Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MOM: 7 dari 10 pekerja terima kenaikan gaji tahun lalu

May 31, 2022 | 05:30 AM



LEBIH ramai pekerja - tujuh daripada 10 pekerja - menerima kenaikan gaji tahun lalu di tengah-tengah pemulihan ekonomi yang kukuh dan pasaran pekerja ketat di Singapura, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Ini lebih tinggi berbanding enam daripada 10 pekerja pada 2020.



Pertumbuhan gaji keseluruhan, termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) majikan, dalam kalangan pekerja rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) yang telah bekerja dengan majikan yang sama untuk sekurang-kurangnya setahun ialah 3.9 peratus pada 2021.



Ini adalah serupa dengan kadar 3.9 peratus pada 2019, dan kenaikan berbanding 1.2 peratus pada 2020 apabila pandemik Covid-19 melanda.



"Pemulihan dalam pertumbuhan gaji keseluruhan pada 2021 mencerminkan pemulihan ekonomi secara meluas dalam industri, dan pasaran pekerja yang ketat disebabkan sekatan sempadan yang memperlahankan kemasukan pekerja bukan penduduk," kata MOM dalam kenyataannya semalam.



Namun begitu, kementerian itu berkata inflasi lebih tinggi tahun lalu telah melembapkan pertumbuhan gaji sebenar, meskipun pertumbuhan gaji terus melebihi inflasi.



Tahun lalu, apabila kadar inflasi adalah 2.3 peratus, pertumbuhan gaji sebenar ialah 1.6 peratus.



Ini lebih sedikit berbanding pertumbuhan gaji sebenar 1.4 peratus pada 2020 apabila kadar inflasi ialah -0.2 peratus, dan lebih rendah berbanding 3.3 peratus pada 2019 apabila kadar inflasi ialah 0.6 peratus.



Dengan ekonomi Singapura tumbuh 7.6 peratus tahun lalu, jumlah majikan yang memperoleh keuntungan meningkat daripada 63 peratus pada 2020 kepada sekitar 75 peratus tahun lalu.



Ini membolehkan sesetengah majikan mengembalikan potongan gaji yang dibuat pada 2020, kata MOM.



Dengan itu, sekitar 70 peratus pekerja menerima kenaikan gaji tahun lalu - naik daripada 59 peratus pada 2020.



Tahap kenaikan gaji mereka juga lebih tinggi - 6.3 peratus pada tahun lalu berbanding 4.5 peratus pada 2020.



Jumlah pekerja yang mengalami potongan gaji juga berkurangan sekitar separuh daripada 23 peratus pada 2020 kepada 10 peratus tahun lalu, dengan potongan gaji itu juga kurang mendadak daripada 6.9 peratus pada 2020 kepada 5.2 peratus tahun lalu.



MOM berkata kesemua sektor mencatatkan pertumbuhan gaji keseluruhan lebih tinggi tahun lalu berbanding 2020.



Misalnya, sektor infokom menyaksikan pertumbuhan gaji keseluruhan sebanyak 5.1 peratus, khidmat kewangan dan insurans 4.1 peratus dan perkilangan pula 4 peratus.



Sektor-sektor berorientasikan luaran ini membentuk sekitar 70 peratus ekonomi dan dijangka meraih manfaat daripada peningkatan permintaan luar.



Sementara itu, dalam kalangan sektor berorientasikan domestik, perdagangan runcit mencatatkan kenaikan gaji tertinggi sebanyak 5.5 peratus.



Dalam kalangan sektor yang terjejas teruk oleh pandemik, gaji meningkat seiring dengan kembalinya permintaan bagi tenaga manusia sedang sekatan sempadan dilonggarkan.



Contohnya, sektor penginapan - yang termasuk hotel, apartmen servis dan dormitori - menyaksikan gaji meningkat 1.7 peratus tahun lalu daripada penurunan 5.3 peratus pada 2020.



MOM berkata pertumbuhan gaji dijangka berterusan tahun ini disebabkan pasaran buruh yang ketat, yang akan secara perlahan berkurangan dengan kelonggaran sekatan sempadan, membolehkan jumlah pekerja bukan penduduk untuk pulih.



Namun, faktor seperti perang Russia-Ukraine dan gangguan bekalan sejagat yang berlarutan boleh menjejas permintaan dan pertumbuhan gaji pada tahun ini.



"Dengan kejutan baru-baru ini terhadap rantaian bekalan sejagat, inflasi diramalkan kekal tinggi dan melembapkan pertumbuhan gaji sebenar," tambah MOM.




PERTUMBUHAN GAJI KESELURUHAN MENGIKUT SEKTOR



Perdagangan runcit



2019: 3.1%
2020: 2%
2021: 5.5%



Khidmat profesional



2019: 4.6%
2020: 0.3%
2021: 5.3%



Infokom



2019: 5%
2020: 1.5%
2021: 5.1%



Perdagangan borong



2019: 3.6%
2020: 2%
2021: 4.3%



Perkilangan



2019: 3.1%
2020: 1.3%
2021: 4%



Binaan



2019: 2.5%
2020: 0.4%
2021: 3.6%




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >