Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program Yayasan Asean, Huawei bantu SME tingkat upaya digital secara percuma

Ajar tentang alatan, strategi digital bagi tingkat proses niaga serta jalin rangkaian bersama pemimpin perusahaan, penggubal dasar serantau
Nov 28, 2024 | 2:15 PM
Dengan memajukan keupayaan digital mereka, syarikat kecil dan sederhana (SME) berpeluang mencapai penjimatan kos yang ketara dan menjadi lebih berdaya saing.
Dengan memajukan keupayaan digital mereka, syarikat kecil dan sederhana (SME) berpeluang mencapai penjimatan kos yang ketara dan menjadi lebih berdaya saing. - Foto PIXABAY

Pemilik perniagaan kecil dan sederhana di Asean yang ingin meningkatkan keupayaan digital mereka kini boleh memohon menyertai satu program maya dibiayai penuh yang akan mengajar mereka tentang alatan digital untuk mengoptimumkan operasi perniagaan.

Program Memperkasa Kemahiran Digital syarikat kecil dan sederhana (SME) Asean (EDS-Asean) itu dianjurkan bersama oleh Yayasan Asean, sebuah pertubuhan tidak meraih untung yang beribu pejabat di Jakarta dan gergasi teknologi China, Huawei.

Program itu direka untuk membantu SME di rantau ini mempelajari tentang alatan dan strategi digital bagi meningkatkan proses perniagaan mereka dalam ekonomi digital hari ini, lapor The Business Times.

Perniagaan akan menerima latihan dan bimbingan yang disesuaikan daripada kumpulan pakar Huawei, serta berpeluang menjalin rangkaian bersama pemimpin perusahaan dan penggubal dasar serantau dan membentuk perkongsian berharga.

Kira-kira 100 SME dari 10 negara Asean akan dipilih untuk menyertai Program EDS-Asean itu.

Program tersebut akan berlangsung secara maya dari Mac hingga Mei 2025, dengan peserta perlu melalui satu fasa “pembinaan kapasiti”.

Dalam fasa itu, tinjauan garis dasar tentang cabaran yang mereka hadapi berkaitan pendigitalan akan dijalankan.

Peserta kemudian akan menerima bahan berkaitan cara mempercepatkan kematangan digital dan menghadiri sesi bimbingan.

Peserta juga akan dikumpulkan ke dalam kumpulan lima hingga 10 orang bagi pengalaman pembelajaran berkesan.

Mereka yang mencapai prestasi tinggi kemudiannya akan dijemput menyertai bengkel sehari di Jakarta pada Julai 2025, bagi mereka mempamerkan kemajuan dan berhubung dengan penggubal dasar dan pihak berkepentingan.

Mereka juga akan berpeluang menyertai Program Pemula Awan Huawei, yang menawarkan sumber dan sokongan tambahan bagi mempercepatkan peralihan digital dan pertumbuhan perniagaan mereka.

Dengan memajukan keupayaan digital mereka, SME berpeluang mencapai penjimatan kos ketara dan menjadi lebih berdaya saing, kata Yayasan Asean.

Untuk layak menyertai program itu, SME mesti berasal dari mana-mana negara anggota Asean – Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Perniagaan juga mesti mempunyai produk yang layak dan tidak disenaraikan secara awam.

SME terpilih dikehendaki memilih wakil – sama ada pengasas, pengasas bersama, ketua eksekutif atau ahli pasukan lain – untuk menghadiri program tersebut.

Wakil tersebut mesti merupakan warga Asean berusia antara 18 dengan 35 tahun dan fasih berbahasa Inggeris kerana keseluruhan program itu akan disampaikan dalam bahasa tersebut.

SME berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Yayasan Asean selewat-lewatnya pada 30 November, 11.59 malam, di laman web https://form.jotform.com/242689005215455

Calon yang disenarai pendek akan dimaklumkan melalui e-mel untuk menghadiri temu duga dalam talian antara Disember 2024 dengan Januari 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg