Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Anugerah SkillsFuture tingkat kemahiran 'abang security'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anugerah SkillsFuture tingkat kemahiran 'abang security'

Nov 05, 2017 | 05:30 AM



Sektor keselamatan swasta memainkan peranan penting dalam menyokong agensi penguat kuasa undang-undang di sini mengekalkan keamanan dan keselamatan di Singapura. Dengan dunia diancam pelbagai krisis dan konflik, karyawan di sektor keselamatan juga perlu melalui peningkatan kemahiran meliputi penguasaan ilmu teknologi canggih. Antara yang diusahakan dalam sektor keselamatan swasta termasuk model pendapatan progresif (PWM) yang menyediakan laluan peningkatan kerjaya sebanyak lima peringkat buat pegawai keselamatan memperkasa diri mereka. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan usaha tiga karyawan sektor keselamatan swasta yang menerima Anugerah Pembelajaran SkillsFuture agar kekal relevan.



SEBAGAI seseorang yang tamat sekolah hanya di menengah tiga, Encik Nur Khafi Shamshi pernah merasakan dirinya kekurangan dan memerlukan kerjaya yang mampu mencorak arah tujunya.



Selepas tamat Perkhidmatan Negara di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau mencuba tugas pengiriman makanan di restoran makanan segera.



Namun, satu kemalangan jalan raya mengubah hidupnya. Pada satu pihak, ia membuatnya serik mencuba tugas pengiriman yang memerlukannya menunggang motosikal.



Pada pihak lain, abangnya menyarankan agar beliau memohon tugas di sektor keselamatan hotel yang bukan sahaja lebih menjamin masa depan, bahkan sudah menjadi periuk nasinya hampir selama sedekad.



Eksekutif keselamatan di Hotel Grand Mercure Singapore itu begitu teruja menimba ilmu baru dan bersyukur dapat mempertingkat kemahirannya setelah meraih Anugerah Pembelajaran SkillsFuture bagi Sektor Keselamatan Swasta.



Encik Nur Khafi, 32 tahun, kini kembali ke bilik darjah di Institut Industri Keselamatan, Politeknik Temasek (TP) dan menetapkan sasaran tamat pengajian Diploma Pengurusan Keselamatan dalam tempoh setahun.



Anugerah itu disampaikan kepada lima pekerja sektor keselamatan swasta di Sidang Industri Keselamatan 2017 dan Sesi Masterclass Industri Keselamatan 2017 di Pusat Ekspo dan Persidangan Marina Bay Sands, baru-baru ini.



Ia satu cara bagi karyawan dalam sektor keselamatan swasta yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman dalam bidang ini mempertingkatkan kemahirannya.



Penerima mestilah seseorang yang komited mendalami pengetahuan dan bidang kerjayanya serta mempunyai rekod ingin memperkasa diri atau menyumbang kepada latihan pembangunan kemahiran pekerja lain.



Setiap anugerah tanpa ikatan bernilai $5,000 itu boleh digunakan sebagai tambahan pada subsidi pemerintah dan bertujuan meringankan beban kewangan penerima.



Ketika ditemui Gah! di TP baru-baru ini, Encik Nur Khafi, bapa dua anak berusia lima dan tiga tahun, berkata:



"Saya akur pada hari pertama saya bekerja dalam bidang keselamatan hotel, saya memang tak tahu nak buat apa-apa.



"Saya perlu belajar perlahan-lahan daripada bawah kerana tiada pengalaman awal sebelum ini. Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa bidang kerja ini sesuai dengan keperibadian saya.



"Dengan adanya peluang belajar lagi selepas mendapat Anugerah Pembelajaran SkillsFuture ini, saya tidak akan sia- siakan peluang mempertingkat kemahiran saya dengan harapan saya dapat mengatasi sebarang masalah yang timbul dalam pekerjaan."



Kebanyakan masanya, beliau perlu mengurus keselamatan pelancong yang menetap di hotel serta tetamu yang ke dewan hotel bagi acara khusus termasuk majlis perkahwinan.



"Saya perlu sentiasa berjaga-jaga agar pergaduhan tidak berlaku, bersiap sedia jika ada kebakaran atau membantu tetamu hotel yang kehilangan barang.



"Yang pastinya, komunikasi penting agar konflik dapat dielakkan dan kebajikan tetamu hotel terjaga," jelasnya.



Pengalaman sebagai anggota bomba sewaktu menjalani Perkhidmatan Negara banyak membantunya dalam pelbagai perkara, khususnya ketika hotel itu perlu mengadakan latihan kebakaran.



"Yang penting kini adalah pembahagian masa. Saya malah tidak mahu belajar sambil lewa sebab sudah diberi kepercayaan dan peluang meneruskan pengajian ke peringkat diploma," tambah Encik Nur Khafi lagi.




Tugas 'bai jaga' sudah jauh berubah



SEBUT sahaja tugasnya sebagai pegawai keselamatan, ramai yang menyangka Encik Muhamed Fareez Basheer seorang pengawal keselamatan di kondominium.



Ada juga orang lama yang menggelar kerja itu sebagai 'bai jaga'.



Salah tanggapan sedemikian, ujar Encik Muhamed Fareez, 34 tahun, harus diperbetulkan kerana tugas di sektor keselamatan swasta sudah jauh berubah.



Malah, ramai karyawan keselamatan perlu mengendalikan peralatan canggih dan harus selesa dan mahir dengan teknologi maklumat.



Eksekutif keselamatan di Smartflex Technology Pte Ltd ini mengakui bahawa berada dalam sektor yang pesat berubah memerlukan beliau tidak putus-putus mengasah kemahiran baru.



Syarikat di mana beliau bekerja menawarkan khidmat bernilai tambah tinggi khususnya dalam memasang dan menguji modul kad bijak yang mampu dicas semula.



Dengan Anugerah Pembelajaran SkillsFuture bagi Sektor Keselamatan Swasta yang diterima, Encik Muhamed Fareez lebih bersemangat memperkasa dirinya.



Tambahan pula, kerjaya itu disifatkan sebagai yang pertama dan terakhir buatnya.



"Saya menceburi bidang keselamatan sejak 2004 di atas pilihan sendiri.



"Kelulusan Diploma Perniagaan yang saya miliki daripada institusi swasta tidak boleh dipakai sebab ia tidak diiktiraf.



"Maka saya memasuki bidang ini dengan perlahan-lahan berusaha menajamkan kemahiran menerusi kursus kecil-kecilan.



"Lama-kelamaan, saya dapat mempertingkat jawatan saya dan pelajari banyak aspek canggih tentang tugas ini, jauh berbeza daripada tanggapan ramai yang sangka asal kerja dalam sektor keselamatan sahaja, mestilah buat kerja 'bai jaga' atau pengawal keselamatan!" dedahnya.



Encik Muhamed Fareez merasakan bidang kerja ini kian diberi tumpuan kerana banyak masalah keselamatan siber yang diancam bahaya dunia canggih dihadapi.



Begitu juga dengan berlakunya banyak kes pengganasan.



"Buat masa sekarang, saya mengurus sistem keselamatan dan perihal latihan pekerja.



"Tugas ini memerlukan kecekalan dan kesabaran. Tentunya apabila kita kenalkan undang- undang keselamatan, ada yang tidak suka dengan cara kita," tambahnya.



Encik Muhamed Fareez juga menambah bahawa perlu ada usaha membetulkan salah tanggapan ramai tentang tugas dalam sektor keselamatan.



"Sektor ini sebenarnya luas. Ia tidak tertumpu pada satu bidang sahaja. Sebagai ayah kepada dua anak kecil berusia empat dan tiga tahun, saya juga mahukan kerjaya yang mantap dan sentiasa berkembang.



"Peluang belajar semula saya ambil secara serius walaupun banyak yang perlu dilakukan dari segi mengimbangi waktu kerja," tambahnya lagi.



Lebih menarik, peserta bagi kursus diploma di Institut Industri Keselamatan, Politeknik Temasek (TP) ini boleh memilih modul yang dirasakan relevan dan sesuai dengan pekerjaan mereka.



"Banyak ilmu komunikasi pekerja dan mengatasi konflik yang boleh dijadikan sandaran.



"Pensyarah dan peserta lain juga berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka.



"Maka saya rasakan skim sebegini bukan sahaja meringankan aspek kewangan, malah memperkaya pengetahuan kami tentang perkembangan terkini sektor keselamatan," katanya lagi.




Bapa dua anak tekad tajam kemahiran dalam sektor keselamatan



BERITA ancaman pengganas di serata dunia menarik perhatian penyelia keselamatan premis, Encik Mohammad Amin Ahmed.



Beliau, yang kini bertugas di syarikat penyedia khidmat huraian keselamatan Apro Asian Protection, ditugaskan ke depoh SBS Transit bagi memastikan keselamatan di situ terjaga.



Menyedari banyak perkara terkini dalam sektor keselamatan perlu dipelajari dan diketahui, Encik Mohammad Amin, 34 tahun, memohon sendiri bagi Anugerah Pembelajaran SkillsFuture bagi Sektor Keselamatan Swasta.



Permohonan yang disangka tidak berhasil diterima dengan beliau kemudian dipanggil bagi sesi temu duga lebih terperinci.



Beliau kini mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Keselamatan di Institut Industri Keselamatan, Politeknik Temasek (TP).



Ditanya mengenai keinginannya mempertingkat kemahiran, Encik Mohammad Amin, bapa dua anak berusia lima dan tiga tahun, berkata:



"Sektor keselamatan kini sudah jauh dan banyak berubah berbanding dahulu. Dengan kes pengganasan berlaku di serata dunia, kita harus pertingkatkan keselamatan di Singapura.



"Saya malah mengharapkan akan ada modul menangani dan mengesan pengganasan sebelum ia berlaku, yang mustahak bagi karyawan keselamatan seperti saya."



Kalau dahulu, beliau tidak berkesempatan melanjutkan pengajian kerana enggan membebankan kewangan ayahnya yang sakit, beliau bertekad menajamkan kemahiran dalam bidang kerjaya melalui pengajian diplomanya kini.



"Sebagai karyawan keselamatan, saya perlu tekankan hubungan sesama manusia agar perselisihan faham dapat dielakkan.



"Kami perlu ramah membantu orang atau berurusan dengan mereka tetapi kami juga perlu tegas dengan memastikan ruang tertentu tidak boleh sewenang-wenangnya dimasuki orang awam," tambahnya.



Kerana itu, beliau bersyukur dapat bertukar pengalaman dan menimba ilmu tentang keberkesanan kerja dan pengurusan konflik bersama peserta lain yang mengambil kursus Diploma Pengurusan Keselamatan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >