Aaron Aziz dilayan dengan baik di set penggambaran Hongkong

Peminat Aaron Aziz pasti tidak ingin terlepas menonton filem aksi jenayah Hongkong bertajuk Undercover Punch And Gun, arahan Philip Lui dan Frankie Tam.

Artis kelahiran Singapura itu, yang kini berpangkalan di Malaysia, memainkan watak sokongan, di samping pelakon hebat dari Hong Kong seperti Andy On dan Vanessa Wu, di dalam filem yang mengisahkan usaha polis untuk menghapuskan sindiket dadah.

Undercover mula disiarkan di pawagam Malaysia minggu lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, Aaron, 43 tahun, berkata bahawa beliau dijaga dengan baik di set penggambaran. Beliau juga diberi makanan halal.

“Walaupun terdapat perbezaan terutama dari segi bahasa namun mereka masih memberi peluang kepada pelakon Melayu seperti saya untuk berlakon dengan mereka.

“Itu adalah salah satu sebab juga saya bersetuju berlakon untuk filem ini dah mahu membuktikan yang pelakon-pelakon kita juga boleh menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.