Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MEMBUAT TRANSFORMASI ESOK, HARI INI

Firma pupuk bakat tempatan dan inovasi di sebalik cabaran

Syarikat-syarikat tempatan menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan tenaga kerja dan kos sumber bahan yang meningkat. Justeru, penting bagi mereka membina daya tahan melalui transformasi perniagaan dan menerapkan automasi dan pendigitalan dalam operasi harian. Transformasi perniagaan ini turut disarankan Majlis Ekonomi Masa Hadapan yang dipimpin pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, yang melaksanakan Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025. Dua syarikat terkemuka, Commonwealth Capital Private Limited (CCPL) dan Micron, menunjukkan bagaimana mereka membina daya tahan dalam usaha menangani cabaran luaran masa kini.
Oct 06, 2022 | 05:00 AM



DI restoran makanan Italy halal, PastaMania, pengurus dan penolong pengurus cawangan dilatih mengendalikan sebahagian operasi dapur seperti membantu menyediakan piza dan makanan bergoreng buat sejam dua semasa waktu-waktu sibuk restoran itu.



Justeru, sekiranya mereka sibuk membantu kakitangan di dapur, cawangan itu akan mempunyai pelayan sambilan tambahan bagi memastikan perkhidmatan pelanggan berjalan lancar.



Pelanggan yang menjamu selera di PastaMania kini boleh memesan makanan menerusi sistem pesanan digital tanpa memanggil pelayan pelanggan - mengurangkan tempoh mengambil pesanan daripada lima hingga 10 minit kepada satu hingga tiga minit.



Langkah-langkah demikian yang diambil Commonwealth Concepts (CWC), cabang syarikat pelaburan yang berpangkalan di Singapura, Commonwealth Capital Private Limited (CCPL), adalah antara usaha CCPL mereka bentuk semula pekerjaan dalam keadaan perniagaan yang kompleks dan tidak menentu kini.



Syarikat CCPL mempunyai portfolio makanan dan minuman (F&B) merentasi rangkaian nilai makanan daripada penternakan ikan kepada perkilangan, dan daripada logistik kepada perkhidmatan makanan.



Ia mengurus melebihi 300 pusat runcit dan saluran pengedaran di 13 negara, segolongan besar di Asia Tenggara dan Timur Tengah.



Pada 2021, CCPL membentuk usaha sama dengan Refinery Concepts, cabang F&B syarikat Far East Organisation, dengan menubuhkan Commonwealth Concepts (CWC).



CWC kini memiliki dan mengendalikan melebihi 20 jenama F&B termasuk jenama dengan sijil halal seperti PastaMania, Swissbake dan Zac Butchery.



Kumpulan CCPL juga merangkumi empat unit perniagaan utama iaitu pembuatan makanan, logistik rantaian sejuk dan pengedaran/perdagangan makanan.



Merujuk kepada restoran PastaMania, Ketua Pegawai Operasi, Commonwealth Concepts, Encik Brian Stampe, berkata Pastamania mencerminkan bagaimana sektor perkhidmatan makanan kumpulan CCPL berjaya menangani cabaran keperluan tenaga dalam tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19.



Lebih memberangsangkan lagi, jualan PastaMania terus meningkat dengan permintaan makanan sehingga 15 peratus hingga 20 peratus lebih tinggi - lebih baik berbanding 2019, menurut Encik Stampe.



Dalam pada itu, syarikat CCPL berusaha meningkatkan pendapatan pekerja sejak 2020 bagi merangsang semangat pekerja.







MEMBINA DAYA TAHAN PERNIAGAAN



Kisah restoran Pastamania memaparkan usaha syarikat CCPL melakar pendekatan strategik dan sistematik untuk membina daya tahan modal perniagaannya.



"Keadaan sekitaran luaran masa kini akibat pandemik Covid-19 dan peperangan Russia dan Ukraine menyebabkan harga bahan makanan meningkat, krisis tenaga kerja dan sebagainya. Ekoran itu, perniagaan perlu melalui transformasi,'' kata Encik Stampe.



Mereka mengkaji semula proses tenaga kerja supaya ia lebih cekap, menerapkan automasi dan pendigitalan dalam perniagaan untuk menangani cabaran keperluan tenaga kerja serta mengurangkan perbelanjaan operasi yang lain.



Mereka juga memperkenal produk yang lebih sihat dan mampan bagi memenuhi tanggungjawab sosial dan sekitaran mereka serta mengurus rantaian bekalan demi menjaga bekalan makanan Singapura.



Syarikat CCPL telah berusaha mereka bentuk semula pekerjaan melalui Program Penukaran Kerjaya WSG untuk pelbagai pekerja, merangkumi pekerja operasi darat seperti pembantu perkhidmatan makanan, pembantu gudang dan eksekutif operasi serta pekerja korporat seperti eksekutif sumber manusia (HR) dan eksekutif pemasaran.



Syarikat itu mempunyai 1,178 pekerja, dengan 75 peratus daripada mereka merupakan pekerja sepenuh masa.



MENERAPKAN AUTOMASI DAN PENDIGITALAN



Di cabang logistik CCPL, Commonwealth Kokubu Logistics Pte Ltd (CKL) serta Commonwealth Logistics II Pte Ltd, pekerja dilengkapi dengan kemahiran automasi dan teknologi supaya mereka boleh melakukan pekerjaan yang sama dengan kemahiran yang lebih tinggi, menurut Pengarah Eksekutif Divisyen Logistik Commonwealth, Encik Daniel Tan.



Sebagai contoh, seorang penyelia perkhidmatan pelanggan yang telah menjalani kursus Automasi Proses Robotik (RPA) kini meluangkan masanya, melihat data dan maklumat transaksi untuk menganalisis tingkah laku pelanggan dan juga boleh menasihatkan cara menyusun produk di dalam gudang sementara tugasan pentadbiran dan dokumentasi boleh diautomasi.



"Dengan menerapkan automasi dan keupayaan menganalisis data, kami berharap dapat menarik lebih ramai pekerja Singapura dalam bidang logistik pada masa depan," katanya.



Penolong pengarah kanan, pejabat pengarah pengurusan CCPL, Encik Joshua Rene, menambah bahawa jabatan pengilangan makanan syarikat CCPL juga telah memperkenal automasi dan pendigitalan yang boleh memperbaiki penghasilan makanan sebagai usaha untuk menangani kos bahan makanan yang kian meningkat.



Misalnya, syarikat ini telah membuat pelaburan dalam peralatan seperti 'cookie depositor' yang boleh menggandakan penghasilan biskut dan mesin Fill Seal Packaging yang boleh mengurangkan sehingga dua pertiga tenaga kerja untuk membungkus produk bersos dengan sokongan Enterprise Singapore (ESG).



SOKONGAN DARIPADA AGENSI PEMERINTAH



Syarikat CCPL telah mendapatkan Geran Pembangunan Keusahawanan dengan sokongan ESG supaya kemudahan logistik dan pengilangan makanannya dilengkapi dengan automasi.



ESG juga telah menawarkan CCPL pelbagai sokongan dengan membantu jabatan pembuatan makanan menembusi pasaran antarabangsa.



Selain itu, ESG telah memberi sokongan terhadap sistem pesanan digital dan program kesetiaan 'triple plus' untuk memperbaiki pengalaman pelanggan.



Syarikat CCPL kini dalam proses mendapatkan pendanaan Geran Huraian Produktiviti yang disokong ESG untuk melaksanakan sistem HRIS Cloud.







Memimpin pasukan melalui inovasi







MEMPUNYAI 'growth mindset', atau pemikiran berkembang, terhadap diri sendiri sehingga dapat meningkatkan kemampuan yang dimiliki, sangat digalakkan di syarikat Micron.



Syarikat yang merupakan peneraju global yang menyediakan huraian memori dan penyimpanan inovatif itu, turut menawarkan kepada pekerjanya pelbagai peluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru bagi mengatasi pelbagai kerumitan dengan adanya teknologi pengilangan lanjut.



Hasil daripada peluang mempertingkat kemahiran diri, pengurus bagi jabatan perancangan bahan di Micron, Cik Nurulhuda Jumahri, 51 tahun, bersama pasukannya berupaya menerapkan automasi dengan menginovasi sistem pengurusan bahan automasi..



Hasilnya, ia mampu meningkatkan ramalan tepat berkenaan bahan Micron serta komputasi dan pengeluaran data yang boleh mencegah kesilapan bajet dan ramalan.



Inovasi tersebut telah membantu Cik Nurulhuda dan pasukannya memenangi 'Idea Suku Tahun bagi Kecekapan' ('Idea of the Quarter for Efficiency') di Micron pada 2018, dengan inovasi tersebut kini turut digunakan oleh pasukan Micron lain di negara lain.



Cik Nurulhuda sudah bertugas di Micron selama 28 tahun dan syarikat itu merupakan majikan pertamanya selepas beliau meraih kelulusan dalam ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).



Bermula sebagai seorang jurutera pengilangan, beliau kini memimpin sebuah pasukan untuk menghasilkan keperluan bahan dan memastikan bahan sedia ada untuk menyokong keperluan penerbitan.



Beliau juga terlibat dalam perancangan proses perniagaan dan telah memainkan pelbagai peranan dan tanggungjawab semasa mengurus pasukan perancangan.



"Automasi antaranya ialah memanfaatkan keberkesanan operasi, membantu kami berinovasi, memastikan kesilapan sifar dalam komputasi dan mengurangkan ketidaktepatan data," ujar Cik Nurulhuda, ibu empat anak.



Katanya lagi:



"Sebagai seorang pengurus dan pemimpin, saya berpeluang menyertai pelbagai kelas mempertingkat diri untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan supaya saya boleh mengenal pasti bakat yang sesuai buat Micron, membantu mereka mempunyai kerjaya yang memuaskan dan mengekalkan mereka di Micron."



Membekalkan pekerja seperti Cik Nurulhuda dengan pengetahuan dan kemahiran baru adalah antara usaha syarikat Micron membina daya tahan terhadap perniagaannya pada kala keadaan geopolitik yang tidak menentu dan kekangan yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.



Menurut Pengarah, Kejuruteraan Pemasangan dan Pengenalan Produk Baru SSD (Solid State Drive), Encik Ranganathan Padmanaban, 42 tahun, Micron telah melaksanakan usaha transformasi perindustrian 4.0 pada 2015, melaksanakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bijak yang membolehkan Micron untuk mara ke hadapan.



Mengulas tentang trend yang dilihat dalam industri huraian memori, Encik Padmanaban berkata:



"Produk dan teknologi dalam industri huraian memori lebih rumit dan keperluan pelanggan sangat berbeza. Ini mendorong Micron membuat produk yang bermutu tinggi kepada pelanggan dalam tempoh paling singkat.''



TRANSFORMASI MICRON SINGAPURA DARIPADA MANUAL KEPADA AUTOMASI



Encik Padmanaban yang sudah bertugas di Micron selama 21 tahun telah melihat jabatan pemasangan dan ujian Micron melalui transformasi daripada proses manual yang memerlukan tenaga kerja kepada pengilangan bijak yang menerapkan automasi dan pendigitalan.



Tapak Micron di Singapura terdiri daripada dua kemudahan pemasangan wafer dan satu kemudahan pemasangan dan kemudahan ujian.



Dengan lebih 9,000 pekerja, Micron adalah salah satu majikan terbesar dan paling pelbagai di Singapura - dengan lebih daripada 40 peratus merupakan pekerja wanita.



Micron Singapura juga telah berubah daripada melaksanakan pengilangan kepada kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D).



Baru-baru ini, Micron telah mengumumkan pengeluaran volum huraian memori, NAND 232-lapisan, yang pertama di dunia dan dihasilkan di loji pemasangan wafer di Singapura.



Pada peringkat global, Micron telah melepasi 50,000 paten seumur hidup yang mengukuhkan kepimpinan syarikat dalam inovasi.



"Produk kami hari ini adalah dua hingga tiga kali ganda lebih rumit memenuhi jangkaan pelbagai pelanggan yang lebih tinggi, dengan mereka mahukan mutu terbaik. Dengan mengharungi pelbagai cabaran ini, ia telah membantu kami membina daya tahan," kata Encik Padmanaban.



Bagi membantu Micron Singapura melalui transformasi automasi, ia telah mendapatkan sokongan dan kerjasama pemerintah Singapura, menurut Encik Padmanaban.



"Pihak pemerintah juga menganjurkan sesi perkongsian bersama pelbagai industri dan sesi tersebut berguna untuk mengetahui perubahan dan perkembangan sesebuah syarikat walaupun jika ia bukan daripada industri sama.



"Pada masa yang sama, kami meraih manfaat daripada sokongan pemerintah yang telah membina ekosistem pembekal automasi untuk menyokong industri fabrikasi," kata Encik Padmanaban.



TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN (AI)



Diiktiraf sebagai sebagai 'Global Lighthouse' dalam Transformasi I4.0 oleh Forum Ekonomi Dunia, Micron telah menggunakan AI, analitik data dan teknologi AR/VR untuk mengurus proses pengilangan yang semakin rumit.



'Melaksanakan proses yang didayakan AI secara radikal memberi manfaat kepada operasi dan hasil pengeluaran produk, membezakan kami daripada pemain industri lain,'' kata Encik Padmanadan.



 



Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >