Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SUSULAN RAPAT HARI KEBANGSAAN: MENGELAKKAN DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA

Undang-undang pastikan pekerja tidak didiskriminasi, digajikan berdasarkan merit

Undang-undang ditetapkan bagi Tafep pastikan pekerja tidak digajikan disebabkan bangsa, agama, jantina, usia dan negaranya
Sep 05, 2021 | 05:30 AM



SEBUAH syarikat berbilang negara (MNC) lebih terdorong menarik individu dari negara mereka berbanding memupuk bakat rakyat Singapura, menyebabkan permintaan bagi pas pekerjaan (EP) meningkat berlebihan.



Seorang pekerja warga emas pula diberhentikan disebabkan usia mereka atau seorang pekerja Melayu tidak digajikan disebabkan tudungnya.



Contoh-contoh ini merupakan antara diskriminasi di tempat kerja yang telah diadukan dan dikongsikan kepada Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat, yang juga seorang Anggota Lembaga Pengarah Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep).



Diskriminasi di tempat kerja ini dapat dibendung apabila Garis Panduan Tafep ditetapkan dalam undang-undang seperti diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu.



Encik Lee berkata undang-undang antidiskriminasi serta tribunal bagi menangani diskriminasi di tempat kerja akan diperkenalkan.



Ia sekali gus memberi kuasa bagi melindungi pekerja yang berhadapan pelbagai diskriminasi termasuk disebabkan kewarganegaraan, usia, bangsa, agama dan jantinanya.



Ini akan memaksa syarikat-syarikat menggajikan pekerja semata-mata berdasarkan merit pekerja itu.



"Perubahan itu akan memberikan Tafep lebih banyak kuasa melalui undang-undang yang fokus bagi meluaskan kuasa siasatan, penguatkuasaan, denda terhadap syarikat, majikan dan individu yang menunjukkan diskriminasi dalam konteks pekerjaan.



"Ia akan memberikan mesej jelas mengenai diskriminasi di tempat kerja dan menghapuskan amalan menggajikan pekerja secara tidak adil,'' kata Encik Tay, yang juga AP SMC Pioneer kepada Berita Minggu (BM).



Tafep dibentuk oleh perikatan tiga pihak meliputi pemerintah, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) bagi memberikan garis panduan mengenai amalan pengambilan pekerja secara adil.



Semua firma Singapura perlu patuhi garis panduan yang pertama kali dilancarkan pada 2007 tetapi garis panduan itu tidak memberinya kuasa bagi menghukum syarikat yang didapati tidak adil dalam amalan tenaga manusianya (HR).



Dalam interaksi NTUC dengan 9,000 karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) melalui Pasukan Bertindak PME NTUC-Snef sejak 10 bulan lalu, Encik Tay menambah bahawa ia mendengar pelbagai pengalaman peribadi daripada PME, khususnya PME matang yang berhadapan dengan diskriminasi berdasarkan usia dan kewarganegaraan.



"PME matang melahirkan cabaran dalam mencari pekerjaan dan menyatakan diskriminasi usia sebagai sebab utama,'' tambah Encik Tay.



Encik Saktiandi menyatakan beliau juga menerima aduan daripada penduduknya yang didiskriminasikan di tempat kerja seperti diberhentikan secara tidak adil kerana usia mereka atau tidak digajikan kerana tudung mereka.



"Aduan-aduan ini yang dikemukakan kepada Tafep akan disiasat dan dimaklumkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang mengambil tindakan. Ini kerana Tafep tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang,'' kata Encik Saktiandi, yang merupakan antara AP yang lantang menyuarakan agar Tafep diberi lebih banyak kuasa sejak 2017 semasa beliau pertama kali memberikan pembahasannya di Parlimen.



Beliau yang menjadi anggota lembaga pengarah Tafep sejak 2019, menyatakan pengumuman Encik Lee itu akan memberi kuasa kepada Tafep untuk mengambil tindakan jika terdapat ketidakadilan dalam pengambilan pekerja.



"Ini memberikan mesej jelas agar majikan memilih pekerja berdasarkan merit dan bukan kerana negara mana beliau datang, bangsa, agama atau jantinanya,'' kata Encik Saktiandi.



Satu kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS)-OnePeople.sg pada 2019 menunjukkan hampir 60 peratus pekerja Melayu dan 56 peratus pekerja India berasa mereka menghadapi diskriminasi di tempat kerja. Ia adalah lebih tinggi daripada 58.7 peratus pekerja Melayu dan 52.6 peratus pekerja India pada 2014.



Encik Saktiandi menyatakan ia menunjukkan masalah stereotaip dan perkauman masih berlaku di tempat kerja.



Melindungi pekerja tempatan dari diskriminasi di tempat kerja yang lebih condong menarik pekerja asing



PME, khususnya dalam sektor infokom dan teknologi (ICT), khidmat profesional dan kewangan, menyatakan dasar yang ada sekarang tidak mencukupi bagi menangani persaingan tidak adil dari bakat asing dan medan persaingan lebih adil diperlukan.



"Keprihatinan utama ialah bukan kemasukan PME asing tetapi PME asing ini mengambil pekerjaan yang boleh dilakukan oleh PME setempat yang mempunyai keupayaan dan kemahiran,'' kata Encik Tay.



Banyak langkah telah diperkenalkan seperti mengetatkan syarat Pas Pekerjaan dan Pas-S dan Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) bagi mengurangkan amalan tidak adil di tempat kerja tetapi beliau menambah lebih banyak diperlukan bagi memberi mesej tegas bagi segelintir syarikat yang cuba mengeksploitasikan sistem.



"Kita perlu mengukuhkan Singapore Core atau pekerja tempatan kita, membangunkan keupayaan tenaga buruh setempat dan melindungi pekerja tempatan daripada didiskriminasikan secara tidak adil. Ia juga penting mengenal-pasti peranan dimainkan tenaga buruh asing, yang melengkapi dan meningkatkan keupayaan tenaga buruh tempatan dan bukan menggantikan mereka,'' tegasnya.



Ambil tindakan undang-undang sebagai langkah terakhir



Dalam NDR, Encik Lee berkata menetapkan garis panduan Tafep dalam undang-undang memberikan isyarat bahawa 'kita tidak akan memberikan toleransi terhadap diskriminasi di tempat kerja'.



Namun, beliau berharap tindakan undang-undang itu diambil sebagai langkah terakhir.



Pertikaian harus cuba dihuraikan melalui pendamaian dan perantaraan, kata Encik Lee.



Hanya jika ia gagal, kes itu akan dibawa ke tribunal antidiskriminasi yang dibentuk, yang akan memutuskan mengenai kes diskriminasi tersebut.




"Apabila pekerja digajikan berdasarkan merit, dan bukan disebabkan bangsa, agama, usia, jantina atau pun kewarganegaraannya, ia akan membaiki keyakinan pekerja itu dan sekali gus meningkatkan kedudukan ekonomi dan membaiki kebajikan sosialnya dalam jangka panjang.''
- Encik Saktiandi Supaat, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, yang juga Anggota Lembaga Pengarah Tafep



"Kita perlu mengukuhkan Singapore Core atau pekerja tempatan kita, membangunkan keupayaan tenaga buruh setempat dan melindungi pekerja tempatan daripada didiskriminasikan secara tidak adil.

Ia juga penting mengenal pasti peranan dimainkan tenaga buruh asing, yang melengkapi dan meningkatkan keupayaan tenaga buruh tempatan dan bukan menggantikan mereka.''

- Encik Patrick Tay , Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC)




Bagaimana dapatkan bantuan Tafep?



  • Tafep dibentuk oleh perikatan tiga pihak meliputi pemerintah, NTUC dan Snef.

  • Ia berikan garis panduan mengenai amalan pengambilan pekerja secara adil.

  • Semua firma Singapura perlu patuhi garis panduan yang pertama kali dilancarkan pada 2007.

  • 5 prinsip amalan pengambilan pekerja yang adil:

    a) Majikan harus memilih pekerja berdasarkan merit, tidak kira usia, kewarganegaraan, bangsa, jantina, agama atau ketidakupayaan.

    b) Hormati pekerja.

    c) Sediakan peluang adil.

    d) Beri ganjaran yang adil.

    e) Patuhi Undang-Undang Buruh

- Untuk membuat aduan, laporkan kepada tafep di lamannya www.tal.sg




Kes diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan



  • Purata 170 kes diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan diuruskan Tafep setahun sejak tiga tahun lalu.

  • Tiga sektor paling banyak buat aduan ialah pemborongan dan dagangan runcit, pentadbiran dan khidmat sokongan, serta kegiatan perkhidmatan yang lain.

  • Kes-kes ini disiasat oleh Tafep dan jika perlu, dirujukkan kepada MOM bagi penguatkuasaan.

  • Januari tahun lalu, MOM perketat denda bagi firma termasuk menggantung hak pas pekerjaan sehingga 24 jam, dari sekurang-kurangnya 12 bulan.

  • Syarat mengiklankan kerja di gerbang mencari kerja, MyCareersFuture, sebelum majikan menghantar pas pekerjaan juga dilanjut kepada tempoh minimum 28 hari, dan bukan 14 hari, agar calon pekerja tempatan mempunyai masa memberikan respons kepada kerja kosong itu.


Contoh tiga kes yang ditangani Tafep



1. Diskriminasi usia



SEBUAH agensi keselamatan meletakkan iklan kerja kosong bagi sebuah jawatan pengawal keselamatan yang inginkan mereka berusia 50 tahun dan ke bawah sahaja. Hak pas pekerjaannya digantung selepas Tafep menerima aduan daripada seorang calon pemohon.



Agensi keselamatan itu menyatakan syarat usia itu perlu kerana sebab keselamatan dan pemohon perlu menjalani kursus pensijilan bagi kebakaran dan hazmat (bahan bahaya).



Oleh kerana tidak ada syarat usia dari segi undang-undang bagi pekerjaan atau pensijilan itu, Tafep meminta agar agensi itu menarik balik iklan itu, menandatangani bagi Piawaian Perikatan Tiga Pihak Bagi Inisiatif Amalan Pengambilan Pekerja dan meletakkan pos meminta maaf. Syarikat itu melakukannya.



Kes itu dirujuk kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang mendapati agensi itu tidak mempunyai sebab yang sah bagi meletakkan syarat usia dan menggantung hak pas pekerjaan selama 12 bulan.



2. Tidak menimbangkan pekerja Singapura dengan adil



SEBUAH syarikat insurans dan kewangan telah memilih seorang calon pekerja asing, seorang warga Britain, terlebih dahulu bagi sebuah jawatan pengurusan di pejabatnya di Singapura.



Hak keistimewaan pas pekerja syarikat itu digantung selama enam bulan selepas seorang pengurus sumber manusia (HR) di syarikat itu membuat aduan kepada Tafep.



Tafep mendapati syarikat itu meletakkan iklan pekerjaan dalam gerbang MyCareersFuture bagi tempoh minimum sebanyak 14 hari di bawah Rangka Kerja Pertimbangan Adil dan calon pekerja asing yang dipilih terlebih dahulu telah menandatangani kontrak pekerjaan sebelum iklan itu tamat.



Pengalaman kerja dan kelayakan pendidikan bagi pemohon yang dipilih itu juga tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam iklan.



Iklan itu menerima lebih daripada 60 pemohon, dengan 28 daripada mereka memenuhi syarat yang ditetapkan tetapi tidak ada seorang pun yang diundang bagi menjalani temu ramah.



Kes itu dirujuk kepada MOM, yang menggantung hak pas pekerjaan selama enam bulan.



3. Pampasan pemberhentian kerja yang tidak adil



SEBUAH syarikat insurans yang tidak diwakili kesatuan sekerja menyemak pelan pampasan bagi kakitangan yang diberhentikan menyusuli campur tangan Tafep.



Ini selepas syarikat itu mengehadkan bayaran pampasan pemberhentian kerja sebanyak 12 tahun perkhidmatan.



Tafep mendapati daripada lebih 40 kakitangan yang diberhentikan, sebanyak 15 peratus terjejas dengan had bayaran pampasan itu.



Ia menasihati ketua pegawai eksekutif (CEO) firma itu mengenai kepentingan memberikan faedah pemberhentian pekerja yang adil.



Syarikat itu menarik balik had tahun perkhidmatan dan memberikan kuantum lebih tinggi melebihi 12 tahun perkhidmatan tanpa had.



Ia juga mendapatkan agensi dan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bagi mencari pekerjaan bagi pekerja yang terjejas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >