RAKYAT Singapura boleh menikmati tujuh cuti panjang hujung minggu tahun depan.
Menurut satu kenyataan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam, daripada 11 hari cuti umum tahun depan, empat daripadanya jatuh pada Jumaat manakala tiga hari cuti umum jatuh pada Ahad.
Cuti umum yang jatuh pada Jumaat ialah Good Friday pada 10 April, Hari Buruh pada 1 Mei, Hari Raya Haji pada 31 Julai dan Hari Natal pada 25 Disember.
Cuti umum yang jatuh pada Ahad pula ialah Tahun Baru Cina pada 26 Januari, Hari Raya Puasa pada 24 Mei dan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Bagi cuti umum yang jatuh pada Ahad, hari Isnin berikutnya ialah cuti umum.
Orang ramai juga boleh menikmati dua lagi hujung minggu panjang jika mereka mengambil cuti pada Jumaat selepas Hari Vesak yang jatuh pada Khamis, 7 Mei, dan pada hari sebelum Deepavali, yang jatuh pada Sabtu, 14 November.
Senarai hari cuti umum bagi 2020 itu boleh didapati menerusi laman MOM.
Terdapat tujuh cuti panjang hujung minggu pada 2017 dan 2015, enam pada 2016, dan lima pada 2012 dan 2011.
MOM dalam kenyataannya berkata dengan pindaan kepada Akta Pekerjaan yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu, pekerja yang dikehendaki bekerja pada hari cuti umum berhak menerima gaji tambahan satu hari pada kadar gaji asas.
Secara alternatif, majikan dan pekerja boleh sama-sama bersetuju menggantikan hari cuti umum untuk hari bekerja yang lain.
Majikan juga mempunyai pilihan tambahan untuk menawarkan masa rehat sebagai ganti, berdasarkan jumlah jam yang dipersetujui bersama, untuk bekerja pada hari cuti umum buat kumpulan pekerja berikut:
- Pekerja kolar biru bergaji lebih $4,500 sebulan;
- Pekerja kolar putih bergaji lebih $2,600 sebulan; dan
- Semua pengurus dan eksekutif.