PEMERINTAH Singapura perlu mula mengusahakan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sepertimana yang dirancang pada Belanjawan 2022, melihat kebangkitan ekonomi daripada Covid-19, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Amanat Tahun Barunya pada Jumaat (31 Disember).
Menurut Encik Lee, pemerintah harus mempunyai sumber pendapatan yang kukuh dan cukup untuk melaksanakan program sosial, kata Encik Lee, sambil menambah sumber pendapatan tambahan diperlukan bagi membiaya peluasan sistem jagaan kesihatan dan menyokong skim bagi warga Singapura lebih berusia.
"Mereka yang lebih berkemampuan harus menyumbang bahagian yang lebih lagi tetapi setiap orang harus memikul sekurang-kurangnya sebahagian kecil daripada bebanan ini," katanya.
Beliau menambah: "Ini adalah sebab bagi menaikkan cukai berasas luas seperti GST, ditambah pula dengan sebuah skim imbangan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan ke atas keluarga-keluarga berpendapatan rendah.
"GST membentuk satu komponen penting dalam sistem cukai dan pemindahan kita yang turut merangkumi cukai pendapatan dan harta. Secara keseluruhan, sistem kita akan
kekal progresif dan adil."
Menurut Encik Lee lagi, pemerintah menjangkakan keperluan ini akan timbul sejak beberapa tahun yang lalu.
"Memandangkan ekonomi kita kini sedang bangkit daripada Covid-19, kita perlu melaksanakan langkah tersebut. Oleh itu, Belanjawan 2022 akan menyediakan asas bagi kedududukan kewangan pemerintah yang kukuh dan mampan untuk tahap pembangunan Singapura yang seterusnya," katanya lagi.
Rancangan menaikkan GST dengan dua peratusan mata daripada 7 peratus kepada 9 peratus kali pertamanya diumumkan pada 2018 dalam ucapan Belanjawan Menteri Kewangan ketika itu, Encik Heng Swee Keat.
Beliau berkata kenaikan itu perlu bagi memperkukuh hasil pendapatan Singapura, melihat pada kenaikan berulang dalam perbelanjaan jagaan kesihatan, keselamatan dan perihal sosial lain.