Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

ANALISIS BERITA - COVID-19: PELUANG BAGI F&B SUSULI PERKEMBANGAN INDUSTRI

Tarikan sektor F&B di tengah pandemik

Sebanyak 3,285 perniagaan F&B dibuka tahun lalu, lebih banyak berbanding 2,056 yang ditutup pada tempoh sama
Dec 31, 2021 | 05:30 AM



PERMINTAAN kukuh untuk khidmat makanan dan minuman (F&B) meskipun di tengah-tengah pandemik, telah mendorong ramai peniaga meluaskan perniagaan atau menarik pemain baru kerana hambatan memasuki industri itu tetap dianggap rendah.



Beberapa peniaga dan pengamat ditinjau berkata krisis ini antara lain, memberi lebih banyak ruang merundingkan hal seperti sewa lebih rendah berbanding sebelum Covid-19 manakala permintaan terpendam untuk melancong ekoran pergerakan masih terbatas, merangsang selera warga untuk menikmati pengalaman menjamu selera.



Menurut perangkaan terkini, sebanyak 3,285 perniagaan F&B dibuka tahun lalu - lebih banyak berbanding jumlah F&B ditutup pada tempoh yang sama, iaitu 2,056.



Berkongsi pemerhatiannya, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan, berkata Covid-19 menyebabkan lonjakan kos operasi bagi peniaga F&B, termasuk cabaran ekoran protokol perniagaan yang berubah-ubah dan bersifat 'henti dan mula niaga'.



"Namun Dewan turut menyaksikan banyak perniagaan halal dan mesra Muslim baru yang muncul, termasuk di kawasan utama seperti Kampong Glam.



"Sebelum pandemik, industri ini menyaksikan kadar pusing ganti yang tinggi kerana hambatan kemasukan adalah rendah.



Pada masa yang sama, keperluan untuk khidmat F&B akan menjamin permintaan yang berterusan menjadikan ia satu industri yang agak 'kalis pandemik'."



Peluang untuk peniaga baru lebih menyerlah bagi model perniagaan yang menelan perbelanjaan modal rendah seperti perniagaan dari rumah atau mereka yang menawarkan khidmat penghantaran ke rumah, menurut Encik Farid.



Beliau juga berpendapat sokongan pemerintah semasa pandemik telah menolong industri itu untuk terus berkembang. Misalnya, sektor F&B menerima antara bantuan terbesar berbanding industri lain bagi geran Skim Bantuan Pekerjaan (JSS).



"Bagaimanapun, perniagaan harus terus menyesuaikan diri dan melaksanakan model perniagaan mapan kerana sokongan sedemikian tidak ditawarkan pada jangka panjang," tekan Encik Farid.



Pengarah urusan syarikat perunding, Stellar Consulting Group, Dr Hazik Mohamed, berkata pasaran F&B mungkin telah tiba pada satu peringkat apabila bekalan tidak dapat memenuhi permintaan.



"Selepas banyak penutupan sebelum ini, nampaknya sedang ekonomi dibuka semula, kita mengalami kekurangan bekalan yang kemudian mendorong permintaan kukuh untuk perkhidmatan F&B," terangnya.



Menurut pandangan Dr Hazik, pergerakan ke luar negara yang masih terbatas merupakan antara pemangkin kepada trend pertumbuhan sihat dalam industri F&B.



"Walaupun dengan adanya Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL), pergerakan masih agak terbatas.



"Orang ramai mungkin ghairah untuk kembali ke keadaan normal dan respons utama kita nampaknya ialah dengan makan luar.



"Selain itu, ramai warga Singapura yang kembali dari luar negara atau mempunyai keluarga di sini selepas sekatan pergerakan dua tahun, akan memilih untuk bertemu di kedai F&B," ujar Dr Hazik.



Satu lagi faktor mendorong trend ini, kata Pensyarah Kanan SIM Global Education, Dr Tan Khay Boon, ialah prospek pekerjaan yang lebih lemah di tengah-tengah Covid-19.



"Kerancakan sektor ini mencerminkan keusahawanan semakin berkembang di Singapura dan kepercayaan sektor ini boleh memberi peluang kejayaan lebih tinggi.



"Selain itu, prospek pekerjaan lebih lemah akibat Covid-19 mungkin mendorong lebih ramai untuk mencuba berniaga daripada mendapatkan pekerjaan.



"Keputusan ini mungkin juga kerana kos sewa lebih rendah dan lebih banyak subsidi sewa manakala khidmat penghantaran makanan yang semakin popular juga telah mewujudkan pasaran F&B lebih besar di Singapura," jelas beliau.



Mengenai peluang yang timbul ekoran pandemik, Encik Farid berkata krisis ini mempercepat penghantaran berdasarkan permintaan sedang pengguna lebih memilih untuk menempah dalam talian dan makan di rumah ekoran sekatan makan di luar yang kerap berubah, sejak 18 bulan lalu.



"Maka itu, peniaga digalak memanfaatkan wadah digital alternatif dan huraian untuk mempelbagaikan perniagaan mereka dan memanfaatkan trend yang meningkat ini.



"Tambahan pula, mendigitalkan operasi perniagaan seperti menggunakan wadah penghantaran dan huraian digital boleh mengurangkan tenaga kerja dengan berkesan dan kos operasi...



"Sedang pemerintah menggalak pendigitalan dalam kalangan peniaga, terdapat lebih banyak geran dan bantuan untuk memudahkan pelaksanaan digital.



"Perniagaan digalak supaya memanfaatkan sokongan ini untuk membantu operasi perniagaan mereka," jelas Encik Farid.



Memberi perspektif sebagai peniaga ialah pemilik bersama restoran Asap & Co serta Cherry & Oak, Encik Hairul Isa, yang menyaksikan pembukaan kedua-dua restoran itu dua tahun ini.



"Kami melihat peluang yang baik dalam pandemik ini untuk meluaskan perniagaan kami, khususnya pembukaan restoran kedua kami Cherry & Oak beberapa bulan lalu.



"Ini kerana pandemik ini membolehkan kami untuk mencari lokasi lebih baik dan kadar sewa yang lebih baik.



"Misalnya, kami berupaya mendapat kadar sewa yang 20 peratus lebih rendah berbanding sebelum masa Covid-19 manakala kami juga berjaya mendapat lokasi kedai lebih baik apabila ada yang tutup kedai," ujarnya.



Pada masa sama, Encik Hairul akur cabarannya lebih besar berbanding sebelum pandemik namun yakin setiap cabaran mempunyai huraian.



"Kami menganggap cabaran dihadapi adalah cabaran yang baik, selagi ada pelanggan yang suka makanan kami dan menyokong kami.



"Tentunya risiko berniaga dalam masa krisis ini adalah ketidaktentuan keadaan dan ini sesuatu yang harus diuruskan oleh pemerintah.



"Namun bagi pihak kami, kami bersedia mengambil risiko ini," tambah beliau.



Bagi pengasas bersama syarikat, The Blackhole Group, Encik Mustaffa Kamal, Covid-19 tidak menjejas rancangan jangka panjang perniagaan itu yang memiliki rangkaian kafe.



Dalam masa dua tahun ini, syarikat itu telah membuka dua kafe baru - Tipo Pizzeria e Trattoria di Stamford Arts Centre dan The Great Mischief di Galeri Nasional.



Malah, kongsi Encik Mustaffa, syarikat itu dalam proses membuka satu lagi kafe yang dijangka dibuka akhir Januari.



"Peluasan ini adalah sebahagian daripada rancangan 10 tahun syarikat kami dan melihat pandemik ini sebagai satu kegenjotan kecil sahaja.



"Umumnya, kami rasa peluang yang ada tidak banyak berbeza sebelum dan selepas Covid-19, khususnya kerana perspektif kami adalah luas dan berfikiran jauh...



"Pada masa yang sama usaha peluasan lebih perlahan sedikit sekarang kerana cabaran seperti mendapatkan bakat yang baik dan kontraktor terbatas. Namun kami tetap seronok dengan proses meluaskan niaga," terang beliau.




"... Dewan turut menyaksikan banyak perniagaan halal dan mesra Muslim baru yang muncul, termasuk di kawasan utama seperti Kampong Glam. Sebelum pandemik, industri ini menyaksikan kadar pusing ganti yang tinggi kerana hambatan kemasukan adalah rendah. Pada masa yang sama, keperluan untuk khidmat F&B akan menjamin permintaan yang berterusan menjadikan ia satu industri yang agak 'kalis pandemik'."
- Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan.



"Walaupun dengan adanya Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL), pergerakan masih agak terbatas. Orang ramai mungkin ghairah untuk kembali ke keadaan normal dan respons utama kita nampaknya ialah dengan makan luar. Selain itu, ramai warga Singapura yang kembali dari luar negara atau mempunyai keluarga di sini selepas sekatan pergerakan dua tahun, akan memilih untuk bertemu di kedai F&B."
- Pengarah urusan syarikat perunding, Stellar Consulting Group, Dr Hazik Mohamed.



"Kami melihat peluang yang baik dalam pandemik ini untuk meluaskan perniagaan kami... Ini kerana pandemik ini membolehkan kami untuk mencari lokasi lebih baik dan kadar sewa yang lebih baik. Misalnya, kami berupaya mendapat kadar sewa yang 20 peratus lebih rendah berbanding sebelum masa Covid-19 manakala kami juga berjaya mendapat lokasi kedai lebih baik apabila ada yang tutup kedai."
- Pemilik bersama restoran Asap & Co serta Cherry & Oak, Encik Hairul Isa.



"Peluasan ini (pembukaan satu lagi kafe) adalah sebahagian daripada rancangan 10 tahun syarikat kami dan melihat pandemik ini sebagai satu kegenjotan kecil sahaja... Pada masa yang sama usaha peluasan lebih perlahan sedikit sekarang kerana cabaran seperti mendapatkan bakat yang baik dan kontraktor terbatas."
- Pengasas bersama syarikat, The Blackhole Group, Encik Mustaffa Kamal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >