DANA Kewangan Antarabangsa (IMF) telah melantik Cik Shirin Hamid sebagai Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat (ITD).
Cik Shirin dipilih hasil satu proses pemilihan antarabangsa yang sengit. Beliau akan menjalankan tugas itu mulai 4 Januari tahun depan dan mengambil-alih tempat Encik Ed Anderson, yang meninggalkan IMF pada Jun lalu, menurut kenyataan IMF.
Beliau merupakan warga Singapura pertama yang menyandang jawatan itu.
"Shirin membawa pengalaman kepimpinan IT yang banyak, setelah memegang banyak jawatan penting di institusi nasional dan sejagat. Beliau merupakan seorang inovator, yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam kempen memodenkan IT dalam pertubuhan antarabangsa yang besar,'' kata Pengarah Urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva.
Sebelum ini, Cik Shirin merupakan Pengarah Agung dan Ketua Pegawai Maklumat ITD di Bank Pembangunan Asia (ADB) sejak 2016.
Di sana, beliau memimpin lebih 600 kakitangan IT. Sebelum di ADB, Cik Shirin menerajui jabatan teknologi bank serantau yang memiliki 45 pejabat global. Sebelum ini, bakatnya turut dikenal pasti bagi peranan sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau UNDP di New York, selama lebih 10 tahun – jawatan tertinggi yang tidak dilantik secara politik di PBB.
Cik Shirin merupakan anak kepada Allahyarhamha Hajah Bibi Mahmood. Adiknya, Encik Zakir Hamid merupakan bekas juruterbang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).