Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

ANALISIS BERITA

Mi rebus, mi siam kegemaran ramai... kenapa ada peniaga kita tak jual di wadah online?

Jun 09, 2021 | 05:30 AM



PENJAJA kuih-muih Melayu Jahlicious di Pusat Penjaja Makanan Golden Mile, Cik Zainab Mohd Dali, tidak menggunakan wadah penghantaran makanan dalam talian kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi. Ini kerana beliau tidak mempunyai pekerja.



Seperti beliau, ramai lagi peniaga Melayu/Islam yang menjual makanan tradisional Melayu seperti mi rebus dan mi siam tidak menjualnya di wadah tempahan digital seperti foodpanda dan GrabFood.



Pemilik gerai makanan Melayu Putra Delicacies, Encik Kamaruszaman Sabawi, berkata kos penyertaan yang tinggi serta makanan seperti mi rebus dan mi soto yang mudah didapati di mana-mana, menyebabkan beliau keberatan menjualnya dalam talian.



Isu itu hangat dibincangkan dalam talian oleh sekumpulan peniaga yang menanyakan mengapa tidak ramai penjaja Melayu/Islam kita yang menjual makanan Melayu dalam talian.



Peniaga Encik Ridjal Noor yang cuba membeli mi rebus dalam talian mendapati mereka yang menjualnya di wadah tempahan seperti GrabFood dan foodpanda merupakan firma makanan dan minuman (F&B) milik bukan Melayu yang lebih besar seperti Kaffe & Toast, Qi Ji, Ya Kun Kaya Toast dan Killiney.



"Manakah ratusan atau ribuan kedai makcik dan gerai nasi padang yang menjual mi rebus, mi soto, nasi lemak, lontong dan lain-lain?'' tanyanya.



Mempunyai jenama F&B di wadah tempahan yang besar seperti GrabFood dan foodpanda akan meningkatkan jenama syarikat di samping penjualan mereka tetapi berdasarkan tinjauan, beberapa peniaga keberatan menyertainya kerana beberapa sebab.



"Jika satu wadah tempahan memerlukan kos $300, ia akan menelan kos yang tinggi jika kita menggunakan pelbagai wadah tempahan dalam talian. Kalau saya sudah membayar kos tinggi, soalannya ialah ada tak orang yang nak beli sedangkan makanan seperti mi rebus dan mi soto boleh dibeli di mana-mana?'' tanya Encik Kamaruszaman.



Satu lagi keprihatinan beliau ialah kedainya terletak di tempat yang dianggap 'ulu' di Neo Tiew Lane 2 di kawasan Kranji dan beliau tidak tahu jika ada penghantar makanan yang sanggup ke sana.



"Jika terdapat bantuan mengurangkan kos, saya akan manfaatkannya,'' kata Encik Kamaruszaman, yang menyatakan penjualannya susut 85-95 peratus semasa Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) disebabkan kurangnya pelanggan.



Cik Zainab tidak menjual makanannya di wadah tempahan kerana beliau tidak mempunyai pekerja. Jika tempahan terlalu banyak, beliau bimbang tidak dapat memenuhinya.



"Saya menggunakan Facebook dan Instagram bagi memasarkan kuih-muih Melayu yang dijual dan mendapat tempahan awal seperti lebih dari sehari. Ini membolehkan saya membuat persiapan awal bukan seperti wadah tempahan seperti Grab dan foodpanda yang memerlukan saya memenuhi tempahan itu dalam masa yang singkat,'' jelasnya.



Bagi beberapa peniaga yang sudah pun memanfaatkan wadah tempahan itu, mereka melihat kelebihan tetapi ada juga kelemahannya.



Membantu ibunya Cik Kader Beevi menjalankan perniagaan makanannya di Saffrons Cafeteria di Tampines, Encik Ridjal berkata:



"Kami mendapat lebih 100 tempahan setiap hari menggunakan wadah itu. Kami mendapat tempahan dari serata Singapura dari Jurong dan Woodlands atau mereka yang mungkin tidak pernah mengunjungi kedai kami di Tampines. Sebahagian besar pelanggan yang membeli dalam talian menggunakan wadah GrabFood dan foodpanda dan kita digalak manfaatkannya.''



Ini juga diakui penjaja gerai nasi ayam penyet Nur Indah Kitchen, Cik Roziah Adon, yang telah memanfaatkan geran pemerintah sebanyak $1,500 ketika ditawarkan tahun lalu bagi menjual makanannya dalam talian.



"Dalam sehari, saya boleh mendapat banyak tempahan... lebih 100 tempahan,'' katanya, yang gerainya terletak di Bedok Corner.



Tetapi, kos komisen yang tinggi sebanyak 23-30 peratus dikenakan wadah tempahan yang besar membuat peniaga fikir dua kali.



Cik Roziah berkata perkiraan harus dibuat oleh peniaga agar tahu bagaimana hendak meletakkan harga.



"Kos komisen yang tinggi dikenakan boleh memakan modal niaga.



"Tetapi, saya akui menggunakan wadah itu meningkatkan jenama F&B kita. Ini baik bagi jenama yang belum dikenali,'' ujarnya.



Oleh kerana komisen dikenakan wadah tempahan ini tinggi, Encik Ridjal berkata penjaja tidak harus takut meletakkan harga makanan lebih tinggi bagi mengimbangi kos komisen yang tinggi itu.



Saffrons, misalnya, mengenakan bayaran $9 bagi beriani daging dan ayam dalam talian, sedangkan ia dijual pada harga $7.50 di kedai.



"Pelanggan akan bayar bagi kemudahan yang mereka terima kerana makanan itu dihantar terus ke rumah mereka,'' kata Encik Ridjal.



Baru-baru ini, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata penjaja akan diberi bantuan tambahan oleh pemerintah untuk menyertai wadah penghantaran dalam talian sedang lebih ramai orang bekerja di rumah dan menempah makanan di tengah-tengah pandemik Covid-19.



Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak dan Keselamatan Siber, menarik perhatian bahawa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudah menyediakan insentif untuk penjaja menyertai wadah penghantaran dalam talian.



Berdasarkan pengalaman para peniaga, mereka memerlukan lebih banyak bantuan selain hanya membantu mereka menyertai wadah-wadah tempahan itu.



Ia memerlukan kajian yang mendalam untuk mengetahui cabaran dihadapi peniaga kecil-kecilan seperti soal tenaga kerja yang dihadapi Cik Zainab.



"Ia juga adalah mengenai soal logistik. Jika 30-40 tempahan datang serentak melalui foodpanda dan Grab dan harus dipenuhi semasa waktu makan tengah hari yang singkat, bagaimana peniaga boleh memenuhinya jika mereka tidak mempunyai pekerja yang mencukupi?



"Ini satu cabaran yang besar bagi peniaga kecil-kecilan. Saffrons yang mempunyai pekerja yang ramai juga menghadapi cabaran itu,'' kongsi Encik Ridjal.



Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyedari cabaran dihadapi penjaja kecil-kecilan.



"Kami faham cabaran dihadapi peniaga kecil-kecilan apabila meluaskan perniagaan mereka secara digital. Ini terutama dirasai penjaja kerana sekatan Covid-19 menjejas pendapatan dan niaga mereka. Cabaran dihadapi termasuk memenuhi bayaran komisen tinggi yang dikenakan wadah penghantaran makanan pihak ketiga,'' kata jurucakap DPPMS.



Pejabat Rombakan Digital DPPMS menasihati peniaga melaksanakan huraian digital lain seperti wadah berdasarkan langganan yang mudah digunakan dalam tempoh pandemik ini.



"Peniaga juga boleh bekerja sama dengan kami untuk menyemak strategi harga mereka bagi mengambil kira faktor komisen dikenakan wadah penghantaran makanan pihak ketiga. Ini memberikan mereka imbangan lebih baik bagi pendapatan dan perbelanjaan mereka,'' tambah jurucakap itu.



Apa jua bantuan diberikan, peniaga kita harus diberi sokongan oleh kita sebagai pembeli agar mereka dapat terus bertahan dalam tempoh mencabar ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >