Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

‘Kebanjiran’ ubat boleh bawa mudarat

Gaya Hidup
31
0

‘Kebanjiran’ ubat boleh bawa mudarat

Warga tua kerap perlu tangani banyak penyakit dan terdedah pada polifarmasi
Oct 03, 2018 | 05:30 AM

JUMLAH ubat yang terlalu banyak perlu diambil warga senja boleh menimbulkan pelbagai masalah.

Bukan sahaja ia meningkatkan kos jagaan kesihatan, malah ia juga berpotensi menjejas keberkesanan salah satu ubat yang perlu diambil.

Lebih banyak ubat yang perlu seseorang itu ambil, juga bermakna terdapat kurang kemungkinan mereka akan memakan semua ubat yang sepatutnya diambil.

Masalah yang dinamakan sebagai polifarmasi yang bermakna mengambil terlalu banyak ubat, biasanya menjejas warga senja memandangkan golongan tersebut biasanya terdedah kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan darah dan kolesterol tinggi serta penyakit jantung.

Menyatakan demikian sambil memetik laporan kajian warga senja di Amerika Syarikat, Pakar Perubatan Geriatrik dan Konsultan Pusat Perubatan Dalaman Raffles, Dr Nur Farhan Mohammad Alami, berkata terdapat juga kajian warga senja berisiko lebih tinggi mengalami masalah terjatuh, pemakanan kurang sihat, perlu tinggal lebih lama di hospital dan kurang berdikari akibat polifarmasi.

“Ada juga pesakit warga senja yang memakan makanan tambahan seperti vitamin, selain ubat yang terlalu banyak.

“Akibatnya selepas makan vitamin dan sebahagian ubat yang sepatutnya dimakan, mereka berasa kenyang.

“Sebabnya selain makan ubat, mereka juga perlu menelan dengan air. Itu yang membuat mereka terlalu kenyang,” katanya.

Dr Nur Farhan sendiri memetik isu “celik kesihatan” yang bermakna pesakit tidak tahu ubat yang mereka makan dan untuk penyakit apa.

Beliau memetik satu kes di mana beliau telah merawat seorang pesakit warga senja yang mengalami masalah darah yang terus menipis selepas diberi ubat.

“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pesakit itu, padahal beliau dikatakan terus makan semua ubat yang diberi kepadanya.

“Akibatnya, saya terpaksa tukar dos yang diberi kepadanya. Tapi masalah itu masih tetap berlaku.

“Kemudian, salah seorang anggota keluarganya memeriksa beliau dan dapati warga senja itu makan ubat baru yang diberi – selain ubat yang sama yang diberi sebelum itu dengan dos lama. Itu yang buat darahnya terus menipis.

“Mujur tiada perkara serius berlaku ke atasnya,” tambah beliau.

Dr Nur Farhan, 36 tahun, berkata berdasarkan pengalamannya juga, ramai pesakit warga senja yang tidak gemar makan ubat dan ini pastinya akan menyumbang kepada simptom yang mereka hidapi.

Bagi golongan warga senja, mengambil ubat yang terlalu banyak merupakan petanda kesihatan yang kurang baik.

“Akibatnya, ini boleh membuat keluarga pesakit berasa marah memandangkan ubat itu penting buat pesakit. Pergaduhan boleh timbul antara pesakit dengan keluarganya hanya kerana isu makan ubat.

“Justeru sebaiknya, makan ubat yang perlu dan kurangkan pengambilan ubat atau makanan tambahan lain yang tidak bermanfaat atau menyebabkan kesan sampingan,” tambahnya.


“Ada juga pesakit warga senja yang memakan makanan tambahan seperti vitamin, selain ubat yang terlalu banyak. Akibatnya selepas makan vitamin dan sebahagian ubat yang sepatutnya dimakan, mereka berasa kenyang.
– Dr Nur Farhan Mohammad Alami.


INFO SEMINAR

Satu seminar kesihatan anjuran bersama Berita Harian dengan Hospital Raffles akan berlangsung Sabtu ini di Auditorium SPH News Centre, di Toa Payoh North.

Berjudul Fahami Keadaan Kesihatan Anda & Jalani Hidup Ceria, seminar itu akan menampilkan lima penceramah Hospital Raffles.

Mereka termasuk Pakar dalam Perubatan Geriatrik dan Konsultan Pusat Perubatan Dalaman Raffles, Dr Nur Farhan Mohammad Alami, yang akan membincangkan mengapa terdapat peningkatan mereka yang menghidap dua atau lebih masalah kesihatan.

Beliau akan turut memberikan pandangannya tentang perlunya ubat yang berbeza dan kesannya.

Penceramah lain termasuk:

* Pakar dalam Perubatan Dalaman dan Reumatologi serta Konsultan Pusat Perubatan Dalaman Raffles, Dr Chong Yong Yeow;

* Pakar dalam Dermatologi dan Konsultan Kulit dan Aestetik Raffles, Dr Tan Siew Kiang;

* Pakar dalam Pembedahan Ortopedik dan Konsultan Pusat Ortopedik Raffles, Dr Anthony Foo; serta

* Pakar Fisioterapi Kanan, Pusat Pemulihan Raffles, Cik Nur Faradyna Putri Kamarudin.

Seminar akan berlangsung mulai 1 petang hingga 5 petang. Pendaftaran bermula 12.30 tengah hari.

Untuk mendaftar, kunjungi laman www.rafflesmedicalgroup.com/joyful-life2018 atau hubungi 6311-1111.

Bayaran sebanyak $15 dikenakan bagi setiap peserta termasuk jamuan ringan dan cenderahati.

Untuk pertanyaan e-mel kepada seminars@rafflesmedical.com

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3