SINGAPURA meraih kedudukan tertinggi sebagai destinasi negara paling mesra Muslimah, di antara negara bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurut Indeks Perjalanan Muslim Sejagat (GMTI) 2023 yang dikeluarkan pada Khamis, kedudukan Singapura di tempat paling atas indeks tersebut mencerminkan keupayaan negara ini untuk mencapai keseimbangan yang baik dalam menyediakan persekitaran mesra Muslim.
Ini termasuk daripada sudut keselamatan, kemampanan selain memastikan tiada sebarang sekatan bagi kepercayaan beragama.
Singapura mendahului negara-negara bukan OIC lain seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong, berdasarkan laporan GMTI 2023 yang dikeluarkan oleh Mastercard-CrescentRating.
Dalam kalangan negara OIC pula, Malaysia muncul sebagai negara paling mesra Muslimah, disusuli dengan Indonesia, Qatar, Arab Saudi dan Brunei.
Menurut laporan tersebut, “privasi dan kesopanan adalah kebimbangan besar bagi wanita Islam, yang mendorong mereka untuk mengelakkan diri daripada kemudahan yang mempunyai sekatan kod pakaian atau yang tidak menyediakan privasi yang mencukupi”.
“Pelawat Muslim sering merancang perjalanan mereka mengikut kriteria orientasi agama, seperti ketersediaan makanan halal dan bilik solat,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif CrescentRating, Encik Fazal Bahardeen.
GMTI adalah laporan tahunan yang menganalisis data merentasi hampir 140 negara. Ia menawarkan pandangan menyeluruh tentang destinasi paling sesuai yang memenuhi keperluan segmen perjalanan berkonsep halal yang kian berpengaruh.