Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

ANALISIS BERITA

VTL langkah penting rangsang sektor penerbangan, Mice

Namun skim terbatas justeru harus liputi banyak negara, aturan kumpulan sosial lebihi dua orang
Oct 21, 2021 | 05:30 AM



SKIM Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) adalah langkah penting bukan hanya untuk mencergaskan semula industri penerbangan malah juga membangkitkan semula status Singapura sebagai destinasi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice) global.



Namun buat masa ini, kesan VTL agak terbatas kecuali ia diluaskan untuk meliputi lebih banyak negara serantau, menurut pakar ekonomi dan pengamat industri.



Meskipun demikian, perniagaan dalam sektor berkaitan tetap berharapan tinggi dan turut membuat persiapan menyambut lebih ramai pelawat memandangkan ada ditinjau mula menerima pelancong Jerman sejak VTL dengan Jerman dibuka bulan lalu.



Semalam, Singapura mula menerima kehadiran pelawat dari lapan negara VTL seperti Canada, Denmark, Perancis dan Italy. Ini selepas skim itu diluaskan kepada sembilan negara - termasuk Korea Selatan yang akan dilancar pada 15 November - berikutan VTL dengan Jerman dan Brunei bulan lalu.



Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat berpandangan:



"VTL merupakan langkah penting bukan hanya untuk merancakkan semula industri penerbangan setempat serta khidmat kejuruteraan aeroangkasa, penyelenggaraan pesawat dan lain khidmat berkaitan, bahkan juga untuk merangsang sektor Mice dan khidmat perhotelan.



"Ini bagi menubuhkan semula status Singapura sebagai destinasi Mice global setelah status hab udara kita disegarkan kembali," ujar beliau yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.



Bagaimanapun, Encik Saktiandi berkata dengan adanya had jumlah pelawat, skim itu mungkin mempunyai kesan kecil terhadap ekonomi, khususnya sektor pelancongan.



Buat masa ini, skim VTL mempunyai had harian 3,000 kedatangan.



Justeru, Encik Saktiandi berkata skim itu harus diluaskan untuk meliputi lebih banyak negara bagi memberi kesan lebih mendalam.



"Pasaran Mice yang akan berasakan kesan limpahan daripada VTL, lazimnya menyasarkan perniagaan Asia dan syarat kuarantin ketat untuk pelawat dari Asia akan menyekat keberkesanannya.



"Kebanyakan acara Mice di Singapura menyasarkan pasaran Asean yang membentuk bahagian lebih besar daripada jumlah pelawat dan perbelanjaan pelancong berbanding 11 negara VTL sekarang," terangnya.



Brunei adalah satu-satunya negara Asean dalam senarai VTL. Pelawat dari 11 negara VTL menyumbang 16.2 peratus daripada keseluruhan pelawat asing atau 10.9 peratus dari pendapatan pelancongan sebelum Covid-19.



Pemilik firma runding cara penerbangan, Endau Analytics, Encik Shukor Yusof, bersetuju bahawa langkah pengenalan skim VTL merupakan satu rangsangan moral bagi Singapura.



Tetapi selebihnya, ia belum lagi menampakkan kesan terlalu besar terhadap ekonomi.



"Berdasarkan data yang ada mengenai mereka yang datang ke Singapura menerusi penerbangan VTL, nampaknya kebanyakan adalah pemegang pas jangka panjang di Singapura.



"Mereka tidak semuanya pelancong. Kecuali VTL dilanjutkan atau diluaskan kepada pelancong yang berpotensi dari rantau ini, saya fikir ia tidak akan meninggalkan banyak kesan terhadap industri pelancongan," ujar Encik Shukor.



Sementara bersetuju skim itu perlu dalam memastikan Singapura kekal sebagai hab perniagaan global, pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, tidak begitu optimis ia akan meninggalkan kesan positif awal.



"Pada masa terdekat, saya rasa VTL akan ada kesan negatif sebab dalam beberapa minggu atau bulan pertama pergerakan ke luar negara oleh warga Singapura dan perbelanjaan di luar negara akan melebihi pergerakan dan perbelanjaan dalam negara.



"Apa dibelanja rakyat itu 'menggantikan' perbelanjaan untuk 'staycation', makanan dan pelancongan di Singapura.



"Mengapa saya berpandangan lebih pesimis ialah kerana terdapat permintaan jauh lebih tinggi untuk warga ke luar negara berbanding warga asing ke Singapura pada ketika ini," jelas Dr Theseira.



Namun, dengan lebih banyak VTL diumumkan dan keadaan Covid-19 yang semakin reda di rantau ini, akan ada sentimen optimis kelak, tambah beliau.



Lantaran itu, perniagaan perlu terus membuat persiapan.



"Saya sarankan agar peniaga melihat kepada petanda permintaan awal, khususnya jumlah penumpang dalam penerbangan ke sini dan tidak terus terburu-buru menambah bekalan sehingga keadaan lebih jelas mengenai pergerakan yang rancak," terang Dr Theseira.



Walau apa pun, para peniaga menganggap berita VTL yang diperluaskan sebagai satu sinar harapan.



Beberapa peniaga ditinjau di kawasan popular dengan pelancong, seperti Arab Street, berkata mereka menerima pelawat dari Jerman sejak VTL dimulakan sebulan lalu.



Antara mereka ialah pemilik kedai cenderamata, Table Top Creation di Bussorah Street, Cik Melati Awang.



Sebelum pandemik, 80 peratus pelanggannya adalah pelancong.



"Sejak sebulan lalu, kami mula menerima pelancong dari Jerman yang datang membeli cenderamata. Ada yang ke sini untuk lawatan perniagaan dan ada yang melawat anak-anak bekerja di sini.



"Memang rasa gembira sekali, sebab sudah lama tiada pelancong beli cenderamata kecuali pembantu rumah yang hendak balik kampung. Selain itu, ada juga pelanggan dari Hong Kong dan China tetapi tidak ramai sebab sekatan saiz kumpulan dua orang.



"Jadi memang saya berharap dengan lebih banyak negara VTL, saya berharap perniagaan kami akan lebih rancak," kongsinya yang sudah berniaga lebih 20 tahun di sana.



Pengalaman serupa dilalui pemilik I Am Cafe, Encik Jamuri Busori.



"Minggu lalu, kami menerima sekitar empat pelanggan dari Jerman manakala sejak beberapa minggu lalu, saya juga telah membuat kawan dengan dua pelanggan Jerman lain.



"Kami gembira dapat bertemu dan berkenalan dengan pelanggan luar negara. Memang sebelumnya di kafe ini, kami membuat teman daripada pelanggan antarabangsa.



"Justeru kami benar-benar berharap lebih ramai pelancong akan menyerikan semula kawasan ini," ujarnya.



Pada masa sama, Encik Jamuri berharap pemerintah akan menyemak semula sekatan saiz kumpulan sosial dua orang, sebab ini akan menghalang keluarga daripada bercuti ke Singapura.



"Dengan adanya VTL, secara peribadi saya rasa peraturan dua orang ini tidak begitu relevan jika kita ingin menggalak pelawat ke sini," tambahnya.




"VTL merupakan langkah penting bukan hanya untuk merancakkan semula industri penerbangan setempat serta khidmat kejuruteraan aeroangkasa, penyelenggaraan pesawat dan lain khidmat berkaitan, bahkan juga untuk merangsang sektor Mice dan khidmat perhotelan.



Ini bagi menubuhkan semula status Singapura sebagai destinasi Mice global setelah status hab udara kita disegarkan kembali."
- Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.



"Berdasarkan data yang ada mengenai mereka yang datang ke Singapura menerusi penerbangan VTL, nampaknya kebanyakan adalah pemegang pas jangka panjang di Singapura.



Mereka tidak semuanya pelancong. Kecuali VTL dilanjutkan atau diluaskan kepada pelancong yang berpotensi dari rantau ini, saya fikir ia tidak akan meninggalkan banyak kesan terhadap industri pelancongan."
- Pemilik firma runding cara penerbangan, Endau Analytics, Encik Shukor Yusof.



"Pada masa terdekat, saya rasa VTL akan ada kesan negatif sebab dalam beberapa minggu atau bulan pertama pergerakan ke luar negara oleh warga Singapura dan perbelanjaan di luar negara akan melebihi pergerakan dan perbelanjaan dalam negara...



Mengapa saya berpandangan lebih pesimis ialah kerana terdapat permintaan jauh lebih tinggi untuk warga ke luar negara berbanding warga asing ke Singapura pada ketika ini."
- Pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira.



"Sejak sebulan lalu, kami mula menerima pelancong dari Jerman yang datang membeli cenderamata. Ada yang ke sini untuk lawatan perniagaan dan ada yang melawat anak-anak bekerja di sini.



Memang rasa gembira sekali, sebab sudah lama tiada pelancong beli cenderamata kecuali pembantu rumah yang hendak balik kampung... Jadi memang saya berharap dengan lebih banyak negara VTL, saya berharap perniagaan kami akan lebih rancak."



- Pemilik kedai cenderamata, Table Top Creation di Bussorah Street, Cik Melati Awang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >