Aisyah Aziz bukan fashionista biasa-biasa

AISYAH Aziz dikenali sebagai penyanyi bersuara lunak yang telah memenangi anugerah termasuk di Anugerah Planet Muzik.

Namun, lebih dari setakat mendendangkan lagu, Aisyah, 25 tahun, juga sering mendapat perhatian dek pakaian-pakaiannya yang berani dan tidak konvensional.

"Saya tak takut mencuba benda lain atau mengenakan pakaian yang orang lain mungkin tak selesa memakainya kerana saya suka mencabar diri, melihat bagaimana saya boleh menggayakan penampilan yang berani," katanya.

Menurut laporan The New Paper, Aisyah yang setinggi 1.79 meter itu berkata ketinggiannya mungkin sebab beliau boleh mengenakan bermacam pakaian.

Bagi Hari Raya tahun ini, Aisyah telah memilih kebaya jenama Ratianah Tahir yang dipadankan dengan skirt panjang baldu dan kasut hitam dari Zara.

Pada hari-hari biasa pula, beliau suka mengenakan pakaian yang kasual dan tidak terlalu rewel.

"Saya suka pasangkan baju singkat (crop top) dengan seluar atau skirt tinggi (high-waisted), atau bra sukan dengan seluar ketat tinggi, jeans atau palazzo. Itu penampilan harian saya," katanya.

Mengulas tentang penampilannya di pentas pula, Aisyah berkata:

"Dulu saya risau apa yang orang akan fikirkan jika saya naik ke pentas memakai kasut sneaker atau berkaki ayam.

"Saya tak suka pakai kasut tumit tinggi bila saya membuat persembahan sebab ia menghadkan pergerakan saya.

"Sekarang saya boleh membuat pilihan kasut saya dengan yakin, seperti mengenakan kasut sneaker dengan dres kerana ia tampak 'cool' dan senang saya nak lompat-lompat."