Subuh
5:56
Syuruk
7:13
Zuhur
1:17
Asar
4:26
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Gaya Hidup0

ARTIS NUSANTARA

ABBY ABADI syukur dapat jaga 2 anak angkat

Jul 18, 2019 | 05:30 AM

TIADA beza menjaga anak sendiri dengan menjaga anak angkat.

Demikian menurut Abby Abadi, pelakon dan juga bekas anggota kumpulan Elite, yang bersama suaminya, Muhammad Faizal Zakaria, telah mengambil dua anak angkat tahun lalu, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan, setelah mengalami keguguran.

"Terasa sama. Terasa saya yang melahirkan walaupun tidak sebenarnya," kongsi Abby ketika ditemui di Ekspo Makanan Halal ke-18 yang lalu.

Abby, 41 tahun, sudahpun mempunyai tiga orang anak daripada perkahwinannya terdahulu bersama artis Norman Hakim.

Anak-anak mereka sudahpun meniti remaja dengan yang bongsu berusia 11 tahun.

Berita Popular

Setelah keguguran, Abby berasa sedih dan ingin sangat mempunyai anak lagi.

"Tiba-tiba terdetik terasa nak ambil anak angkat sebab dah dua kali gugur, rasa jadi satu ketakutan pula nak mengandung lagi," ujarnya dan terus memuatnaik keinginannya di Instagram.

"Hari itu juga saya dapat. Saya muatnaik pukul 10 lebih, sekitar pukul 12 ada orang suruh saya pergi ambil bayi takde orang nak," katanya sambil menambah ramai yang mahu menawarkannya.

Kemudian, kurang sebulan selepas itu beliau mengambil seorang lagi anak angkat, kali ini seorang perempuan pula.

"Dia punya perasaan itu yang jaga saja yang tahulah. Kita betul-betul nak dan Allah izinkan dalam masa yang singkat.

"Sebenarnya tiada niat pun nak ambil dua. Bila saya ambil seorang, lagi ramai sangat nak bagi.

"Bila ramai sangat nak bagi, saya (tawarkan) pada siapa yang nak anak.

"Ramai sangat rupanya yang tidak ada anak. Yang dah 10 tahun, 16 tahun dah kahwin tiada anak," sambungnya lagi yang bersyukur segalanya dipermudahkan untuknya.

"Memang Allah izinkan. Allah dah bagi jalan terbaik. Kalau kita susukan dia jadi anak kita darah daging kita. Jadi tiada masalah di situ," tambahnya.

Dan dengan izin-Nya juga baru-baru ini, Abby mengumumkan di akaun Instagramnya beliau kini sedang mengandung dan bakal menimang cahaya mata awal tahun depan.

Dari segi kerjaya seni pula, beliau yang sudah mula berlakon kembali dalam siri Gerak Khas yang pernah menaikkan namanya sebagai pelakon, mengatakan beliau tiada masalah untuk berlakon semula.

"Industri tidak salah tapi salahnya diri kita sendirilah. Jadi kita perbaiki apa yang salah apa yang kurang jadi kita masuk balik dalam keadaan yang lebih bersedialah.

"Lebih bersedia dari segi mental fizikal dan kita tahu kita punya tanggungjawab yang lebih besar bukan hanya pada kerja kita itu tetapi lebih kepada Allah sebenarnya.

"Kita lebih menjaga diri sebaiknya," katanya tentang penglibatannya kembali dalam bidang lakonan.

Sementara itu Abby kini aktif dalam bidang perniagaan butik dan juga produk.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map