Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peraduan sedia dana bagi niaga kecil, badan tidak cari untung biaya pertumbuhan

Jul 9, 2024 | 3:18 PM
Penyertaan bagi peraduan Dana Perniagaan Indah Xero ditutup pada 27 Ogos, dan  pemenang akan diumumkan pada akhir Oktober.
Penyertaan bagi peraduan Dana Perniagaan Indah Xero ditutup pada 27 Ogos, dan pemenang akan diumumkan pada akhir Oktober. - Foto ST

Perniagaan kecil dan kumpulan tidak mencari untung di Singapura serta enam negara lain di seluruh dunia kini berpeluang bertanding dalam sebuah peraduan untuk merebut sebahagian daripada hadiah $630,000 bagi membiayai rancangan pertumbuhan mereka.

Penganjur peraduan tersebut ialah Xero, syarikat penyedia perisian perakaunan berpangkalan di New Zealand.

Syarikat itu sedang mencari peserta yang layak mendapat Dana Perniagaan Indah Xero dalam kalangan pelanggannya di Australia, Canada (tidak termasuk Quebec), New Zealand, Singapura, Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Peserta boleh memohon untuk bersaing dalam empat kategori:

– Berinovasi bagi Kemampanan Alam Sekitar

– Merintis dengan Teknologi

– Memperkukuh Hubungan Masyarakat

– Meningkatkan Kemahiran untuk Masa Depan

Empat pemenang akan dipilih dari setiap negara tersebut – satu dalam setiap kategori. Hadiah $630,000 itu akan dikongsi oleh 28 pemenang. Setiap pemenang akan menerima $15,000.

Daripada 28 pemenang peraduan itu, empat akan dipilih sebagai “pemenang sejagat”, dengan masing-masing bakal menerima hadiah tambahan $40,000, lapor The Business Times.

Penyertaan bagi peraduan itu ditutup pada 27 Ogos, dan pemenang akan diumumkan pada akhir Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xero, Cik Sukhinder Singh Cassidy, berkata: “Dana ini memberi peluang kepada kami untuk memikirkan matlamat kami bagi mewujudkan kehidupan lebih baik bagi perniagaan kecil dan penasihat serta masyarakat mereka di seluruh dunia.

“Di samping itu, kami ingin memberi sokongan bermakna supaya pelanggan kami dapat memenuhi impian mereka atau mengambil langkah besar seterusnya dengan yakin.”

Dana Perniagaan Indah Xero diperkenalkan buat kali pertama pada Julai 2023. Ini adalah kali kedua peraduan tersebut dianjurkan. 

Empat pelanggan Xero di Singapura – Art Outreach Singapore, Oriental Remedies Group, Oysterly, dan Style Theory Singapore – menang peraduan itu pada 2023, dan masing-masing meraih hadiah $15,000.

Pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Style Theory, yang menyediakan khidmat penyewaan pakaian, Cik Raena Lim, berkata:

“Dengan pembiayaan Dana Perniagaan Indah Xero kami berupaya mengautomasi dan menyelaras proses suai tugas (bagi kakitangan baru), pemantauan dan pelaporan data.

“Ini membolehkan kami meningkatkan lagi program kemampanan fesyen kami.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg