangan daripada cabang keselamatan siber miliknya, Trustwave, yang telah dijual pada harga AS$205 juta ($270 juta).
Bercakap mengenai prospek masa depan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singtel, Encik Yuen Kuan Moon, berkata:
“Walaupun persekitaran ekonomi makro kelihatan lebih mencabar, kami tetap yakin mengenai pelbagai peluang pertumbuhan di seluruh pasaran kami, dan kami berada pada kedudukan baik dengan sumber dan keupayaan untuk merebutnya.”
Saham Singtel ditutup 1.4 peratus atau 4 sen lebih tinggi kepada $2.91 pada 15 Ogos.
“
“Walaupun persekitaran ekonomi makro kelihatan lebih mencabar, kami tetap yakin mengenai pelbagai peluang pertumbuhan di seluruh pasaran kami, dan kami berada pada kedudukan baik dengan sumber dan keupayaan untuk merebutnya.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg