Pengalaman kerja diperhalusi sesuaikan peranan sebagai eksekutif pelaksanaan, Berita Ekonomi & Kerja - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Ekonomi & Kerja0

BERALIH DARI 'HEDGE FUND' KE TEKNOLOGI MAKLUMAT

Pengalaman kerja diperhalusi sesuaikan peranan sebagai eksekutif pelaksanaan

Jan 10, 2021 | 05:30 AM

SETELAH meninggalkan pekerjaannya sebagai pengamat operasi dalam industri dana lindung nilai atau 'hedge fund', Encik Mohamed Dzul'Aizat Mohamed Amin memutuskan untuk menukar kerjaya.

Ini lebih-lebih lagi beliau semakin tertarik dengan sektor teknologi maklumat yang berkembang pesat dan memiliki prospek masa depan cerah.

Justeru apabila mendapat tahu tentang Program Laluan Kerjaya Pertengahan SGUnited, Encik Dzul'Aizat, 29 tahun, sedar ia boleh memberinya peluang menimba pengalaman sambil memanfaatkan kemahirannya yang sedia ada.

Kini, beliau menyandang peranan sebagai eksekutif pelaksanaan sistem penjualan bersama syarikat Singtel.

Encik Dzul'Aizat berkata ternyata ada perbezaan dari segi kemahiran yang diperlukan untuk tugasan barunya sekarang.

Berita Popular

Jelas beliau, dahulu sebagai pengamat operasi dalam sektor dana perlindungan, tugasannya ialah menguruskan dagangan dalam jumlah yang tinggi serta sekitaran berentak pantas untuk pelanggan khusus di pasaran Amerika Syarikat.

Kini kemahiran berbeza yang dimanfaatkan dalam peranan baru sebagai eksekutif pelaksanaan sistem seperti mengasah kemahiran menganalisa perniagaan seperti analisis tuntutan dan menyatukan maklumat bagi menyokong ketua.

"Kemahiran yang saya bawa dari peranan sebelum ini perlu diperhalusi lagi bagi menyesuaikan diri dengan sekitaran baru.

"Misalnya menyelesaikan masalah dalam peranan sebelum ini dilakukan secara langsung dengan pelanggan dan broker apabila melakukan dagangan secara langsung.

"Tetapi kini, saya menghuraikan masalah dalam bidang berbeza, lebih kepada peningkatan dan membaiki proses dalaman yang ada sekarang," kata beliau sambil menambah perlunya menimba pengetahuan dan alat baru.

Encik Dzul'Aizat yang menggenggam ijazah sains dalam perniagaan dan pengurusan dengan kepujian dari Universiti London, berkata sebagai individu dalam pertengahan kerjaya, salah satu cabarannya ialah untuk keluar dari zon keselesaan.

"Saya suka untuk terus mencabar diri agar dapat berkembang dan memperolehi lebih banyak pengalaman yang boleh ditawarkan oleh pasaran pekerjaan.

"Cabaran paling sukar ialah untuk terus yakin terhadap laluan baru diambil. Mungkin akan terdapat kebimbangan atau keraguan yang membuat anda keberatan pada mulanya, namun saya tetap percaya pada diri sendiri dengan sokongan orang tersayang dan terus melangkah ke hadapan," ujar beliau.

Menurut Encik Dzul'Aizat lagi, kerjasama pemerintah dengan syarikat seperti Singtel bagi program SGUnited telah mewujudkan peluang untuk mereka yang ada sedikit atau tiada pengalaman untuk menyertai serta mendapat latihan dalam sektor baru.

"Sebelum menyertai program ini saya meneroka pilihan lain seperti kerja tetap, tetapi banyak syarikat tidak terbuka menggajikan mereka yang tidak berpengalaman, terutama semasa waktu pandemik ini.

"Program SGUnited ini menyediakan peluang untuk mereka seperti saya dilatih dalam bidang baru dan putuskan untuk menyertainya kerana yakin mendapat pengalaman itu adalah penting pada saat ini," tambahnya yang masih bujang.

Tentang prospek industri teknologi maklumat, beliau berpendapat sedang kita mengukuhkan usaha dalam era digital ini, sektor itu mempunyai masa depan sangat cerah.

"Dengan kemajuan teknologi baru dan mendatang, dunia memerlukan industri ini... mendapatkan ilmu tentang industri teknologi infokom (ICT) dan akses dan kemahiran digital adalah kunci masa depan," tambahnya.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map