Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Ada sebab Norman 'memilih'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ada sebab Norman 'memilih'

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



TATKALA ingin membina nama semula dalam bidang lakonan selepas 10 tahun tidak berlakon beberapa tahun lalu, Norman Ishak mengambil apa sahaja watak yang diberi tanpa mengira jalan cerita sesebuah drama.



Namun, anak pelawak dan pengacara yang disegani, Allahyarham Ishak Ahmat, itu kini ingin mencuba watak lebih 'berisi' dalam drama dengan plot lebih mencabar.



Beliau juga enggan distereotaip dengan satu jenis watak sahaja yang perlu dihidupkan secara berulangulang.



Pada masa yang sama, beliau juga ingin memberi laluan buat bakat lebih muda daripadanya diberi peluang mencuba sesetengah peranan yang ditawarkan buatnya.



Namun, dengan langkah yang diambil pelakon berusia 30 tahun itu dalam memilih projek yang ingin dijayakan, berdetik dalam hati kecilnya:



"Janganlah ada pihak penerbitan menyangka saya dah mula 'demand', memilih, cerewet atau ngada-ngada pula kalau saya tolak projek mereka. Ia demi portfolio kerjaya saya dan juga sebagai memberi ruang buat bakat muda lain yang menanti diri mereka dipanggil bagi projek drama," jelasnya dalam wawancara di pejabat Berita Minggu, Isnin lalu.



Norman ditemui Gah! sejajar dengan kemunculannya pada Tahun Baru 2018 dalam drama 'hit' Thinkplate Pte Ltd, Kisah Tok Kadi (Musim Kedua), yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi Toggle.



Beliau membawa watak Naib Kadi bernama Ustaz Kamil yang muda tetapi lebih cenderung dengan cara lama bahkan tidak mesra teknologi maklumat seperti Ustaz Shahrul (lakonan Beto Kusyairy).



BAGAI PUCUK DICITA ULAM MENDATANG



Tentunya terasa bak durian runtuh apabila dipelawa pelakon dan penerbit drama Kisah Tok Kadi, Siti Aishah Ahmad, agar menjadi barisan pelakon tetap dalam drama 13 episod itu.



"Sewaktu mereka hasilkan Kisah Tok Kadi musim pertama, saya tidak dipanggil dan terlepas peluang menjayakan drama itu kerana sibuk dengan drama cereka sains Firasat.



"Tentunya hati saya gembira bukan kepalang apabila dapat bekerja dengan pelakon handalan Malaysia, Beto Kusyairy.



"Malah, timbul rasa terkilan dan kecewa apabila tak dapat menjayakan musim pertama drama ini. Dalam apa jua wawancara, saya akan katakan Beto adalah antara idola saya.



"Sebelum ini, sewaktu menghadiri peringkat akhir Anugerah Skrin, saya nampak Beto di ruang penyambut tamu Mediacorp. Dalam hati gementar... nak jumpa ke tidak ya?



"Saya nampak beliau sibuk bergambar dengan peminat. Saya tak nak ganggu dan beredar," cerita Norman dengan penuh kekaguman.



BETO BUKAN 'DIVO'



Apabila ditanya perasaan berganding bahu dengan Beto, dengan sungguh-sungguh beliau yang menyerlah sebagai pelakon kanak-kanak drama arahan Lut Ali, Sayang Semuanya, berkata:



"Saya terharu dapat berlakon dengannya kerana beliau bukan 'divo' yang sibukkan nama besarnya dan meminta layanan istimewa.



"Beliau disiplin datang ke set dan ingin sama-sama berlatih dialog dengan pelakon gandingannya.



"Saya macam tak percaya Beto yang kali pertama saya tonton dalam filem Istanbul Aku Datang! ada di depan mata.



"Beto amat saya segani sebab beliau boleh buat sesuatu watak itu hidup tanpa memaparkan gerak lakon yang 'over'. Penghayatan teknik lakonannya mendalam.



"Beliau boleh buat penonton sedih tanpa dirinya menangis. Dalam menghidupkan watak bingit yang sedang meledak marah, Beto tak perlu terpekik-pekik dalam sesuatu adegan. Lakonannya tetap 'sampai'. Sama juga macam pelakon mapan, Fauziah Nawi dan Datuk Rosyam Nor."



TAK TAHAN KETAWA KERANA IZYAN



Dalam pada itu, ketika diminta menjelaskan peranan selaku Ustaz Kamil, asatizah muda yang garang dan jauh beza dengan sikapnya yang serius tetapi santai, Norman tertawa seraya berkata:



"Memang Ustaz Kamil ni muda tapi tak fleksibel dalam pelbagai perkara. Dia jauh beza daripada Ustaz Shahrul.



"Media sosial bukan sandarannya. Dia bahkan tak berkenan dengan penggunaan video dalam penyebaran maklumat bagi mendekati generasi muda. Pendek kata, dia ni 'old-school' walau hakikatnya muda belia."



Namun, babak paling menarik biasanya melibatkan Ustaz Kamil dengan 'mak andam' muda yang keletah, Ainah (Izyan Mellyna Ishak).



"Si Ainah ni 'gedik', tak boleh diam, mulut memekak dan 'kepo'. Tapi dia minat dengan Ustaz Kamil.



"Keserasian antara saya dengan Izyan pula memang sedia ada kerana kami dah banyak kali digandingkan. Cuma kerana saya perlu kekalkan muka garang, ia menjadi sulit kalau tengok kekecohan Izyan. Tak perlu tengok mukanya, dah ketawa!" dedahnya.



ERA NETFLIX PERLUKAN PERUBAHAN MINDA



Dengan Norman pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik bagi Watak Utama dalam drama Firasat pada Festival Televisyen Asia (AFA) 2015 , tidakkah beliau kepingin berhijrah ke Malaysia seperti Aaron Aziz dan Hisyam Hamid?



"Pada usia 26 tahun, saya memang simpan tekad nak pergi Malaysia. Cuma saya risaukan distereotaip dengan satu watak sahaja atau dilabel dengan watak hero drama cinta.



"Saya ingin teroka sesuatu di luar zon selesa saya. Saya yakin pelakon muda seperti saya, Atyy Malek dan Danial Ashriq ingin diberi peranan yang memerlukan kami beri sesuatu yang orang lain tak nampak dalam diri kami.



"Atyy yang terkenal dengan peranan komedi dalam drama Aduh...Bibikku! pastinya ingin cuba watak serius dan Danial pula wajar diketengahkan dalam watak lebih dramatik, tidak setakat budak sekolah kerana wajah yang 'baby face'.



"Kerana itu, saya suka bekerja dengan pengarah Firasat, M. Raihan Halim. Watak yang diberi benar-benar menguji minda dan emosi.



"Kita pun dah masuk era video dalam talian Netflix. Drama Melayu pun harus bergerak ke arah kelainan genre drama agar tidak hilang minat penonton yang terdedah pada wadah alternatif ini," katanya yang ingin pelajari seni pospenerbitan seperti suntingan video.



Adakah lagi impian yang belum dicapai? Katanya:



"Berlakon dengan pengarah Kisah Tok Kadi, Seriwahyuni Jaes. Saya rasa Kak Seri bukan sahaja pengarah dan penulis skrip yang hebat tetapi pelakon cemerlang dari zaman remajanya... bakat yang kita dah lama rindui di kaca televisyen."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >